Dua calon sama-sama tempuh saat getir

Dua calon sama-sama tempuh saat getir

Oleh Anwar Hussin

Prestasi BN sejak diterajui Najib merisaukan PR terutama selepas pilihan raya DUN Manek Urai

BARISAN Nasional (BN) mungkin berdepan 'laluan sukar' pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tetapi Pakatan Rakyat turut goyah dalam pertandingan yang dijangka sengit kali ini. Sukar bagi BN kerana Permatang Pasir adalah kawasan DUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang juga kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, prestasi BN yang melonjak sejak diterajui Datuk Seri Najib Razak, mula menjadi kerisauan Pakatan Rakyat terutama selepas apa yang berlaku pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan. BN yang dianggap lemah dan boleh ditewaskan dengan mudah berjaya mengecilkan majoriti undi Pas kepada 65 dan secara langsung membuka mata dan telinga banyak pihak. Keadaan inilah yang menggusarkan Pakatan Rakyat terutama Pas dalam pertandingan kali ini.

Umno yang mempunyai 25 cawangan dalam DUN Permatang Pasir dengan keahlian berjumlah 5,544 orang, jika mampu mencapai kemenangan dalam pilihan kecil kali ini, akan menjadi titik permulaan kepada parti itu dalam usaha menawan kembali hati rakyat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Kerisauan terbayang pada wajah pemimpin Pas bagi mempertahankan kerusi Permatang Pasir. DUN ini adalah medan ujian kredibiliti Pakatan Rakyat terutama di tiga negeri di bawah pentadbirannya.

Isu meroboh kandang babi di Kedah, Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, krisis kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, isu liwat Penasihat PKR dan terbaru isu Ooi Chuan Aun (Jeff Ooi) yang melabel kumpulan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis yang menyokong keganasan adalah rentetan kepada kelemahan dan 'ribut' yang sedang melanda Pakatan Rakyat.

Umno dan BN harus berusaha dengan bijak untuk keluar sebagai pemenang dalam pertandingan ini dan sewajarnya meletakkan kejayaan ini sebagai kembalinya sokongan rakyat dan menandakan kebangkitan semula sebagai parti unggul memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Apa juga masalah dalaman dalam Umno Pulau Pinang harus diketepikan, kepentingan rakyat dan parti perlu diutamakan.

Angin perubahan harus digunakan sepenuhnya, rakyat mula sedar Pakatan Rakyat yang disertai PKR, Pas dan DAP tidak menguntungkan Melayu. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN mempunyai banyak isu mengenai penyelewengan, pembohongan dan kelemahan Pakatan Rakyat. Umno pasca 'kemenangan' di Manek Urai makin bersemangat untuk menang di Permatang Pasir dan kempen berhati-hati yang dilakukan di Manek Urai harus dikekalkan dalam usaha merampas kembali Permatang Pasir.

Bagaimanapun, seperkara yang paling menonjol dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir ini ialah corak kempen. Apa yang berlaku mengejutkan banyak pihak kerana ia menjadi medan pembunuhan karektor terutama kepada calon BN, Rohaizat Othman. Perkembangan seumpama itu tidak perah berlaku dalam beberapa siri pilihan raya kecil lalu sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, mahupun Manek Urai. Dalam kempen ceramah Pas contohnya, tiada lagi kedengaran isu membawa pembaharuan atau membina negara Islam sebaliknya ia hanya dipenuhi tembakan tepat ke arah personaliti Rohaizat.

Calon BN itu dikaitkan dengan isu integriti apabila lesen guamannya ditarik balik oleh Majlis Peguam kerana didapati terbabit dalam kes penyalahgunaan wang pelanggan. Walaupun beliau sendiri dan pemimpin Umno lain sudah memberi penjelasan bahawa isu berkenaan sudah selesai apabila pengadu menarik balik aduannya tahun lalu, ia tidak cukup untuk meredakan keadaan, malah terus hangat diperkatakan sebagai modal kempen paling besar oleh Pas.

Tidak cukup dengan itu, bekas rakan kongsi beliau, Yusri Ishak pula muncul untuk menjelaskan bahawa beliau dijadikan kambing hitam dalam kes terbabit. Bercakap atas platform yang disediakan oleh Pas kelmarin, Yusri bagaimanapun tidak menafikan beliau terbabit dalam kes berkenaan cuma beliau tidak mahu dipersalahkan seorang. Beliau juga memberikan pelbagai bukti yang didakwa menyokong pendedahannya berhubung apa yang berlaku.

Bagaimanapun, jika Pas mengharapkan strategi kempen dengan pembunuhan karektor seperti yang dilakukan terhadap Rohaizat memanfaatkan mereka, percaturan itu mungkin silap. Isu berkenaan kelihatan tidak berakhir di situ saja kerana kini tiba pula giliran calon Pas, Mohd Salleh Man berdepan keadaan yang sama. Beliau dikatakan terbabit dalam isu menggelapkan wang pilihan raya kecil Permatang Pauh sebanyak RM600,000 seperti didedahkan dalam sebuah blog. Hakikatnya kini, Mohd Salleh berdepan keadaan sama seperti Rohaizat iaitu menghadapi kempen pembunuhan karektor.

Tidak cukup dengan itu, perang berkenaan dijangka menjadi semakin sengit menjelang hari membuang undi minggu depan. Sehingga ini pun, spekulasi sudah timbul bahawa beberapa isu peribadi lain mengenai Rohaizat akan turut didedahkan oleh Pas bagi dijadikan modal kempen mereka. Serangan berkenaan dijangka tidak mengenal batas sempadan malah apa saja keburukan, hatta yang membabitkan ahli keluarganya akan dijaja sepenuhnya. Matlamat perbuatan itu cuba satu iaitu untuk mematikan wataknya lebih awal dalam persaingan merebut kerusi DUN Permatang Pasir.

0 comments: