Kes Altantuya: Rekod perjalanan Sirul dikemuka

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

Kad Touch n' Go menunjukkan pergerakan pada malam mangsa dilapor hilang

SHAH ALAM: Rekod perjalanan melalui penggunaan kad Touch n� Go milik Koperal Sirul Azhar Umar yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menunjukkan beberapa pergerakan keluar masuk di antara Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Kota Damansara pada malam 19 Oktober 2006, iaitu malam sama wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang.

Eksekutif Operasi Rangkaian Segar Sdn Bhd, Wan Abdullah Wan Ali dalam keterangannya berkata, melalui data transaksi yang ditanda P115, pada hari itu pihaknya merekodkan transaksi penggunaan kad Touch n� Go milik Sirul Azhar yang memasuki lebuh raya melalui Plaza Tol Jalan Duta.

Beliau berkata, kenderaan yang menggunakan kad terbabit dikesan keluar dari lebuh raya itu melalui Plaza Tol Kota Damansara pada jam 6.06 petang, bagaimanapun waktu masuk ke Plaza Jalan Duta tidak direkodkan.

Katanya, ia adalah kerana sistem perakam waktu itu hanya merekodkan transaksi yang membabitkan pembayaran iaitu pada waktu seseorang pengguna keluar dari lebuh raya.

Saksi ke-35 pendakwaan itu berkata, pada transaksi berikutnya hari sama, sistem merekodkan pengguna kad itu memasuki Plaza Tol Kota Damansara dan keluar melalui Plaza Tol Jalan Duta pada jam 8.48 malam.

"Pengguna kad itu kemudian sekali lagi dikesan memasuki Plaza Tol Jalan Duta dan keluar melalui Plaza Tol Kota Damansara pada jam 9.57 malam.

"Keesokan hari iaitu pada 20 Oktober 2006, kami merekodkan pengguna menggunakan kad itu masuk ke Plaza Tol Kota Damansara dan keluar ke Plaza Tol Jalan Duta pada jam 12.01 pagi," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah sama ada boleh berlaku transaksi tidak direkodkan walaupun kenderaan memasuki lebuh raya, Wan Abdullah menjawab: "Tidak boleh kerana jika kad itu digunakan, pengguna tidak boleh melarikan diri daripada direkodkan."

Saksi itu berkata, sistem perakam waktu Touch n' Go itu ada di lorong laluan keluar kereta dan plaza tol itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) diuruskan syarikat konsesi tol.

Tun Abdul Majid: Jadi perakam waktu Touch n� Go dan perakam CCTV adakah menunjukkan waktu sama?

Wan Abdullah: Tidak. Ia beberapa saat dan beberapa minit berbeza kerana pihak konsesi mengawal selia sistem sendiri, manakala lorong tol guna sistem lain.

Tun Abdul Majid: Kamu tahu dua perakam itu berbeza?

Wan Abdullah: Saya tidak tahu tetapi menerusi pengalaman dalam kes ini ketika mencari transaksi itu, saya dapati ada perbezaan.

Wan Abdullah berkata, selain Sirul Azhar, beliau turut mencetak data transaksi rekod Touch n� Go milik Cif Inspektor Azilah Hadri (ditanda P113) dan Koperal Rohaniza Roslan (yang mendakwa sebagai teman wanita Azilah) selepas diminta ketuanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apabila diperiksa dalam sistem, tiada data diperoleh kerana berkemungkinan Azilah tidak mendaftarkan namanya ketika membuat pembelian atau dia langsung tidak menggunakan kad itu.

Wan Abdullah berkata, beliau juga mencetak data transaksi rekod Touch n' Go milik Rohaniza (ditanda P29) bertarikh 2 November 2006.

Katanya, beliau kemudian mencetak maklumat ketiga-tiga individu itu pada 8 dan 9 November tahun lalu dan menyerahkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan melalui wakilnya.

Perbicaraan bersambung hari ini.

0 comments: