BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

KELMARIN Awang menulis mengenai kemungkinan berlakunya sabotaj oleh segelintir peniaga ke atas pengguna pada musim perayaan ini, terutama sekali di bulan puasa dan menjelang hari raya.

Trend ini didapati berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sekiranya senario itu benar, maka ia adalah satu pencabulan hak ke atas pengguna di negara ini.

Di negara Barat keadaannya berbeza apabila pengguna dianggap raja.

Semasa orang ramai dan peniaga kecil mengeluh mengenai keputusan dan kekurangan gula di pasaran, berita semalam memeranjatkan apabila pengguna di Kedah dan Perak merungut harga bawang putih pula naik melambung sehingga RM6 sekilo, berbanding RM2 sekilo.

Kita bimbang, jika pihak berkuasa leka, ia akan merebak ke barangan lain pula. Wartawan Awang sedang mengawasi pergerakan harga ayam dan telur di musim ini. Fenomena naik harga bahan itu sering berlaku di musim ini.

Awang gembira dengan tindakan proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalur aduan mengenai kekurangan gula.

Kita berharap pengguna boleh juga menyalurkan aduan mengenai pergerakan harga barangan lain dan gelagat tidak bertanggungjawab peniaga tamak.

Awang – Sedang memantau.

0 comments: