Susah kalau perkara agama ni disampaikan kepada org yg lemah otak. Tahap diaorg rendah, buat ler tahap rendah.
Apabila ummah jadi mangsa demokrasi
Oleh Md. Shukri Shuib
Provokasi dalam 'fatwa' politik perlu dihentikan elak perpecahan di kalangan orang Melayu
PROVOKASI dilihat sebahagian daripada perlakuan politik. Disebabkan provokasi, ceramah politik sering mendapat perhatian umum dan digemari masyarakat. Medan pilihan raya yang penuh dengan agenda ceramah pastinya wujud penceramah dan pemimpin yang akan menggunakan elemen provokasi, menawarkan janji fantasi sebagai pemanis bicara.
Ini semua adalah konsep kempen dalam politik. Namun dalam Islam, adakah wujud garis panduan berucap dan jika wujud, maka perlukah seluruh umat, termasuk ahli politik menghormati adab tatkala memberi ucapan itu?
Dalam konteks politik Malaysia, dilihat sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin, terutama pembangkang untuk menimbulkan provokasi, sebagai modal kempen bagi menonjolkan diri, calon, pemimpin atau parti yang mereka wakili.
Secara adatnya, yang memerhati untuk mengkritik adalah lebih mudah daripada mereka yang bekerja untuk menunaikan tanggungjawab terhadap sesuatu pekerjaan. Di negara kita, menjadi pembangkang yang kini juga menguasai beberapa negeri, dilihat lebih gemar menghabiskan masa berceramah daripada menunaikan tugas di kawasan masing-masing.
Untuk itu, lontaran provokasi dan isu serta mencipta alam fantasi demi kemajuan parti dan politik mereka adalah sinonim dengan pembangkang. Dalam hal ini, Umno dan komponen Barisan Nasional (BN) ‘gagal’ kerana pemimpinnya lebih bertumpu kepada usaha untuk membawa pembangunan, yang sememangnya memang diperlukan rakyat.
Tetapi bagi pakatan pembangkang, mereka bijak menggunakan komunikasi politik untuk menuju sasaran mereka. Dalam keghairahan itu, sesetengah pemimpin mereka tersasar hingga mencetus kontroversi seperti isu masuk syurga.
Keluhuran berpolitik akan tercalar jika setiap pemimpin parti dan pengikut masing-masing ghairah ‘berfatwa’ dan berbicara seolah-olah negara ini tiada susunan perundangan dan badan berkuasa tersendiri.
Hak Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dihormati lapisan masyarakat, termasuk pemimpin pembangkang. Bayangkan jika setiap ulama dalam negara, mengeluarkan ‘pandangan’, malah ‘fatwa’ atau ‘amanat’ berasaskan kepada fahaman dan pandangan masing-masing, maka apa akan berlaku kepada komuniti Islam secara keseluruhannya.
Maka, akan berlaku perpecahan disebabkan oleh berbeza ‘corak fikiran’, termasuk beralaskan kepada politik kepartian yang akhirnya merugikan semua pihak. Untuk itulah, dalam pembinaan negara sejak sekian lama dalam sejarah peradaban Islam, kepemimpinan ‘ulil amri’ yakni pemerintah diberikan hak untuk mengurus dan menjana badan berwibawa berasaskan fungsi tertentu seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.
Petikan ucapan provokatif pemimpin Pas seperti ‘Percayalah saudara-saudara sekalian, perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku’.
Jelas bahawa Islam menerusi Pas adalah bertujuan politik dan mempolitikkan Islam sering menjadi wadah parti itu dalam meraih simpati dan membina sokongan, apatah lagi dalam kempen pilihan raya dan kini berusaha untuk memenangkan calonnya di Permatang Pasir.
Sedarlah bahawa mudah benar untuk memprovokasi, tetapi bagi memadamkan impak tindakan akibat ucapan provokasi itu, cukup sukar dilakukan. Janganlah kerana parti dan mengejar keuntungan politik untuk ke puncak kuasa, maka Islam dijadikan sandaran bukan memperteguhkan iman, tetapi dijadikan alat membina seteru dalam masyarakat.
Benarlah bahawa menerusi demokrasi dan pilihan raya, secara tidak langsung ia memberi kesan kepada umat Islam dan ajarannya. Kesan nyata ialah dalam perlumbaan untuk mendapatkan kuasa, maka demi politik, mempolitikkan Islam dilihat signifikan dan ‘dihalalkan’.
Adakah penganut agama lain turut juga berpolitik sedemikian rupa sehingga menafikan hak pengikut mereka yang lainnya dalam landasan agama mereka?
Umat Islam dan pemimpin Muslim dalam setiap parti di negara ini wajar memahami bahawa pilihan raya adalah alat mendapatkan sokongan kepada kuasa dalam perihal demokrasi, bukannya Islam itu pula dijadikan alat dalam pilihan raya untuk mengejar kuasa demi dokongan kepada cara demokrasi.
Jika ini berlaku dan Islam pula dijadikan alat untuk mendapat sokongan, maka jelas demokrasi menyesatkan ahli politik serta masyarakat daripada mengamalkan ad-din Islam yang sebenar, dan ini perlu disedari umat Islam.
Janganlah pula kerana demokrasi sebuah negara yang kini adalah negara Islam, berakhir dengan penguasaan politik oleh yang bukan Islam dalam kancah kuasa negara, suatu hari nanti atau pemerintahan negara yang dikawal oleh orang bukan Islam.
Umat Islam dan ahli politik Islam sepatutnya menerajui usaha membawa wadah dakwah yang terbaik dalam komuniti. Menyeru yang baik dan meninggalkan yang buruk. Bukannya menyeru kepada parti dan menseterukan parti yang lain, walaupun mereka adalah sesama saudara seagama.
Islam itu ad-din, dan dengan ad-din itulah sepatutnya kita bertingkah laku. Janganlah kerana mengejar kuasa, maka Islam dirosakkan serta Melayu yang menjadi penganut Islam secara total dinafikan iman mereka kerana hanya berlainan pandangan serta komitmen parti.
Sabda Rasulullah SAW bahawa ‘barang siapa memanggil dan menyebut seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu’ (Riwayat al-Bukhari).
Bahkan Allah SWT berfirman: ‘Hai orang yang beriman, apabila kamu pergi berjihad di jalan Allah, maka selidiki sebaik-baiknya dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang memberi salam kepadamu ‘Engkau bukan mukmin’, Kamu hendak mencari harta kehidupan di dunia, padahal di sisi Allah banyak kekayaan’. Inilah betapa indahnya Islam yang difardukan Allah dan diwarisi oleh Rasulullah SAW dengan menuntut perilaku terbaik di kalangan mereka yang beriman.
Penulis ialah Pensyarah Politik Dunia Islam di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah
0 comments:
Post a Comment