CAN THO: Pekerja penyelamat menemui lapan lagi mayat semalam dalam runtuhan jambatan di selatan Vietnam, kemalangan jambatan terburuk negara itu yang setakat ini mengorbankan 60 pekerja.
Pekerja memotong perancah keluli dan konkrit daripada kawasan malapetaka kelmarin di Delta Mekong apabila bahagian jambatan yang dibina dengan dana Jepun itu yang dalam pembinaan runtuh ketika kira-kira 250 pekerja berada di tapak pembinaan.
"Sejak semalaman kami sudah mengeluarkan lapan mayat," kata Menteri Pengangkutan Ho Nghia Dung kepada TV Reuters di tempat kejadian runtuhan berhampiran Sungai Hau yang sesak teruk memisahkan bandar ini dengan wilayah Vinh Long.
Saudara mara pekerja pembinaan menunggu berhampiran tempat kemalangan terletak kira-kira 170 kilometer barat daya pusat komersial Bandar Raya Ho Chi Minh.
Seorang wanita pengsan akibat terkejut setelah diberitahu mayat suaminya antara yang ditemui.
Tidak pasti sama ada mayat terbabit yang ditemui awal pagi semalam, adalah sebahagian daripada 60 mayat yang dilaporkan sebelum ini. Kira-kira 100 pekerja dilaporkan cedera, dengan 17 orang mengalami kecederaan parah di kepala, kata pegawai hospital.
Menteri pengangkutan berkata, setakat ini 42 mayat sudah dikenal pasti dan 87 orang cedera, tetapi lebih ramai dikhuatiri masih hilang.
"Keutamaan kami ialah mencari mangsa yang masih hilang," kata Dung. "Ini adalah kemalangan jambatan terburuk dalam sejarah Vietnam." Dung berkata, pembinaan akan diteruskan sebaik saja tapak itu dibersihkan dan selamat.
Punca runtuhan masih tidak diketahui, tetapi pegawai berkata hujan mungkin melembutkan asas jambatan, menyebabkan perancah runtuh dan membawa bersama bahagian sepanjang 90 meter yang dibina Selasa lalu.
Sesetengah saudara mara mangsa yang masih hilang memberitahu akhbar Tieng Phong, Rabu lalu mereka menerima panggilan telefon daripada mangsa yang cedera dan terperangkap dalam runtuhan.
Keluli besar yang bengkok, konkrit yang pecah dan perancah yang lentur berdiri pada ketinggian bangunan lima tingkat kira-kira 500 meter dari sungai di Vinh Long.
Kren pembinaan mengangkat perancah yang bengkok dan bahan lain ketika pekerja dengan memakai topi keselamatan mencari dalam runtuhan.
Vietnam yang masih belum membangun sedang mempertingkatkan projek infrastruktur untuk menyamai pertumbuhan ekonomi lebih lapan peratus setahun. � Reuters
0 comments:
Post a Comment