‘ASEAN berusaha keras untuk Myanmar’

NEW YORK 27 Sept. – Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont berkata, ASEAN telah menghabiskan hampir seluruh sumber keupayaannya dalam usaha untuk membawa demokrasi ke Myanmar.

Surayud berkata, negara anggota blok serantau Asia Tenggara itu telah melakukan hampir segala yang terdaya untuk membawa perubahan di negara itu dan kini memerlukan bantuan jiran-jiran Myanmar yang lebih besar.

“Kami telah pun mencuba dan saya fikir kami di pihak ASEAN telah menghabiskan hampir seluruh sumber kami buat masa ini.

“Kami memerlukan lebih banyak bantuan daripada pemimpin lain,” katanya pada acara di luar jadual utama Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Surayud memberitahu hadirin pada perhimpunan Asia Society di sini semalam, bahawa tindakan semakin keras yang diambil ke atas penunjuk perasaan di Myanmar cukup membimbangkan ASEAN.

Surayud berkata, India dan China boleh memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis di Myanmar.

“Kita perlu melihat perkara ini dalam jangka panjang dan mengkaji bagaimana kita boleh menarik penyertaan dua negara jiran yang besar itu untuk membawa Myanmar balik ke jalan demokrasi,” katanya.

China baru-baru ini terlibat dalam rundingan di sebalik tabir untuk cuba memujuk junta tentera berdamai dengan kem pembangkang prodemokrasi.

Namun China yang merupakan pembela Myanmar yang paling kuat di arena diplomasi menolak usaha untuk membawa isu untuk dibahaskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Surayud berkata, usaha beliau sendiri untuk mendesak junta tentera membebaskan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi tidak membuahkan hasil.

“Kami berhubung dengan pihak Myanmar dan mereka memberitahu, ‘sedikit masa lagi, sedikit masa lagi’ tetapi sudah terlalu lama beliau ditahan.

“Kami bimbang mengenai keadaan kesihatannya,” kata Perdana Menteri itu.

– AP

0 comments: