Barat restui kezaliman melampau Israel ke atas rakyat Palestin

Barat restui kezaliman melampau Israel ke atas rakyat Palestin

Oleh Azman Abdul Hamid
bhnews@bharian.com.my

MASYARAKAT antarabangsa masih dibuai mimpi setiap kali membincangkan isu Israel dan Palestin. Perdamaian boleh dicapai, kata sesetengah pihak. Pandangan itu sungguh menakjubkan kerana di wilayah ditakluki Palestin segala macam kekejaman dan penindasan berlaku terhadap penduduk Palestin secara terang mahupun diam.

Saban hari, polis Israel mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di sekitar Baitulmaqdis. Setiap kali ia berlaku, media asing menyiarkan laporan betapa banyak pihak membantah dan mengkritik perbuatan itu. Daripada agensi berita antarabangsa, hingga akhbar arus perdana di Barat, semuanya mengecam tindakan kejam rejim Zionis.

Amerika Syarikat di bawah teraju Presiden Barack Obama pula mengeluarkan kenyataan menyesali tindakan Zionis itu dan menyifatkannya satu provokasi yang hanya menjejaskan peluang mencapai kemajuan dalam proses damai. Hakikatnya, semua itu kenyataan yang tiada makna kerana ia sekadar menunjukkan Barat menerima kezaliman Israel yang dilakukan secara terang mahupun diam.

Ketika hayatnya, pengasas Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat, sedar beliau tidak akan menang kerana bumi Palestin tiada aset berharga dan musuh memerhati pergerakannya daripada segenap penjuru. Apa yang ditinggalkan Arafat ialah identiti Palestin sebagai bangsa yang berhak ada negara sendiri menerusi intifada.

Malangnya, identiti Palestin itu juga kini tergugat. Israel sudah lama mengisytiharkan keseluruhan Baitulmaqdis sebagai kotanya sampai bila-bila dan ia dilakukan dengan memecah dan membahagikan wilayah ditakluki kepada daerah kecil dengan membina tembok keselamatan menyusuri Tebing Barat.

Tidak cukup dengan tindakan yang ketara sekali melanggar undang-undang antarabangsa, langkah lain turut dilakukan secara senyap-senyap. Antara saksi kepada rancangan senyap Israel merampas keseluruhan wilayah ditakluki Palestin pada masa depan ialah Gary M Burge, profesor New Testament di Kolej Wheaton, Chicago.

Beliau adalah penulis buku Whose Land? Whose Promise? What Christians are not being told about Israel and the Palestinians 2003. Dalam artikel bertajuk 'A Third Uprising' (Intifada ketiga), Burge mendedahkan apa yang menimpa Jabal Mukabber, sebuah perkampungan di timur Baitulmaqdis mengikut pemerhatian Jawatankuasa Israel Menentang Pemusnahan Rumah (ICAHD).

Jabal Mukabber seperti juga kampung Palestin lain bukan tarikan pelancong mahupun penduduk Yahudi. Jabal Mukabber tiada sistem perparitan, paip airnya kering, jalan rayanya pecah di sana sini. Ia juga tiada perpustakaan atau taman. Bangunan sekolah juga retak. Dalam erti kata lain, infrastruktur Jabal Mukabber rosak kerana tidak dijaga majlis perbandaran Yahudi Baitulmaqdis sejak 1967.

Apabila penduduk Palestin mahu memperbaiki infrastruktur itu, mereka tidak diberi permit. Jika ia dilakukan juga, jentolak Israel akan memusnahkannya. Sebanyak 300 kediaman Palestin dimusnahkan di Baitulmaqdis sejak 10 tahun lalu. Menariknya ialah apa yang berlalu di sebelah Jabal Mukabber � kawasan kediaman cantik Yahudi dipanggil Nof Zion yang ada parit dan paip air moden untuk membolehkan penghuni Yahudi mandi dalam kolam renang dan cukup air untuk taman mereka.

"Saya diberitahu pekerja bantuan bahawa taktik ini umpama mencekik ekonomi Palestin. Di perkampungan Palestin di Baitulmaqdis dan Tebing Barat, air hanya diberi seminggu sekali. Di Beit Jala, penduduknya menerima air sekali saja tahun ini pada Jun lalu.

"Pegawai ICAHD berkata, matlamatnya ialah meningkatkan kekecewaan penduduk Palestin sehingga mereka meninggalkan kampung halaman," kata Burge yang meramalkan intifada baru bakal meletus.

Jadi, isu penempatan Yahudi, hak pelarian Palestin untuk pulang, Baitulmaqdis dan negara Palestin akan terus buntu selagi Israel bebas melakukan sesuka hati tanpa sekatan di wilayah ditakluki Palestin, secara terang atau diam.

0 comments: