PM akan saksi pelancaran angkasawan di KLCC

Oleh Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyaksikan pelancaran roket Soyuz 15-Sdi Baikonour, Kazakhstan yang membawa angkasawan pertama negara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menerusi skrin gergasi sidang video secara langsung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis, berkata Perdana Menteri sudah menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis berbuka puasa khas bagi tujuan itu.

"Perdana Menteri akan menyaksikan acara bersejarah itu bersama beberapa tetamu yang dijemput khas. Pelancaran roket dijangka pada jam 9.21 malam (waktu Malaysia) selepas selesai solat Tarawih.

"Beliau (Abdullah) dijangka memberi mesej khas kepada angkasawan secara langsung untuk memberi semangat dan perangsang dalam program yang turut disiarkan secara langsung," katanya selepas majlis berbuka puasa anjuran kementeriannya, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, solat hajat khas juga akan diadakan di seluruh negara Jumaat depan untuk mendoakan keselamatan dan kejayaan misi angkasawan itu.

"Saya juga sudah bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili untuk merancang setiap kaum turut mengadakan acara doa mengikut kepercayaan agama masing-masing," katanya.
Beliau berkata, angkasawan pertama negara dijangka mendarat balik ke bumi pada 21 Oktober ini dan sambutan besar-besaran akan diadakan pada 8 November ini di ibu negara.

0 comments: