Pengalaman Idris pacu MAS jadi sandaran pantau KPI

Pengalaman Idris pacu MAS jadi sandaran pantau KPI

KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai Menteri Tanpa Portfolio di Jabatan Perdana Menteri (JPM) adalah berdasarkan kepada rekod pencapaiannya yang cemerlang, terutama kejayaannya melakukan transformasi syarikat Penerbangan Malaysia (MAS). Sumbangan Idris sangat diperlukan bagi meneruskan komitmen kerajaan melaksanakan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Idris, kebanggaan anak Sarawak itu, turut memegang jawatan Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), sebuah badan baru untuk memantau dan mengawal pelaksanaan inisiatif KPI peringkat nasional dan menteri. Terserah kepada Idris menterjemahkan harapan Perdana Menteri itu dengan tanggungjawabnya lebih meluas berbanding MAS atau syarikat minyak Shell yang pernah diterajuinya. Walaupun banyak pihak menganggap sukar bagi MAS bangkit semula selepas mengalami kerugian RM1.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan pada 2005, Idris tetap menyahut cabaran dan tawaran bekerja di syarikat itu. Tindakannya terbukti berjaya memacu pemulihan hebat syarikat penerbangan nasional itu dalam tempoh kurang dua tahun, setahun lebih awal daripada yang dijadualkan dengan mencatatkan keuntungan lebih RM851 juta pada 2007. Beliau juga membina keyakinan serta semangat di kalangan 20,000 pekerja yang dilakukannya dalam tempoh dua tahun.

Kita percaya semua pencapaiannya sebelum itu turut memberi impak kepada tugas barunya nanti. Kita juga berharap beliau akan dapat melakukan sesuatu keajaiban ke atas Pemandu yang dijangka beroperasi Disember ini, selain memberi perspektif baru dalam perkhidmatan kerajaan. Kita juga yakin, selaku Ketua Eksekutif Pemandu, Idris akan memastikan segala program dan aktiviti dijalankan oleh menteri atau program berkaitan pada peringkat nasional, memenuhi aspirasi konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Tugas Idris akan lebih mencabar kerana kebolehannya, tidak lagi diukur melalui untung-rugi dalam bentuk mata wang, sebaliknya keberkesanan KPI dan NKRA yang akhirnya boleh diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat. Ini bermakna tugas Idris bukan lagi sebagai ‘kapten’ seperti dalam MAS dengan menerapkan KPI bagi memulihkan syarikat itu, tetapi selaku penilai untuk memastikan kejayaan pelaksanaan KPI itu sendiri di kalangan menteri dan negara keseluruhannya. Mungkin tidak sukar bagi Idris menjalankan tugas itu kerana beliau boleh mengguna pakai kepakaran serta pengalamannya. Selepas Idris meninggalkan legasi yang cemerlang, kita berharap MAS di bawah teraju Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz pula akan terus mencatat keuntungan. Tengku Azmil adalah antara perancang utama dalam pelan transformasi MAS yang diperkenalkan Idris sebelum ini. Dengan itu, kepakaran dan pengalamannya akan dapat membantu memastikan berlaku peralihan yang tersusun.

0 comments: