Cerita di sebalik kekalahan

Cerita di sebalik kekalahan

Oleh Mior Kamarul Shahid

SETIAP kali pilihan raya kecil, tidak kira di mana sekali pun ia diadakan, persekitarannya bertukar menjadi kawasan tumpuan. Jika sebelumnya ia kawasan yang sunyi, secara tiba-tiba menjadi meriah. Entah dari mana datangnya manusia yang membanjiri daerah atau pekan yang terletak dalam kawasan pilihan raya kecil itu. Dalam suasana begini, ramai juga penduduk tempatan, terutama peniaga, dapat menambah pendapatan berikutan kebanjiran orang luar. Keadaan sama berlaku hampir di semua pilihan raya, tidak terkecuali pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, baru-baru ini. Selepas pengundian 25 Ogos itu, calon Pas, Mohd Salleh Man menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi. Banyak sebab boleh diungkapkan sebagai punca kepada kemenangan Pas atau sebab musabab kekalahan BN. Untuk mencari alasan mengapa Pas menang atau menuding jari yang menjadi punca kekalahan BN, bukanlah susah. Ada juga perkara atau keadaan yang sudah terang lagi bersuluh. Mereka melakukan kesalahan sama pada setiap pilihan raya. Bagi pengundi, mereka membuat keputusan berasaskan kepada kepercayaan mereka kepada ada yang melihat dari segi politik, ada juga memilih kerana personaliti calon, ada yang bercakap soal parti dan tidak kurang juga menjurus kepada isu nasional atau tempatan. Di sebalik topik-topik politik yang dibincangkan, ada juga isu-isu kecil yang jarang diberi perhatian pada peringkat nasional, tetapi tidak dinafikan ada kesannya yang menyeluruh. Dalam pilihan raya kecil seperti ini, ada pihak tidak pernah belajar daripada pengalaman. Pengundi hari ini tidak boleh disamakan dengan pengundi 20 atau 30 tahun lalu. Sebahagian besar pengundi hari ini miliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara cerita retorika.

Bagi sesetengah pihak, pilihan raya kecil adalah peluang untuk membuat wang. Mereka tahu sepanjang tempoh pilihan raya - bermula dari hari penamaan calon hinggalah kepada hari pembuangan undi, ramai orang luar yang membanjiri kawasan itu, khasnya mewakili parti politik atau organisasi tertentu yang mempunyai tugas untuk membantu parti atau calon pilihan mereka.

Bagi kumpulan yang mempunyai kepentingan bisnes-politik ini, mereka tahu cara membuat wang bagi memenuhi fungsi lumrah berkempen - penginapan, makanan, minuman, pakaian, poster, bendera, tenaga kerja dan sebagainya. Semua sektor ini mempunyai elemen untuk buat duit. Parti yang bertanding biasanya menyediakan peruntukan khas mengenainya. Adalah tidak salah mendapatkan peluang membekalkan keperluan yang diperlukan itu asalkan ia tidak menimbulkan pertikaian sesama sendiri dan akibatnya, bila rumah siap, pahat berbunyi.

Sebaik saja tarikh penamaan calon diumumkan, hotel, chalet dan resort berdekatan habis ditempah secara pukal dalam sekelip mata. Bagi orang yang menempah, sudah tentulah ada untung yang menanti kerana merekalah yang akan mengagih-agihkan bilik. Jika mahu menyewa rumah penduduk sekitar, khasnya banglo kosong atau rumah teres untuk dijadikan markas, awal-awal lagi sudah ada pihak yang sedia menguruskannya, asalkan sediakan saja bayarannya.

Biasanya bagi kebanyakan pengikut Pas, mereka menetap di rumah saudara mara atau rakan tanpa perlu bayaran. Ini perkara biasa bagi pengikut parti itu. Bagi yang tidak ada saudara dan rakan, mereka tidur di masjid atau surau. Mereka tidak memerlukan wang yang banyak untuk berkempen. Kutipan dilakukan di masjid di seluruh negara dan selepas wang diperoleh mereka menyalurkannya untuk tujuan berkempen. Awal pagi lagi mereka sudah bangun menemui orang kampung.

Bagi satu golongan lagi pula, sebahagian besar mereka banyak menggunakan masa berkumpul di lobi hotel, restoran atau gerai dari pagi hingga ke petang atau ada yang sambung hingga ke malam. Lobi hotel menjadi begitu sibuk dengan ramai orang yang datangnya entah dari mana. Bila ada pemimpin Pusat datang, mereka menunjukkan muka. Mungkin pada masa akan datang, mudahlah mereka berurusan atau mendapatkan bantuan. Jika perlu berada di lapangan terbang, mereka akan lakukan.

Bagi BN, dari semasa ke semasa sudah diatur lawatan untuk menemui penduduk dengan pemimpin kerajaan dan parti. Jika ia lawatan menteri, ramailah turut sama mengikuti rombongannya. Bila menteri masuk rumah bertemu penduduk, mereka berbual sesama sendiri di luar. Orang kampung mempunyai tanggapan berbeza mengenai kumpulan seperti ini, tambahan pula jika pengikut yang datang itu menaiki Hummer, kereta mewah yang disebut-sebut hampir setanding kereta kebal, di samping kereta mewah yang menderu-deram di kampung itu. Ada juga yang datang dengan pengawal pengiring bermotosikal dan pengawal peribadi. Orang kampung tidak mempunyai masalah untuk bersalaman dengan mereka dan sedia memberi jaminan mulut untuk menyatakan sokongan. Segala-galanya hanya dibuktikan menerusi undi yang diperoleh daripada saluran peti undi untuk mengetahui siapa yang mereka sokong. Daripada bilangan undi akan diketahui trend pengundian mereka.

Banyak cerita lain didengar sepanjang kempen. Ada yang sekadar janji dan ada pula yang ibarat rezeki datang menggolek menerusi peruntukan yang diluluskan serta-merta. Ada peruntukan diluluskan untuk membaiki atau membesarkan rumah, terutama bagi keluarga ramai. Sebagai contoh, jika peruntukan RM5,000 diluluskan untuk satu keluarga bagi membesarkan rumahnya, ia hendaklah digunakan sepenuhnya. Ada kes yang mana apabila penilaian dibuat, kosnya hanya separuh. Selebihnya masuk ke kocek orang lain. Pastikan kerja membuat rumah itu diberikan kepada kontraktor yang berjiwa rakyat. Ada juga menceritakan bahawa harga pasir juga turut naik ketika kempen memandangkan banyak bahan itu diperlukan untuk menambak jalan becak. Ada yang menjual pasir dengan harga berlipat kali ganda selepas harga ditingkatkan oleh kontraktor sedangkan peruntukan pembelian pasir itu adalah untuk menambak jalan becak di kampung. Semua ini menjadi topik perbualan di kalangan penduduk. Pada jam 8 pagi ketika pengundi sudah mula keluar mengundi, masih belum ramai pekerja parti yang sepatutnya berada di tempat pembuangan undi untuk merayu undi, walaupun pada malamnya semangat berkobar-kobar untuk turun padang lebih awal.

0 comments: