Mohon bantuan FBI boleh sebabkan rakyat berasa tidak selamat

Abdul Aziz Mustafa
Fri | Sep 28, 07 | 7:30:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Jika benar polis negara ini terpaksa dibantu dan dibimbing oleh orang luar untuk menjalankan tugasnya, mengapa meminta bantuan setelah Nurin Jazlin Jazimin dibunuh?

Ketika membangkitkan persoalan itu, Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar hairan dengan sikap polis yang tidak meminta bantuan, bimbingan dan kepakaran luar untuk menjejaki di mana anak yang malang itu berada ketika beliau belum lagi disahkan mati.

"Bukan sehari dua hari Nurin dilaporkan hilang sebelum disahkan terbunuh, tetapi kira-kira sebulan. Mengapa dalam tempoh itu polis tidak kelihatan bersedia mendapatkan bantuan asing?" beliau mempersoalkan ketika diminta mengulas pengakuan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa pihak polis terpaksa menggunakan khidmat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dalam usaha mengesan pembunuh Nurin.

Musa memberitahu pemberita, khidmat FBI digunakan bagi meningkatkan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam siasatan kes pembunuhan kejam itu dan juga untuk mengenal pasti fotofit dalam rakaman CCTV tersebut.

"Dua anggota FBI akan membantu PDRM terutama daripada segi teknikal dalam siasatan kes tersebut.

"Seorang daripada mereka telahpun berada di Kedutaan Amerika Syarikat di sini manakala seorang lagi akan diterbangkan ke Malaysia dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Kuih Raya PDRM 2007 di Bukit Aman di sini semalam.

Sambil menyifatkan tindakan meminta bantuan FBI itu sebagai sesuatu yang mengejutkan, Mahfuz hairan mengapa polis begitu bergantung kepada rakaman CCTV.

"Adakah tidak petunjuk lain lagi? Selama ini semua orang tahu polis begitu cekap mengesan pihak yang mereka buru walaupun tanpa CCTV.

"Kita membangkitkan perkara ini supaya apa yang berlaku sekarang tidak mengakibatkan tanggapa buruk kepada rakyat yang mungkin akan menyangka penjenayah lebih cekap dari polis," katanya.

Jika rakyat menyangka penjenayah lebih cekap dari polis, katanya, pasti mereka tidak akan merasa selamat dan sentiasa hidup dalam kebimbangan.

Sebab itulah, kata Mahfuz, ramai pihak yang menyifatkan tindakan polis meminta bantaun FBI itu memalukan.

"Mungkin KPN membuat kenyataan itu dengan tujuan untuk menakut-nakutkan penjenayah berkenaan dan menjadikan pergerakannya kelam-kabut, kucar-kacir serta mudah dikesan, tetapi janganlah sampai menghebohkan kepada seluruh dunia bahawa kita terpaksa menagih pertolongan luar.

"Mungkin mereka tidak mengadu kepada Musa. Tetapi beberapa anggota polis yang kebetulan bertemu saya menyifatkan Musa banyak memalukan mereka lebih-lebih lagi kenyataannya mengenai bantuan FBI itu," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini memerintahkan empat lelaki ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin.

Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Nurmala Salim.

Dua daripada suspek dibawa ke mahkamah pada 11.30 pagi dengan menaiki van polis manakala dua lagi, yang menaiki van polis yang lain, tiba 20 minit kemudian.

Kekecohan kecil berlaku di luar mahkamah apabila seorang daripada empat lelaki yang ditahan itu bertindak kasar menendang seorang jurufoto akhbar ketika sekumpulan jurufoto cuba mengambil gambar dua suspek yang menaiki van kedua sejurus selepas van itu tiba di pekarangan mahkamah.

Jurufoto itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keempat-empat mereka ialah antara lima orang termasuk seorang wanita yang ditahan polis di Shah Alam malam tadi bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Polis bagaimanapun membebaskan wanita itu.

Kesemua tahanan kemudian dibawa ke Bukit Aman.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dalam satu beg sukan yang ditinggalkan di sebuah kedai di Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual.


0 comments: