Kes Nurin: 'Saya mahu lihat wajah pembunuh'

KUALA LUMPUR: Jika dapat bersua dan melihat pembunuh anaknya, bapa kanak-kanak malang Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil mahu 'berjabat tangan' bagi memahami isi hati orang yang tergamak melakukan perbuatan di luar jangkaan manusia waras itu.

Beliau yang mengetahui mengenai penahanan lima suspek berhubung kes pembunuhan anaknya menerusi media dan wartawan berkata, pada masa ini, beliau tidak pasti sama ada polis sudah menangkap suspek utama atau tidak.

"Sekarang sama ada dia dah dapat tangkap penjenayah itu, saya tak nak ambil tahu sangat. Bagi saya apa yang berlaku sekarang (tangkapan) bukan keutamaan lagi.

"Tapi hati saya masih ingin tahu dan melihat wajah mereka yang sanggup buat perkara tidak sepatutnya dilakukan manusia waras itu, saya tak pernah jentik anak saya. Kalau dapat peluang berjumpa mereka nanti, saya ingin 'berjabat tangan' dengan mereka," katanya dalam satu pertemuan di rumah mereka di Wangsa Maju, semalam.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dengan kesan penderaan seksual disumbat dalam beg sukan yang ditinggalkan di sebuah kedai di Petaling Jaya.

Polis semalam menahan reman suspek kelima, seorang perempuan berusia 23 tahun yang dikatakan orang yang bertanggungjawab memberi makan dan minum pada Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya.

Jazimin bagaimanapun menafikan kemungkinan pembunuhan Nurin Jazlin disebabkan dendam terhadap keluarganya kerana jika ia bermotifkan dendam pasti pembunuh akan menghantar mayat anaknya ke kawasan rumah atau menghubunginya sendiri.

"Ini bukan dendam, kalau dendam mereka akan hubungi saya. .. lagipun saya langsung tidak kenal siapa (identiti) mereka yang ditangkap itu," katanya.

Jazimin berkata, motif dendam diutarakan pengamal perubatan tradisional yang disifatkannya sebagai kumpulan yang memeningkan mereka sekeluarga kerana maklumat yang diberikan tidak tepat.

0 comments: