Cubaan seludup babi ke NS tumpas

SEREMBAN 27 Sept. – Jangan terfikir untuk membawa masuk babi dari Melaka ke negeri ini kerana kerajaan negeri sentiasa memantau dan menyekat sebarang usaha penyeludupan itu.

Ini dibuktikan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) negeri apabila menumpaskan cubaan penternak babi di Kampung Baru Cina Site C, Lukut, Port Dickson yang cuba bertindak menyorokkan lebihan babi yang diseludup masuk dari negeri Melaka, hari ini.

Ketua Bahagian Kesihatan Ternakan JPH negeri, Nahariah Abdullah berkata, dalam operasi bermula pada pukul 11.30 pagi ini, pihaknya berjaya merampas 10 ekor babi hidup yang dipercayai diseludup dari Melaka.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang diketuai oleh Ketua Penguat Kuasa JPH negeri, Dr. S. Saravanakumar mendapati bekas tapak ladang babi itu telah digunakan oleh pemiliknya untuk menyorok binatang itu.

“Anggota penguat kuasa tidak berjaya masuk kerana ia ditutup dan tidak dibenarkan oleh pemiliknya, jadi kita terpaksa meminta bantuan polis untuk mencari binatang berkenaan yang akhirnya ditemui di kawasan tepi hutan kecil,” katanya di sini hari ini.

Nahariah berkata, sejak operasi khas bermula pada 6 September lalu, JPH negeri telah memeriksa sebanyak 1,233 babi hidup dan diiring ke rumah sembelih untuk dilupuskan secara sembelihan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,180 binatang itu dihantar ke Rumah Sembelih Rawang, Rumah Sembelih Muar (43) dan Rumah Sembelih Melaka sebanyak 10 ekor.

Sementera itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemantauan dan menyekat kemasukan babi dari Melaka ke negeri ini.

“Kita sentiasa mengawal sempadan dan sehingga kini kita telah pun melupuskan lebih 20 lori yang membawa masuk babi dari Melaka secara seludup dan menghantar terus babi berkenaan ke pusat penyembelihan di Muar dan Rawang,” kata beliau.

Tegas Mohamad, kerajaan negeri tidak mahu lebihan ternakan babi di Melaka itu dihantar ke Negeri Sembilan dan mendatangkan masalah kepada penduduk di negeri ini.

“JPH sentiasa meneliti kandang babi di negeri ini terutamanya di Air Kuning dan Bukit Pelandok, Port Dickson. Kita tidak mahu ada cubaan ternakan itu diseludup masuk secara haram melalui kawasan berkenaan,” jelas beliau.

0 comments: