Ke arah evolusi infrastruktur industri air

Ke arah evolusi infrastruktur industri air

Oleh Rozali Ismail

BEKALAN air bersih nadi kepada pembangunan negara dan penduduk yang sihat adalah salah satu agenda utama kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak melalui konsep ‘1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Jika kita renung kembali dari sudut kewujudannya, air adalah suatu sumber alam yang sangat penting, untuk minuman, sistem ekologi dan kegiatan ekonomi termasuk pertanian, industri dan pengangkutan.

Kepentingan kewujudannya sering kita pergadaikan dengan keutamaan pembangunan ekonomi dan masyarakat, sedangkan dari sudut jangka panjang, masyarakat juga yang akan menanggung risikonya. Kita perlu peka bahawa bekalan air bersih yang berpatutan harganya bergantung kepada sumber air yang tidak tercemar bagi mengelak kos perawatan tinggi.

Mengimbas kembali sejarah bekalan air bersih di Malaysia, ia bermula dengan bekalan air paip pertama oleh British di Pulau Pinang pada 1804, menyaksikan satu langkah ulung dalam memberikan sumber penting ini kepada masyarakat.

Di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur pada ketika itu, bekalan air paip bermula pada 1888. Hanya bermula dari 1900, proses perawatan air dilakukan sebelum dibekalkan kepada pengguna. Loji Ampang Intake di Selangor adalah loji perawatan air pertama dibina di Malaysia iaitu pada 1906, menggunakan penapis pasir perlahan atau slow sand filter untuk bekalan air di Kuala Lumpur. Pembinaan loji perawatan air di seluruh negara bermula 1930-an dan mula pesat sejak 1960-an ekoran perkembangan ekonomi negara selepas merdeka. Di Selangor dan Kuala Lumpur, loji perawatan air banyak dibina pada era 1960-an.

Seiring dengan peruntukan pembangunan yang meningkat pada setiap kali rancangan pembangunan lima tahun dibentangkan, kerajaan juga melakukan penstrukturan semula sektor bekalan air dan kumbahan negara bermula dari 2006 dengan pembentukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (SPAN).

Sektor air dan kumbahan negara perlu distruktur semula kerana pentadbiran dan pengurusan yang tidak efisien di bawah pelbagai pihak kerajaan negeri dan majlis perbandaran sebelum ini. Ekoran penstrukturan itu, Kerajaan Persekutuan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi perlesenan dan kawal selia operator perkhidmatan, manakala kerajaan negeri mengekalkan kuasanya terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan lembangan sungai.

Secara tidak langsung, kualiti perkhidmatan air negara khususnya untuk memelihara kepentingan pengguna dapat dipertingkatkan. Justeru, industri perkhidmatan air dijangka menjadi lebih cekap, efisien, dan kadar tarif yang dikenakan sentiasa berpatutan kepada pengguna.

Ketika mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) awal bulan ini, Najib turut melaungkan agar tindakan segera diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90 peratus di Sabah dan Sarawak menjelang akhir 2012. Jumlah yang diperuntukkan ialah RM2 bilion untuk kemudahan 60,000 isi rumah.

Umum mengetahui, sumber air mentah kita adalah 90 peratus dari sungai yang mengalir dari kawasan tadahan air ini. Sumber air mentah akan pupus sekiranya langkah pemuliharaan sewajarnya tidak dilakukan. Tambahan pula pencemaran alam sekitar dan sungai mengehadkan lagi kebolehdapatan sumber ini.

Lebih satu bilion penduduk dunia tiada kemudahan air bersih dan 65 peratus penduduk dunia diramalkan tidak akan mendapat bekalan air bersih untuk minuman menjelang 2025, seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kita di Malaysia bertuah kerana sistem bekalan air negara mendapat peruntukan dan sokongan padu kerajaan.

Cuma janganlah pula kita alpa dek nikmat ini sehingga kita terlupa bahawa kesan pencemaran menggugat sumber air mentah kita. Oleh itu kesedaran terhadap peri pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan sumber air mestilah dipupuk pada peringkat awal lagi.

Di antara kempen dilakukan termasuklah Kempen Penjimatan Air, program Turun Ke Padang dan Briged Penyelamat Sungai dan pelbagai program lagi yang dilakukan oleh pihak syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sistem air dan alam sekitar negara menghadapi banyak cabaran termasuk pencemaran sumber air, penyusutan kawasan tadahan dan kekurangan bekalan air akibat peningkatan permintaan. Kekurangan dan ketidakcekapan pembangunan infrastruktur air dan kumbahan, ketidakseimbangan antara permintaan bekalan air dibandingkan dengan kemahuan untuk membayar kos perkhidmatan menyumbang kepada kepincangan pengurusan operasi infrastruktur air.

Dari sudut lain, kekurangan tekanan kepada pengurusan permintaan air, kelemahan pelaksanaan perundangan di samping ketiadaan suntikan politik dalam pengurusan pemuliharaan sumber air adalah cabaran kepada sektor air negara.

Tambahan pula, pewartaan kawasan tadahan air masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya dan pencerobohan atas nama pembangunan dan ekonomi masih berleluasa. Amat perlu bagi semua pihak mengintegrasikan alam sekitar dan pembangunan dalam membuat keputusan bagi sesuatu pembangunan yang baru.

Kadar tarif bekalan air dan kumbahan yang rendah, kelewatan proses pengambilalihan aset air dari negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan pengurusan sumber air oleh kerajaan negeri adalah cabaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam usaha mencapai objektif sektor air negara, untuk faedah jangka panjang seluruh rakyat Malaysia.

Justeru, konsep 1Malaysia amat bertepatan sekali dalam usaha menyediakan suasana kehidupan sihat dan penjanaan ekonomi yang pesat. Perbelanjaan pemulihan alam sekitar amat besar dan ia pembaziran wang ekoran kesilapan kita sendiri.

Seperti contoh, Sungai Klang yang dicemari oleh kita sendiri memerlukan sebanyak RM10 bilion untuk dipulihkan. Keberkesanan kesedaran memulihara alam sekitar dan sumber air di kalangan masyarakat mampu menjimatkan kos pentadbiran negara.

Bukan hanya menjimatkan kos perawatan air, malah alam sekitar yang bersih mampu menempatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk bercuti, bekerja serta tempat kediaman untuk semua. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52 kepada seluruh warga Malaysia, semoga kita lebih komited dalam menjaga sumber air kita.


Tan Sri Rozali Ismail ialah Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

0 comments: