Junta benar wakil khas PBB lawat Myanmar

BANGKOK: Junta Myanmar akhirnya bersetuju menerima kehadiran wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ibrahim Gambari ke negara yang sedang bergolak itu.

PBB dalam satu kenyataan berkata, Gambari selaku penasihat khas mengenai Myanmar kepada setiausaha agung PBB Ban Ki-moon, akan melawat mulai esok.

Ban berkata beliau gembira dengan kebenaran itu dan mahu pihak berkuasa berbincang secara konstruktif dengan Gambari ke arah jalan perdamaian.

Gambari sudah melawat Yangon dua kali sebelum berlaku pergolakan terbaru.

Sementara itu, portal berita dikendalikan wartawan dalam buangan melaporkan keluarga pemimpin agung Myanmar, Jen Than Shwe melarikan diri ke Laos.

Mizzima News berkata, penerbangan sewa Air Bagan yang dimiliki orang kepercayaan Than Shwe, jutawan Tayza, tiba di ibu negara Laos, Vientiane pada 6 petang semalam, membawa lapan penumpang tidak dikenali.

Portal berita itu berkata sumber rapat dengan pemimpin tentera Myanmar memberitahu mereka penumpang berkenaan adalah sanak saudara Than Shwe, termasuk isterinya Daw Kyaing Kyaing. — Bernama

0 comments: