Minda Pengarang: Pegawai, kakitangan SPRM wajar dilindungi bongkar kes 'samseng'

Minda Pengarang: Pegawai, kakitangan SPRM wajar dilindungi bongkar kes 'samseng'

TIDAK cukup dengan kritikan, tohmahan, ancaman dan ugutan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menjadi sasaran perbuatan khianat. Terbaru, pacuan empat roda (4x4) milik SPRM dibaling bom api di Klang, kelmarin. Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan ugutan bunuh diterima Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan pegawainya berhubung kes kematian pembantu kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock. Polis percaya ia didalangi samseng atau kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan ahli politik tertentu yang kini disiasat SPRM. Walaupun siasatan masih dijalankan, kita yakin perbuatan khianat itu bertujuan menakut-nakutkan anggota SPRM yang menjalankan tugas. Jika sebelum ini mungkin ada yang 'lega' apabila taktik kotor mereka memberi tekanan kepada SPRM berhasil sehingga suruhanjaya itu mahu menghentikan siasatan terhadap ahli politik, ketegasan Ahmad Said untuk meneruskannya kembali meresahkan mereka. Ini menyebabkan mereka semakin terdesak sehingga sanggup melakukan perbuatan keji membaling bom api kepada kenderaan SPRM.

Mengimbas rentetan peristiwa membabitkan SPRM sejak beberapa bulan lalu, kita yakin teori polis bahawa kejadian terbaru ini mempunyai kaitan dengan kes berprofil tinggi yang sedang disiasat, memang ada asasnya. Jadi, tidak hairanlah jika mereka bersungguh-sungguh cuba mensabotaj kredibiliti serta operasi SPRM, sehingga sanggup mengambil tindakan membelakangkan undang-undang. Kita tidak menolak kemungkinan mereka akan bertindak lebih ganas pada masa depan dalam usaha mencapai niat jahat. Di sebalik risiko ancaman dihadapi SPRM, kita yakin jalan terbaik mengatasinya ialah dengan suruhanjaya itu terus gigih meneruskan usaha membongkar salah laku rasuah oleh pihak yang sedang disiasat. Sebarang langkah ke belakang oleh SPRM akan hanya menyuburkan lagi budaya ugutan dan dibimbangi menghantar isyarat yang salah kepada umum. Suruhanjaya itu perlu tekad menunjukkan bahawa ancaman atau ugutan tidak akan menyebabkan ia melepaskan tanggungjawab diamanahkan. Ia harus menjadikan tempoh sukar yang dilaluinya kini sebagai medan membuktikan kredibiliti dan integriti serta tidak pernah tunduk kepada tekanan. Pada masa sama, ia harus bersedia mendepani kemungkinan ancaman lebih besar pada masa depan.

Dalam konteks ini, langkah pengawasan perlu diambil khususnya bagi memastikan keselamatan pegawai dan kakitangannya terjamin. Kita tidak mahu berlaku kejadian tidak diingini yang mungkin menjejas semangat warga SPRM. Dalam pada itu, SPRM perlu bekerjasama erat dengan pihak berkuasa seperti polis untuk mendedahkan dalang di sebalik ancaman dan ugutan diterimanya selama ini. Hanya dengan mengheret mereka ke muka pengadilan, keyakinan rakyat terhadap SPRM yang mungkin sedikit tercalar kebelakangan ini dapat dipulihkan kembali.

0 comments: