Dua bandar di Myanmar sepi

Tentera kawal ketat, sekat komunikasi rakyat ketika Wakil Khas PBB tiba

YANGON: Penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan kuku besi tentera selama 45 tahun di Myanmar kelihatan putus harapan semalam selepas tentera mengenakan kawalan ketat, melepaskan gas pemedih mata pada setiap perhimpunan yang cuba dibentuk dan menutup pintu masuk ke kuil.

Dua bandar terbesar Myanmar, Yangon dan Mandalay sepi semalam dengan tentera kelihatan di setiap pelusuk bandar itu. Pasar raya, kedai dan taman awam ditutup.

Capaian internet disekat, manakala hubungan telefon tidak menyeluruh di negara yang sedia tersisih itu.

"Saya tidak fikir kita mempunyai harapan untuk menang," kata seorang wanita muda yang turut terbabit dalam beberapa tunjuk perasaan.

Selama ini sami Buddha memberi semangat kepada kami dan kini mereka dikurung," katanya.

Bantahan harian menarik berpuluh ribu penduduk untuk mencabar pemerintah junta berikutan krisis yang tercetus sebulan lalu apabila penduduk yang miskin membantah kenaikan harga minyak yang keterlaluan. - AP/AFP

0 comments: