Menghidupkan Chukotka

Menghidupkan Chukotka


PEMANDANGAN blok-blok pangsapuri baru di Anadyr, Chukotka menjadi bukti kepesatan ekonominya.


LILIA OMRYTAGINA baru sahaja melahirkan anak keduanya, Ruslan di hospital yang memberi khidmat kepada penduduk bandar terbesar di Chukotka, Rusia.

"Kami mempunyai keyakinan pada masa depan," kata ibu berusia 28 tahun itu.

Chukotka, lebih hampir dengan Alaska berbanding Moscow, yang dihidupkan semula dengan wang berbilion dolar oleh bekas gabenornya, Roman Abramovich. Gaji penduduk meningkat secara signifikan sewaktu dia mentadbir, sekali gus melegakan para pengembala rusa kutub yang amat memerlukan subsidi selepas kejatuhan Soviet Union.

"Saya dipilih ketika Chukotka mengalami krisis," kata Abramovich yang mentadbir rantau yang dua kali ganda lebih besar daripada negara Jerman, bermula lewat tahun 2000 sehingga Julai 2008.

Kini, Chukotka menjadi rantau terbesar yang menghasilkan emas di Rusia. Ia membekalkan satu perlima daripada keluaran keseluruhan emas negara sejak pelombong dari Kanada, Kinross Gold Corp melancarkan lombong Kupol miliknya pada pertengahan tahun 2008.

Pangsapuri

Di ibu negerinya, Anadyr, blok-blok pangsapuri berwarna terang nampak menyerlah di sebalik musim sejuk yang memutih. Manakala jalan-jalan baru makin rancak dibina dan hospital telah dibaik pulih sepenuhnya.

Timbalan ketua doktor di hospital tersebut, Marina Ostras mengambil kesempatan memeriksa peralatan ultra bunyi yang dibuat oleh firma Amerika, General Electric. Dianggarkan seramai 800 bayi dilahirkan di Chukotka setiap tahun. Sementara angka kematian penduduknya hanya sekitar 500 orang setahun.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, populasi Rusia mungkin akan jatuh ke angka 131 juta orang menjelang tahun 2025, berbanding 142 juta orang sekarang. Jumlah itu disumbang oleh tabiat buruk seperti pengambilan alkohol, merokok dan diet tidak seimbang yang menyebabkan banyak kematian.

"Jika itu menjadi masalah di Rusia, apa yang berlaku di sini adalah sebaliknya," kata Ostras.

"Selain itu, trend memiliki lebih daripada seorang anak semakin popular. Saya yakin saya boleh menyara anak-anak. Sedekad lalu, saya tidak begitu pasti," kata seorang akauntan berusia 23 tahun, Anastasia Khvoroschanskaya sambil membuai anak keduanya, Alexander.

Di Anadyr, mataharinya terbenam sembilan jam sebelum Moscow, sama dengan Tonga di Pasifik. Populasi bandar itu jatuh sebanyak 30 peratus dalam tempoh 15 tahun selepas kejatuhan Soviet Union. Namun, orang tempatan enggan berpindah.

"Abramovich membolehkan kami berdiri di atas kaki sendiri," kata Nail Gaifullin, 28, yang bekerja di kilang memproses ikan.




Kedudukan geografi Chukotka yang terpencil dan sering disifatkan sebagai satu sumpahan telah menjadi penyelamat ketika kemelesetan ekonomi. Perkataan kemelesetan ekonomi jarang didengari di sana yang gaji bulanan penduduknya sekitar 40,000 roubles (AS$1,285 atau RM4,497) sebulan, hampir dua kali ganda gaji purata di Rusia.

"Orang ramai masih berbelanja. Kuasa membeli kami tidak jatuh," kata timbalan pengarah pusat beli-belah Field of Wonders, Ivan Biryukov, 62.

Harga bahan api diselaraskan setahun sekali untuk disesuaikan dengan tempoh perjalanan pada musim panas. Ia menjadi masa paling sesuai untuk menghantar bekalan melalui jalan laut. Masa yang berbaki membolehkan 200 pekerja limbungan di Pelabuhan Laut Anadyr membaiki kapal-kapal yang rosak akibat dimamah cuaca.

"Kami membawa masuk arang batu, bahan binaan, makanan dan semua yang diperlukan untuk hidup di Chukotka," kata pengarah pelabuhan, Viktor Tyukhty.

Bahan binaan

Katanya, satu-satunya kesan krisis kewangan adalah penghantaran bahan-bahan pembinaan yang perlahan pada tahun ini.

Bagi 50,000 penduduk di Chukotka yang separuh daripadanya merupakan etnik Rusia, mereka mengakui bukan mudah untuk mengekalkan keyakinan tersebut. Abramovich yang membelanjakan AS$2.5 bilion (RM8.75 bilion) mengakuinya.

"Masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Tetapi rantau ini berada di posisi lebih baik untuk menghadapi cabaran," katanya. Roman Kopin, timbalan Abramovich sebelum menjadi gabenor pada tahun lalu memberitahu, perlombongan menyumbang 37 peratus kepada ekonomi rantau itu, meningkat daripada 22 peratus pada tahun lalu.

Masyarakat peribumi yang meliputi hampir 30 peratus populasi juga menerima manfaat daripada pelaburan baru ke atas penternakan ikan dan daging rusa kutub yang dijual secara komersial.

Sebuah syarikat reka bentuk yang berpusat di Moscow telah mengubahsuai muzium di sana. Mereka memasang lampu baru, paparan dengan skin sentuh dan permainan interaktif berdasarkan gaya hidup masyarakat peribumi.


SEORANG pekerja tekun mengawal leburan emas di lombong emas Kupol di Chukotka.


Industri pelancongan yang matang meletakkan sasaran untuk menarik lebih ramai pelancong. Tahun lalu, tidak sampai 1,000 pelancong tiba di Chukotka, jelas pengurus syarikat Northern Travel, Aivana Enmynkao, 31.

"Kami cuba untuk membina imej Chukotka sebagai tanah untuk Orang Asli," kata Enmynkao, anak kacukan Eskimo dan Chukcha.

Abramovich memilih untuk tidak mendedahkan motivasinya secara terbuka ketika bergelar gabenor. Ada yang berpendapat semua itu seakan-akan satu 'perjanjian' dengan presiden Vladimir Putin, ketua negara Rusia ketika itu, untuk menyumbang sedikit kekayaan yang diperolehnya daripada perusahaan minyak dan aluminium. Ada pula yang berpandangan Abramocih ingin mencuba nasib dalam dunia politik.

Syarikat miliknya menyelia sebuah lombong kecil di Chukotka dan Sibneft. Sementara syarikat minyak yang dijual kepada firma Gazprom pada tahun 2005 dilihat aktif di rantau tersebut.

Namun begitu, kebanyakan pelaburan Abramovich di Chukotka adalah menerusi kebajikan dan membina kembali infrastruktur, rumah, pendidikan serta penjagaan kesihatan.

"Saya akan terus melabur di Chukotka dalam projek-projek komersial yang membantu mencipta peluang pekerjaan dan melebarkan tapak cukai. Tidak terkecuali melalui yayasan-yayasan kebajikan," katanya yang masih bertindak selaku pengerusi dewan perundangan Chukotka. - AFP

0 comments: