Telatah anak berpuasa dan neraca pahala
Oleh Mior Kamarul Shahid
Fatwa tok guru isu ahli Umno tak masuk syurga mengarut
BAGI setiap umat Islam, puasa adalah satu kewajipan untuk bekalan di akhirat. Setiap kanak-kanak Muslim diasuh berpuasa seperti ibu bapa mendidik mereka menunaikan kewajipan Rukun Islam itu. Dari segi lahiriahnya mereka dididik supaya menahan lapar dan dahaga, manakala dari segi zahiriahnya mereka diajar supaya menahan dan menjauhi daripada segala bentuk hawa nafsu. Dalam amalan berpuasa, setiap insan belajar dan mengulangi proses sama setiap tahun, berterusan selagi ada bintang dan matahari. Inilah proses pembelajaran amat bermakna dilalui oleh setiap umat Islam dalam membentuk jiwa individu dan masyarakat Islam yang taat kepada suruhan agamanya. Amalan setahun sekali ini benar-benar menusuk ke dalam jiwa setiap umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan. Anak-anak diasuh dengan nasihat supaya faham pengertian berpuasa. Pertama sekali mereka perlu yakin mengapa mereka wajib berpuasa, seperti mereka wajib menunaikan sembahyang lima waktu sehari. Untuk berpuasa mereka diajar niat berpuasa seterusnya larangan ketika berpuasa. Ibu bapa memberitahu anak perkara yang boleh membatalkan puasa dengan rasionalnya sekali seterusnya mereka diberitahu mengenai pahala dan dosa serta syurga dan neraka.
Di jiwa kanak-kanak Islam sudah tertanam mengenai perkara-perkara berkenaan. Mereka tahu dosa besar yang boleh menyebabkan mereka dicampakkan ke neraka. Menduakan Islam, melakukan dosa kepada ibu bapa, menyimpang akidah dan terbabit dalam perbuatan syirik, menyebabkan mereka tidak dapat mencium bau syurga. Pada mereka, syarat melayakkan seseorang itu masuk syurga terletak pada amalan dan kepatuhan seseorang kepada suruhan agama di samping tidak melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan mereka melakukan dosa besar. Untuk menyucikan diri, mereka menunaikan haji ke Makkah, bagi yang mampu. Anak tidak diajar perkara yang boleh menyebabkan mereka meragukan tindakan mereka berpuasa. Jika ketika berpuasa segala-galanya tidak boleh dilakukan, ia akan menyebabkan anak-anak berasa cemas dan takut. Setiap larangan mestilah lengkap dengan rasionalnya, bukan menakutkan mereka dengan perkara yang menjadi ketentuan Allah.
Bila ada tok guru mengatakan bahawa menganggotai Umno menyebabkan mereka tidak masuk syurga, bagi mereka ini adalah perkara mengarut yang tidak pernah mereka dengar. Sekiranya menganggotai Umno menyebabkan mereka masuk neraka, sudah tentulah perkara ini mereka ketahui sejak kecil lagi. Mereka juga tidak pernah mendengar fatwa yang mengatakan menyertai Pas akan membolehkan seseorang masuk syurga. Kenyataan seperti ini adalah keterlaluan yang menyebabkan umat Islam tidak boleh melakukan apa saja, walaupun berjuang untuk kepentingan ummah.
Setiap insan mempunyai pengalaman berpuasa yang tidak boleh mereka lupakan, terutama bagi mereka yang pernah tinggal di kampung. Bulan puasa adalah dinanti-nantikan kerana selepas sebulan menghadapi ujian, mereka mereka akan bergembira pula menyambut hari mulia � hari raya.
Sebelum ada televisyen, satu keluarga tercegat di corong radio pada malam melihat anak bulan untuk mendengar pengumuman puasa. Ketika itu keluarga yang memiliki radio dianggap mempunyai kelebihan. Mereka lebih awal mendapat maklumat mengenai puasa. Sebaik saja pengumuman rasmi dihebahkan di radio, maka terdengarlah suara melaung memberitahu jiran yang lain, 'esok kita berpuasa' atau ada yang mengingatkan jiran mereka, 'malam ini kita bersahur, esok mula puasa', jika anak bulan kelihatan. Jika anak bulan tidak kelihatan pula, laungan yang sama juga didengar dengan mengatakan, 'Anak bulan tak nampak, puasa, esok kita boleh makan sehari lagi.' Seketika kemudian terdengar pula dari corong pembesar suara pengumuman berpuasa dibuat Jabatan Penerangan. Di kampung-kampung Jabatan Penerangan menghantar pegawainya membuat pengumuman dari dalam van yang melintasi kampung-kampung. Hari ini, maklumat diperoleh dengan pelbagai cara, terbaru menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Bagi kanak-kanak, hari pertama berpuasa amat mencabar iman mereka. Selepas digerakkan dari tidur untuk bersahur, mereka sudah menyiapkan pemikiran mereka untuk menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Pada sebelah pagi biasanya duduk di rumah kerana tidak mahu membazir tenaga yang akan menyebabkan mereka cepat lapar. Ibu bapa menasihatkan mereka supaya jangan terlalu lasak nanti haus. Mereka juga dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan puasa. Mereka tidak suka kepada cuaca panas terik kerana ia menyebabkan mereka cepat dahaga, apatah lagi jika rumah mereka beratap zink. Dalam bulan puasa, anak-anak sering meludah kononnya takut tertelan air liur yang boleh menyebabkan puasa terbatal. Mereka lebih kerap berludah apabila ada orang bertanya sama ada mereka berpuasa atau tidak. Dengan berludah saja memberi gambaran mereka berpuasa. Pada waktu tengah hari, mereka mula diduga hebat ketika ibu memasak di dapur dan bau makanan tertusuk di hidung. Paling mencabar ialah jika ada antara adik mereka yang tidak berpuasa dan makan di depan mereka. Ketika itu, nasi yang dimakan dengan telur goreng kicap sudah cukup memberi tamparan paling hebat. Jika selama ini mereka tidak langsung memandang makanan seperti itu, tetapi pada bulan puasa ini, mereka terliur apabila menghidu bau apa saja makanan. Ketika itulah ibu bapa memujuk anak-anak supaya bersabar dan menahan diri daripada dugaan. Ramai juga yang kecundang pada hari pertama.
Bila hampir waktu berbuka, masing-masing sudah siap sedia di depan juadah. Mata mereka liar melihat makanan dan membuat perkiraan makanan apa yang hendak dimakan terlebih dulu. Mereka juga memilih gelas paling besar untuk menyesuaikan dengan keadaan dahaga yang mereka tanggung ketika itu. Sebaik saja azan Maghrib berkumandang, suasa menjadi riuh rendah dengan bunyi pinggan berlaga. Tidak lama kemudian, semuanya tersadai. Makanan yang dibeli di gerai hanya separuh yang disentuh.
0 comments:
Post a Comment