Junta Myanmar ancam tembak


SUASANA TEGANG: Penunjuk perasaan dipaksa bersurai oleh polis rusuhan yang mengejar mereka di tengah bandar raya Yangon, semalam.

Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan mula bersurai, tinggalkan bandar raya

YANGON: Tentera dan polis Myanmar menyuraikan penunjuk perasaan di Yangon semalam dengan mengancam berpuluh-puluh ribu rakyat negara itu yang berhimpun supaya pulang ke rumah atau menghadapi risiko ditembak, ketika junta yang memerintah mula mengambil sikap tegas terhadap demonstrasi terbesar yang disaksikan negara itu sejak dua dekad.

Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan bersurai dan meninggalkan jalan raya di tengah bandar raya berhampiran kuil Sule semalam, selepas tentera mengeluarkan kata dua supaya berbuat demikian atau menghadapi tindakan ekstrim.

Walaupun masih ada beberapa kelompok kecil penunjuk perasaan yang kini kebanyakan terdiri daripada remaja berbanding sami Buddha sebelum ini, berhimpun di jambatan, namun kebanyakan jalan di tengah bandaraya terbesar Myanmar itu lengang.

Sekurang-kurangnya 100 penunjuk perasaan ditahan selepas tentera mengeluarkan kata dua itu.

Sebelum itu, tentera melepaskan tembakan amaran tetapi penunjuk perasaan enggan bersurai.

Sekurang-kurangnya dua orang cedera ketika tembakan amaran dilepaskan, kata saksi.

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan amaran kira-kira sejam secara rambang ke arah kumpulan penunjuk perasaan yang bertambah dan berkumpul di sekitar kuil Sule di tengah pusat bandar, bertepuk tangan sambil menyanyikan lagu kebangsaan Myanmar, kata saksi.

Seorang lelaki jatuh ke tanah dan kemudian diseret oleh tentera, sementara penunjuk perasaan lain dilihat mengangkat seorang lelaki lain yang tidak dapat berjalan ke dalam kereta. � AFP/Reuters

0 comments: