Oleh Faiza Zainudin
KEPALA BATAS: Ibu bapa empat kanak-kanak tadika yang lemas berhampiran rumah pam Sungai Kreh, Lahar Tembun, Tasek Gelugor dekat sini, kelmarin, mendakwa kakitangan Klinik Kesihatan Tasek Gelugor tidak memberi bantuan kecemasan walaupun mangsa masih hidup ketika dibawa ke kemudahan itu.
Mereka mendakwa selepas tidak diberikan sebarang rawatan, keluarga mangsa terpaksa membawa anak masing-masing ke Hospital Kepala Batas yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari klinik itu.
Seorang ibu mangsa, Rokiah Md Isa, 39, berkata kakitangan klinik itu hanya melihat semua mangsa termasuk anaknya, Mohd Zaidi Mohd Saidin, 5, terbaring dengan mulut berbuih di lantai.
"Selepas berkali-kali dipanggil, barulah pintu dibuka dan kami meluru masuk untuk mendapatkan pertolongan tapi mereka tidak mengendahkan kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lahar Tembun, semalam.
Dalam kejadian jam 1.15 petang kelmarin, empat kanak-kanak lelaki berusia antara lima dan enam tahun lemas ketika mandi di tali air rumah pam Sungai Kreh.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Zaidi, Mohd Nur Adil Hakimi Shahruddin, 5; Badrul Hanif Ahmad, 6, dan Zulkifli Mohamed, 6. Seorang lagi, Norshahira Arshad, 5, terselamat kerana tidak mengikuti empat rakannya yang terjun ke dalam tali air itu.
Suami Rokiah, Saidin Ahmad, 47, berkata selepas kakitangan klinik itu gagal memberi sebarang bantuan kecemasan, isterinya meminta bantuan kenderaan untuk membawa mangsa ke hospital.
"Itupun mereka tidak peduli. Terpaksalah isteri saya dan tiga lagi waris bersama empat mangsa berhimpit menaiki kereta buruk kecil," katanya yang menunggang motosikal ke hospital.
Sementara itu, ibu tunggal, Hasnah Abu Bakar, 43, yang kehilangan anak lelaki tunggalnya, Mohd Nur Aidil Hakimi, mendakwa sikap lepas tangan klinik itu bukan kali pertama berlaku.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr Yasmin Sulaiman dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam, berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu.
0 comments:
Post a Comment