BANGKOK 29 Sept. – Ketika rejim tentera Myanmar mengambil tindakan keras terhadap penunjuk perasaan pro-demokrasi, timbul pula perbalahan baru antara beberapa pihak dan negara tentang nama rasmi negara itu.
Amerika Syarikat (AS), ahli politik Myanmar dalam buangan dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) telah memilih untuk menggunakan nama asalnya, Burma, sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara lain telah menerima nama Myanmar sebagai panggilan rasmi negara tersebut.
Wakil Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), David Mathieson berkata, kebanyakan penduduk dalam buangan dari negara itu masih menggunakan nama Burma kerana itu adalah nama asal negara mereka sebelum kejadian protes pada 1988.
“Percanggahan pendapat mengenai nama negara itu mungkin lebih hangat diperbahaskan orang luar daripada rakyatnya yang kebanyakannya telah membiasakan diri kepada perubahan nama tersebut,” ujarnya.
Jurucakap White House, Tony Fratto pula menjelaskan, AS dan banyak pertubuhan lain menggunakan gelaran Burma sebagai nama rasmi negara itu dan akan kekal menggunakan nama tersebut.
“PBB bagaimanapun terikat untuk menggunakan nama yang diberikan kerajaan negara tersebut.’’ katanya.
Pihak junta yang memerintah Myanmar menukar nama negara itu kepada Kesatuan Myanmar pada 1989, setahun selepas pihak tentera membunuh kira-kira 3,000 aktivis yang menyokong ketua pro-demokrasi dan pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Aung San Suu Kyi.
Rejim itu mengambil nama Inggeris (Myanmar) dari nama tradisional Myanma Naingngandaw dan secara simbolik mengakhiri zaman pemerintahan British yang menggelarkan koloni itu ‘Burmah’ sempena kumpulan etnik Burma yang terbesar di sana.
– AFP
0 comments:
Post a Comment