Penentang junta mulai putus asa


SEORANG aktivis Filipina membakar gambar pemimpin junta Myanmar Jeneral Than Shwe dalam satu protes di Manila, semalam. – AFP.
YANGON 29 Sept. – Penunjuk perasaan yang berharap untuk menumbangkan pemerintahan tentera Myanmar semakin putus asa hari ini, selepas askar terus menguasai jalan raya, melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan segelintir aktivis yang masih berani keluar selain mengepung wat-wat.

Hanya terdapat dua kelompok yang menunjukkan bantahan mereka, masing-masing disertai sebanyak 500 dan 300 penunjuk perasaan di sini.

Tanpanya, keadaan agak sunyi sepi di dua bandar terbesar, Yangon dan Mandalay dengan askar dan polis ditempatkan hampir di setiap penjuru.

Pusat membeli-belah, kedai runcit dan taman awam ditutup.

Akses Internet telah diputuskan manakala perkhidmatan telefon pula tidak menentu, sekali gus memencilkan lagi penduduk di negara miskin dan tersisih ini.

“Saya tidak fikir kami masih ada harapan untuk menang,” kata seorang wanita muda yang menyertai demonstrasi besar-besaran kelmarin yang dibubarkan apabila askar melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

“Sami telah memberi kami keberanian,” katanya mengenai sami Buddha yang menjadi tunjang protes baru-baru ini.

Kebanyakan mereka kini terkurung di dalam wat-wat yang dikunci pintu pagarnya dan dikepung dengan dawai berduri dan dikawal oleh askar di luar.

Junta mula mengambil tindakan keras ke atas penunjuk perasaan pada Rabu lalu sehingga menyebabkan lima orang terbunuh.

Keesokannya askar bertindak lebih ganas dengan menembak penunjuk perasaan dan membelasah mereka dengan belantan, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban.

Namun sekumpulan kecil aktivis dan rakyat biasa terus keluar untuk memprotes selepas itu.

“Pertumpahan darah lagi!” teriak seorang penduduk Yangon semalam sambil memerhatikan askar melepaskan tembakan ke udara dan memukul penunjuk perasaan.

0 comments: