Penekanan Kepolisan Komuniti



Penekanan Kepolisan Komuniti

JENAYAH biasanya berlaku di dalam persekitaran masyarakat. Maka tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakatlah yang lebih mengetahui bentuk jenayah dan individu yang terbabit berbanding seorang pegawai polis.

Berlandaskan konsep itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mewujudkan ‘Community Policing’ atau Kepolisian Komuniti yang dianggap sebagai salah satu strategi polis dalam mendekatkan orang ramai dalam membantu mengawal jenayah.

Mencungkil keberkesanan serta respons masyarakat terhadap konsep berkenaan, wartawan Utusan Malaysia, UMAVATHI RAMAYAH, ASSIM HASSAN dan jurugambar SHAIFUDIN MOHD. NOR menemu ramah orang nombor dua Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tan Sri Ismail Omar di pejabatnya, baru-baru ini.

UTUSAN: Tan Sri, boleh jelaskan apa sebenarnya peranan Kepolisan Komuniti dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

ISMAIL OMAR: Kepolisan Komuniti pada dasarnya diwujudkan sebagai salah satu strategi untuk mengurangkan jenayah dan ia merupakan satu pelan bersepadu polis dan masyarakat. Ia juga menjadi alternatif untuk menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang meragukan di persekitaran. Dengan ini akan wujud kesedaran masyarakat untuk bersama-sama dengan polis untuk mencegah jenayah melalui perkongsian pintar.

Boleh Tan Sri jelaskan senario jenayah semasa?

Apa yang jelas di sini, berdasarkan statistik kadar jenayah tahun lalu, ia masih di tahap yang terkawal kerana kita tidak melepasi dua peratus berbanding tahun sebelumnya. Dan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, kadar jenayah berada di bawah paras lima peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jadi saya berharap agar orang ramai tidak membuat andaian sendiri seolah-olah negara kita tidak selamat dengan hanya berpandukan beberapa isu.

Apa strategi atau pendekatan yang diatur melalui Kepolisan Komuniti, Tan Sri?

Kita telah mengatur beberapa strategi tertentu. Antaranya melalui kehadiran polis di kawasan-kawasan perumahan. Kaedah ini terbukti keberkesanannya dan telah dipraktikkan di negara-negara luar berkurun lamanya. Kita yakin kaedah ini pastinya akan memberi keyakinan kepada orang ramai.

Tapi saya mengakui kelemahan kita. Apa yang pasti kehadiran polis tidak boleh dilaksanakan seratus peratus. Ini kerana kita hanya ada 100,000 polis berbanding populasi penduduk yang mencecah lebih 26 juta.

Di sini kita boleh lihat wujudnya jurang di antara polis dan penduduk yang agak tinggi. Sebagai contoh, di Subang Jaya jika dilihat dari segi nisbah, seorang polis terpaksa menjaga 200 rakyat. Jadi di sinilah perlu kita bangkitkan Kepolisan Komuniti.

Jika kita lihat senario sekarang. Polis dilabelkan sebagai seorang yang garang dan sukar didekati. Bagaimana konsep Kepolisan Komuniti dapat diaplikasi dalam situasi sebegini?

Itu semua mitos semata-mata. Polis pun manusia juga. Bagaimanapun untuk mendekatkan masyarakat dengan polis, saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebelum ini telah mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai supaya memperbanyakkan pertemuan dengan masyarakat.

Kalau perlu masuk masjid, masuklah. Begitu juga dengan tempat-tempat lain. Apa yang kita mahu, kita dapat mendekati mereka. Ini yang sebenarnya apa dimaksudkan dengan Kepolisan Komuniti.

0 comments: