Pembebasan pengebom Lockerbie taktik sisihkan Gadaffi

Pembebasan pengebom Lockerbie taktik sisihkan Gadaffi

Oleh AZMI HASSAN

SETELAH 40 tahun memimpin Libya, Muammar Gadaffi akhirnya melaksanakan strategi yang dianggap mengejutkan iaitu berbaik- baik dengan negara yang selama ini melabelkan Libya sebagai negara pariah.

White House pernah pada suatu ketika semasa era Presiden Ronald Reagan menggelar Gadaffi sebagai anjing gila kerana tindak-tanduk beliau yang dianggap tidak secocok dengan masyarakat antarabangsa.

Sebaik sahaja Amerika Syarikat menceroboh Iraq pada tahun 2003, Gadaffi telah mengisytiharkan bahawa Libya tidak lagi menyokong dan memberi perlindungan terhadap sebarang aktiviti keganasan. Tetapi apa yang lebih mengejutkan ialah beliau juga telah memberi jaminan bahawa Tripoli akan membubarkan pembangunan senjata nuklear yang pada ketika itu banyak mendapat bantuan teknikal dari Pyongyang dan Islamabad.

Isu pengeboman kapal terbang Pan Am 103 pada tahun 1988 di Lockerbie Scotland yang mengorbankan 270 orang telah menghantui Gadaffi buat sekian lama. Walaupun Tripoli tidak mengaku terbabit dalam peristiwa tersebut tetapi telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada semua yang terkorban.

Pada Oktober 2008 siri bayaran pampasan terakhir kepada keluarga mangsa telah dapat disempurnakan. Secara keseluruhannya jumlah pampasan yang telah dibayar oleh Libya bernilai AS$2.7 bilion.

Semenjak itu masyarakat antarabangsa tidak lagi menyisihkan Libya sehinggakan Washington menggugurkan label negara yang menyokong pengganas terhadap Tripoli.

Ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 8 (G8) di Rome pada bulan lepas, Gadaffi telah dilayan sebagai pemimpin negara demokrasi dan tidak dianggap sebagai diktator. Pada bulan Februari yang lepas Gadaffi telah dipilih untuk memimpin Kesatuan Afrika yang terdiri dari gabungan 53 negara rantau tersebut.

Tidak menghairankan kehadiran Gadaffi di arena antarabangsa sebagai pemimpin Libya yang sah tidak disenangi oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka Gadaffi adalah pemimpin yang tidak boleh dipercayai.

Isu pembebasan bekas ejen perisikan Libya yang dicap sebagai pengebom Lockerbie, Abdelbaset Ali Mohmet al-Megrahi minggu lepas telah dimanupulasikan untuk menggambarkan Gadaffi sebagai pemimpin yang masih bersekongkol dengan pengganas.

Walaupun keputusan Setiausaha Kehakiman Scotland, Kenny MacAskill yang membebaskan Megrahi dibuat atas dasar belas kasihan dan mengikut peruntukan perundangan yang sah, ia telah dikecam dengan hebat oleh London dan Washington.

Gadaffi akur bahawa jika isu ini tidak ditangani dengan sempurna maka usaha beliau selama ini untuk membawa Libya keluar daripada stigma pariah akan menjadi sia-sia.

Sebab itu Tripoli begitu berhati-hati ketika menyambut kepulangan Megrahi walaupun kerajaan dan rakyat Libya menganggap beliau tidak terlibat dalam pengeboman tersebut. Sebaliknya beliau dijadikan kambing hitam kerana dalang sebenar yang bertanggungjawab tidak pernah diketahui.

Tetapi isu sambutan kepulangan Megrahi telah diperbesarkan oleh pihak yang berkepentingan untuk menggambarkan Tripoli masih tidak boleh berpisah dengan pengganas.

Malah Presiden Barack Obama telah memberi nasihat supaya sambutan kepulangan Megrahi tidak boleh dilakukan secara berlebihan kerana Washington menganggap Megrahi sebagai seorang pengganas.

Walaupun tiada sambutan besar-besaran dilakukan tetapi insiden yang menunjukkan Gadaffi menyambut Megrahi telah membuatkan Perdana Menteri Britain Gordon Brown mengeluarkan kenyataan rasa mual beliau terhadap adegan tersebut.

Bukan sahaja tingkah laku Gadaffi dipersoalkan, malah ada tuduhan yang dilemparkan bahawa pembebasan Megrahi itu ada kena mengena dengan janji Tripoli terhadap pemberian kontrak cari gali minyak. Begitu hebatnya pihak berkepentingan menggunakan pembebasan Megrahi untuk memburukkan Gadaffi.

Isu pembebasan Megrahi telah menyerlahkan lagi sikap hipokrit sesetengah negara yang kurang senang dengan kehadiran Gadaffi di arena antarabangsa. Walaupun Scotland telah dikecam dengan keputusan yang diambil, tetapi kecaman yang telah diterima oleh Libya menggambarkan seolah-olah Tripoli yang bersalah dalam hal tersebut.

Menarik diungkitkan kembali pada tahun 2007 apabila lima jururawat Bulgaria yang didapati bersalah oleh mahkamah Libya kerana meracuni pesakit dengan virus aid, Tripoli telah membuat keputusan untuk membenarkan jururawat tersebut menjalani hukuman di Bulgaria.

Kepulangan mereka disambut dengan meriah sekali oleh Presiden dan Perdana Menteri Bulgaria. Malah isteri Presiden Perancis dan wakil Kesatuan Eropah juga turut hadir menyambut kepulangan jururawat tersebut.

Tidak ada negara yang mengutuk sambutan besar-besaran yang berlaku di Bulgaria. Malah Tripoli yang dipersalahkan kerana dianggap mengenakan tuduhan yang sengaja direka.

Libya akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-40 pada 1 September ini. Sambutan tahun ini dianggap penting terutama sekali kepada Gadaffi kerana ia merupakan isyarat penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan beliau. Tetapi telah terdapat desas-desus yang menyatakan kebanyakan pemimpin dunia tidak akan hadir dalam sambutan tersebut gara-gara isu Megrahi.

Begitu ironis sekali Gadaffi yang cuba menggunakan sambutan kemerdekaan Libya sebagai isyarat noktah Tripoli dan kembali ke pangkuan masyarakat antarabangsa telah digagalkan pula oleh isu Lockerbie yang sepatutnya berakhir dengan penyelesaian bayaran pampasan pada tahun 2008.

Walaupun rakyat Libya begitu teruja dengan pembebasan Megrahi dan berterima kasih kepada Gadaffi, tetapi akhirnya isu tersebut menghantui beliau.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

0 comments: