Menjana ekonomi dan pertahan maruah wanita

Menjana ekonomi dan pertahan maruah wanita

Oleh SOBRI SUDIN

TIDAK dapat disangkal, Malaysia antara negara Islam yang paling ketara memberikan hak sewajarnya kepada kaum wanita.Semua ruang dan peluang itu berpaksikan prinsip meritokrasi dan tidak berdasarkan diskriminasi gender.

Ia harus dilihat sebagai antara dasar kerajaan yang berupaya meletakkan kaum wanita begitu dominan dalam tiga bidang.Pertama, sebagai tenaga penting dalam menggerakkan ekonomi negara. Ini dapat dilihat menerusi sumbangan tenaga kerja wanita baik di dalam sektor awam mahupun swasta.

Kedua, sebagai penyumbang utama dalam kelangsungan institusi keluarga. Justeru peranan selaku suri rumah tidak harus dilihat daripada perspektif yang bersifat negatif.

Sebaliknya golongan inilah yang menjadi jentera penting dalam menyediakan aset pembangunan insan untuk pembangunan negara.

Ketiga, sumbangan wanita juga ada dalam bidang utama lain. Misalnya politik, pendidikan, pengisian jumlah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), kewangan, keusahawanan dan permotoran, pengangkutan, industri fesyen dan banyak lagi. Kejayaan-kejayaan itu memperlihatkan tiada batas diskriminasi berdasarkan perbezaan gender.

Penulis perhatikan dalam senario kependudukan hari ini, maka ruang dan penyertaan lebih besar wajar diberikan kepada kaum wanita. Ia tidak terhad kepada kuota bagi jawatan utama sektor awam dan pembuat dasar.

Lebih mustahak bagaimana menjana kemampuan wanita pada pelbagai peringkat untuk turut mendokong usaha menambah ekonomi keluarga. Namun pada masa sama, mereka tetap mampu menjaga maruah dan keselamatan diri.

Hubung kait kegiatan ekonomi dan peningkatan maruah serta martabat wanita dapat dilihat dari ruang lingkup yang kecil sehinggalah kepada teras aktiviti ekonomi dasar.

Contohnya lihat sahaja betapa ramai tenaga kerja wanita yang terpaksa menggunakan perkhidmatan awam saban hari untuk ke tempat kerja di seluruh negara.

Tidak salah kalau dikatakan, sebahagian mereka sewaktu menuju ke tempat kerja, sering menjadi mangsa cabul, diraba atau lebih malang dirogol.

Ini tentulah suatu musibah yang boleh dielakkan jika semua pihak khususnya pihak penggubal dasar dan kepimpinan negara mempunyai iltizam politik yang tinggi. Selain dasar praktikal yang boleh digerakkan secara bersungguh-sungguh dan bukan melibatkan retorik politik yang berterusan.

Apakah tidak boleh misalnya diwujudkan Women Taxi seperti di Iran, dengan pemandunya adalah wanita dan teksi berkenaan dikhususkan untuk penumpang wanita sahaja.

Demikian juga Women Bus, boleh diperkenalkan khususnya di bandar raya besar, yang pemandunya adalah wanita dan penumpangnya juga dikhaskan kepada kaum hawa itu sahaja.

Bagi perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), disediakan gerabak khusus untuk wanita. Ini lebih mendatangkan keselesaan kepada golongan berkenaan daripada terus menjadi mangsa cabul, rogol, raba dan terdedah kepada kejadian yang tidak diingini.

Jika ini menjadi realiti, bukankah peluang dalam industri pengangkutan boleh diagihkan kepada kalangan ibu tunggal atau kalangan wanita miskin yang selama ini terhad punca pendapatan mereka?

Ini boleh dimanifestasikan dalam bentuk pemberian permit teksi dan bas individu serta pelbagai perkhidmatan lain.

Dalam masa sama, sekian banyak tenaga kerja yang dibazirkan boleh dimaksimumkan. Ini mampu mengelak kalangan wanita miskin dan ibu tunggal misalnya atau yang diabaikan nafkah dapat meneroka peluang rezeki bentuk baru.

Ia sekali gus dapat mengelak golongan berkenaan dari kancah pekerjaan yang tidak bermoral.

Demikian juga bagi kalangan wanita berkeluarga yang bekerja dan mempunyai anak. Tugas harus diseimbangkan, justeru apa salahnya bagi kalangan ini yang mempunyai dwi fungsi diberikan insentif sebagai dasar penggalakkan ke atas sumbangan mereka selama ini.

Selain diutamakan cuti bersalin dua atau tiga bulan bagi wanita bekerja, insentif lain juga wajar diberi keutamaan untuk merangsang aktiviti mereka di tempat kerja.

Antaranya dalam bentuk cuti tahunan yang lebih berbanding pekerja lelaki, insentif tahunan yang dinamakan percutian keluarga atau tambahan geran saraan bagi anak-anak.

Dalam masa sama, dwi fungsi yang mereka lakukan sebagai seorang ibu, suri rumah dan pekerja sepenuh masa di sektor awam atau swasta dapat dihargai dengan cara yang lebih wajar.

Demikian juga bagi kalangan suri rumah sepenuh masa, yang tidak mampu mengupah pembantu rumah.

Mereka ini adalah golongan pekerja yang tidak mempunyai jadual khusus. Malah seluruh masa mereka pada hakikatnya adalah untuk bekerja.

Tidak bolehkah kerajaan menyediakan insentif bulanan seperti elaun atau gaji berdasarkan pendapatan isu rumah dan jumlah bilangan anak?

Ia sebagai penghargaan kepada tugas para ibu dan suri rumah sepenuh masa yang menguruskan rumahtangga demi membangun dan mendidik aset modal insan negara pada masa depan.

Wang berkenaan juga akan dialirkan semula dalam pasaran dalam bentuk perbelanjaan dapur, dan keperluan asas harian keluarga berkenaan.

Tetapi jika insentif ini menjadi kenyataan, para suami dan bapa janganlah pula bersikap lepas tangan dengan tidak lagi memberi belanja dapur bagi isteri mereka yang bertugas sebagai surirumah sepenuh masa.

Insentif lain juga boleh diwujudkan, misalnya penjadualan semula waktu kerja, dengan memastikan syif bagi kalangan kaum wanita harus disesuaikan selaras dengan peningkatan kadar jenayah dan sebarang kemungkinan tragedi pencabulan seperti jenayah ragut, rogol dan cabul yang kian meningkat.

Bagi kalangan GRO dan pelacur, barangkali usaha bersepadu bukanlah sekadar dalam bentuk 'menghukum'. Tetapi perlu digubal satu dasar konsisten bagaimana untuk mengelak gadis remaja khususnya daripada terjebak ke kancah ini.

Bagi yang sudah terjebak pula, apakah formula yang sesuai di pihak kerajaan dan NGO berkaitan untuk menyelamatkan mereka.

Apakah perlu diberi latihan kemahiran, pendidikan atau bantuan modal? Atau dibuka ruang bagi usaha penerokaan bidang pekerjaan lain yang lebih halal, terhormat dan tidak tercela maruah mereka.

Jika ini boleh dijayakan, tidak mustahil tenaga wanita yang begitu ramai dan sudah terbukti dalam memperkaya kemajuan ekonomi negara dapat dirangsang secara lebih efektif. Di samping itu, ia akan menjadi satu 'kuasa baru' dalam memperkasakan ekonomi negara.

Dalam masa sama, maruah dan martabat mereka dapat dipelihara seperti yang ditekankan oleh agama. Ini juga mampu memenuhi konsep Satu Malaysia daripada perspektif wanita secara yang lebih harmoni dan dinamik.

PENULIS ialah Felo Unit Ekonomi dan Politik, Yayasan Sumber Maklumat.

0 comments: