KDN, PDRM atur pelbagai strategi kurangkan jenayah jalanan

KDN, PDRM atur pelbagai strategi kurangkan jenayah jalanan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my

KETIKA ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mungkin antara pihak yang paling sibuk kerana merangka dan menyediakan pelbagai perancangan bagi menangani jenayah jalanan. Sejak Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan sasaran mengurangkan 20 peratus kadar jenayah seperti ragut, samun tanpa senjata dan samun berkawan tanpa senjata api menjelang 2010, pelbagai inisiatif sudah mula diambil.

Bukanlah sukar untuk memahami mengapa Perdana Menteri meletakkan sasaran mengurangkan jenayah sebagai satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Paling penting, tentunya kerana saban tahun statistik jenayah jalanan meningkat ketara dan menjadi antara penyumbang terbesar kepada indeks jenayah di negara ini. Ia dianggar mewakili 17 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah 2008.

Beberapa lokasi turut disenaraikan sebagai kawasan panas (hot spots) bagi jenayah jalanan. Ia termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor yang mencatat sebanyak 72 peratus daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada 2008. Statistik kadar jenayah jalanan di Malaysia dari Januari hingga Jun lalu pula meningkat 9.58 peratus kepada 19,343 kes berbanding 17,652 kes pada tahun lalu.

Kes seperti ragut misalnya, mangsa yang kebanyakan daripada wanita bukan saja kehilangan wang dan barang, malah menanggung kecederaan serius dan kematian angkara si peragut yang tidak mengenal belas kasihan. Kejadian menimpa Jamilah Selamat, 31, wanita mengandung yang meninggal dunia selepas koma tiga hari akibat kepalanya terhentak di jalan dalam kejadian ragut di Jalan Kaloi, Taman Ayer Hitam, Johor pada 3 Mei lalu, satu contoh kisah mangsa ragut yang menyayat hati.

Itu belum mengambil kira beberapa kes lain yang membawa nasib sama kepada mangsanya. Daripada remaja hingga warga tua, semuanya tidak terkecuali. Lebih menyedihkan ialah apabila dalam sesetengah kes, nilai barang yang diragut tidak seberapa tetapi nyawa mangsanya melayang. Semuanya menyebabkan jenayah jalanan bukan sekadar perbualan hangat di kedai kopi, malah didebatkan di Parlimen.

Tidak juga dilupakan, peningkatan indeks jenayah meniti di bibir 'orang politik', malah pembangkang memilih isu peningkatan kes jenayah sebagai modal politik mereka menghentam kerajaan dan PDRM ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu. Namun, masalah itu sedang ditangani melalui kesungguhan kerajaan. Buktinya, kerajaan sudah mengenal pasti lebih 50 kawasan yang sering berlaku jenayah jalanan.

Fokus KDN bukan saja akan menambah anggota polis meronda di kawasan sering berlaku jenayah malah berusaha meningkatkan pengambilan anggota polis hingga 60,000 orang. PDRM juga diarah melihat kembali pengagihan dan pembahagian tugas mengikut waktu bagi memberi lebih tumpuan kepada tugas hakiki seperti rondaan kerana lebih 30 peratus masa anggota polis sekarang digunakan untuk kerja lain seperti pentadbiran dan perkeranian.

Turut dilaksanakan ialah penempatan kumpulan anggota polis sukarela membabitkan kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota Rela yang dipilih menjalani kursus selama dua minggu. Seramai 1,000 anggota Rela dan JPAM sedang dan sudah ditemu duga serta menjalani pemeriksaan kesihatan. Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) akan turut digerakkan bagi tujuan itu.

Selain itu, fungsi dan tanggungjawab 570,890 anggota Rela akan dinilai semula untuk menjayakan semangat kesukarelaan membantu pihak berkuasa membanteras jenayah jalanan. kerajaan juga akan menambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sering berlaku kejadian jenayah jalanan iaitu masing-masing 300 di Kuala Lumpur dan Selangor serta Pulau Pinang dan Johor masing-masing 150 unit.

Atas kesedaran bahawa maklumat dan kerjasama masyarakat menjadi kunci kejayaan pihak berkuasa menangani jenayah, KDN meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai 'kawasan panas' kepada pihak berkuasa termasuk melalui kemudahan portal KDN di www.ikdn.gov.my dan www.ikdn.org.my, supaya tindakan dapat diambil segera.

Mungkin satu lagi cadangan yang pernah beberapa kali dilontarkan iaitu melarang motosikal daripada memasuki kawasan tertentu di ibu negara dan bandar besar bagi mengurangkan jenayah ragut bermotosikal, diberi pertimbangan sewajarnya dan dikuat kuasa segera.

Apa yang pasti, pucuk pimpinan negara meletakkan harapan tinggi menggunung di atas bahu KDN dan PDRM bagi mencapai sasaran mengurangkan jenayah jalanan di negara ini. Perubahan sudah tampak jelas. Bermula dari pegawai tertinggi PDRM di Bukit Aman hinggalah peringkat daerah semuanya sibuk mengatur perancangan dan gerakan bersepadu membanteras jenayah itu seperti diarah pucuk pimpinan negara.

0 comments: