Titisan Harapan: Sakit bukan halangan puasa
SALAM Ramadan. Bersyukur kepada Ilahi kerana dipanjangkan usia dapat berada pada bulan penuh rahmat dan barakah ini. Kita bersama-sama berdoa supaya dapat terus berada sepanjang Ramadan ini untuk meraih banyak pahala disediakan Allah.
Alhamdulillah, setakat ini saya dapat berpuasa, walaupun ada kalanya terpaksa menghadapi waktu sukar dan mencabar. Dua hari pertama Ramadan cukup membahagiakan kerana kami sekeluarga, isteri serta enam anak dapat bersahur dan berbuka bersama.
Empat anak yang tinggal di asrama - dua menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bercuti hujung minggu, dua lagi masing-masing di Sekolah Menengah Sains Selangor Cheras, Kuala Lumpur dan Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu, Selangor bercuti penggal persekolahan selama seminggu.
Pada 2000, saya mula berpuasa dengan scleromyxedema. Pandangan umum melihat tidak ada masalah bagi pesakit kulit untuk berpuasa. Tetapi, hakikatnya scleromyxedema membawa kepada penyakit lain seperti pedih ulu hati dan gastrik. Melalui pembacaan dan diberitahu doktor, biasa pesakit scleromyxedema mempunyai masalah gastrousus.
Tiga tahun lalu, saya perlu mengambil pil setiap pagi bagi mengatasi masalah ini. Tetapi kini, hanya mengambil pil jika perlu. Pada peringkat awal, apabila diberitahu doktor mempunyai penyakit itu, saya bimbang tidak mampu melaksanakan ibadat puasa.
Apa yang saya lakukan berpuasa sunat sebagai persediaan menghadapi Ramadan. Alhamdulillah saya dapat berpuasa penuh dengan keizinan-Nya. Allah Maha Penyayang. Jika kita melakukan sesuatu perkara dengan niat kerana-Nya, insya-Allah urusan itu akan dipermudahkan.
Berpuasa, lebih-lebih lagi sejak tiga tahun lalu, apabila penyakit ini memburuk cukup mencabar. Oleh kerana saya menghadapi masalah kesukaran menelan makanan dengan lancar dan mulut tidak dapat dibuka dengan besar, makanan tidak boleh diambil dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa.
Untuk menghabiskan setengah pinggan nasi pun, saya kadangkala mengambil lebih satu jam. Makanan perlu diambil sedikit demi sedikit dan dikunyah dengan betul bagi mengelakkannya tersekat pada kerongkong. Sedikit makanan, walaupun sebesar sebiji nasi boleh menyebabkan saya tercekik. Justeru, saya mengambil makanan sedikit pada satu masa, tetapi berulang kali.
Pada hari biasa, tempohnya panjang - 24 jam sehari. Apabila berpuasa tempoh untuk makan dan minum singkat, iaitu di antara Maghrib dan Subuh. Apabila berpuasa saya perlu mengatur jadual makan dengan betul bagi mengatasi masalah pedih ulu hati dan gastrik.
Sebelum tidur, saya makan bijirin. Saya bangun sahur seawal jam 4 atau 4.30 pagi supaya dapat menghabiskan makanan dengan betul dan lancar. Namun, jumlah makanan diambil tidak banyak kerana saya tidak boleh mengambil makanan yang banyak pada sesuatu masa. Pengalaman Ramadan lalu, berat badan saya susut sehingga 10 kilogram.
Pada waktu berpuasa, saya kadangkala terpaksa melalui masa sukar. Pening dengan pedih perut biasanya berlaku pada pertengahan waktu berpuasa. Pada petang pula senak dan perut memulas-mulas. Badan pula seakan-akan pijar, mungkin kekurangan air dalam badan. Namun, dengan rahmat Allah saya dapat membiasakan keadaan itu.
Seperkara lagi, apabila berpenyakit kita perlu mengetahui perkara yang boleh membatalkan puasa kerana kita mungkin menjalani rawatan pada waktu itu, khususnya membabitkan kemasukan sesuatu ke dalam rongga badan.
Saya sendiri perlu mengambil air mata tiruan empat kali sehari bagi menghindari mata menjadi kering. Saya juga menjalani rawatan dengan memasukkan cecair dalam badan melalui tiub, selain perlu mengambil contoh darah. Perkara ini semua perlu memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Selain itu, saya menjalani rawatan bulanan pergigian dan perlu menyapu krim pelembap kulit sepanjang masa.
Janganlah kerana kurang pengetahuan kita tidak mahu menjalani rawatan pada siang Ramadan kerana sayang meninggalkan puasa memudahkan umatnya melakukan ibadat dalam apa keadaan sekalipun. Hasil pencarian melalui internet dan pandangan guru agama, saya memperoleh maklumat mengenai rawatan membabitkan memasukkan sesuatu ke dalam rongga tanpa membatalkan puasa seperti yang diputuskan fuqaha kontemporari.
Fatwa ini turut dikeluarkan oleh Majlis Himpunan Fiqh Islam ke-10 yang bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada 23 hingga 28 Safar 1418 Hijrah (28 Jun-3 Julai 1998).
0 comments:
Post a Comment