Jambatan runtuh: 8 lagi mayat ditemui

CAN THO 27 Sept. – Pasukan penyelamat menemui lapan lagi mayat mangsa jambatan runtuh di selatan Vietnam hari ini selepas usaha mencari disambung semula pagi ini.

Pasukan penyelamat yang meneruskan usaha mencari sehingga tengah malam tadi terpaksa memotong perancah besi dan konkrit jambatan yang runtuh semalam iaitu ketika hampir 250 pekerja masih berada di kawasan pembinaan.

“Ini merupakan insiden runtuhan jambatan paling serius dalam sejarah sektor pengangkutan,” kata Menteri Pengangkutan, Ho Nghia Dung ketika berada di kawasan runtuhan berdekatan Sungai Hau yang memisahkan bandar ini dari wilayah Vinh Long.

Saudara-mara mangsa membanjiri kawasan runtuhan, 170 kilometer dari barat daya pusat komersial bandar Ho Chi Minh semenjak semalam.

Menurut pegawai hospital, sekurang-kurangnya 100 pekerja cedera termasuk 17 parah.

Nghia Dung berkata, sehingga kini, 42 mayat dikenal pasti dan 87 orang cedera namun dipercayai masih ramai lagi pekerja yang masih hilang.

“Keutamaan kami adalah mencari mereka yang terperangkap di bawah runtuhan jambatan itu kerana kami masih mengharap ada yang selamat,” kata Nghia Dung.

Punca utama runtuhan tersebut masih belum diketahui namun menurut pegawai, kemungkinan hujan lebat menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan merosakkan kawasan yang baru dibina.

Ada saudara mara mangsa memberitahu akhbar Tieng Phong bahawa mereka menerima panggilan telefon daripada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut.

– Reuters

0 comments: