Kematian Noordin masih jadi misteri di Indonesia
Oleh Khaidir A Majid
TEKI-teki mengenai hidup atau matinya suspek pengganas warga Malaysia, Noordin Mohd Top masih menjadi tumpuan media Indonesia sehingga semalam.
Spekulasi dibuat mempunyai alasan masing-masing. Namun sebelum keputusan ujian DNA diketahui dalam satu atau dua minggu lagi, tidak ada siapa secara yakin boleh menyatakan lelaki ditembak mati di Temanggung, Jawa Tengah, Sabtu lalu adalah benar-benar Noordin.
Malah, pendirian rasmi polis Indonesia sama seperti sebelum ini iaitu keputusan DNA harus dinantikan.
Bagaimanapun, sumber polis yang terbabit dalam operasi selama 17 jam berkenaan yang dipetik akhbar republik itu yakin bahawa si mati memang Noordin. Menurut sumber itu, pihaknya mengintip suspek selama satu minggu sebelum melancarkan operasi. Suspek diekori ke mana saja dia pergi dan polis mengetahui di mana suspek makan. Malah, gambarnya dirakam dan satu ketika dalam tempoh pengawasan itu polis menjejaki suspek tidur di tanah perkuburan.
Anggota unit antipengganas polis, Detasemen Khusus 88 Antiteror (Densus 88) mula menjejak suspek selepas memintas perbualan telefon salah seorang daripada orang kepercayaannya. Noordin dipercayai tidak pernah menggunakan alat komunikasi elektronik sejak diburu polis enam tahun lalu.
Segala hubungan dibuat bagi pihaknya oleh orang kepercayaannya. Dalam hubungan terbaru, Densus 88 mengesan perbualan seseorang yang bernama Indra Arif Hermawan, 24, menggunakan telefon bimbit untuk menyampaikan pesanan bagi pihak Noordin.
Arif ditangkap lebih dulu sebelum polis mengepung rumah di Dusun Beji, Temanggung. Selain Arif, abangnya Aris Susanto, 31, turut ditahan, bersama Muhjahri, 69, pemilik rumah yang menjadi tempat persembunyian suspek ditembak mati.
Sebelum melancarkan operasi, Densus 88 mengesahkan identiti suspek dengan orang yang pernah bertemu dengan Noordin. Susuk tubuh suspek didapati amat berbeza dengan gambar Noordin disebarkan polis. Suspek kelihatan lebih kurus, sementara gambar Noordin dalam poster dilihat lebih gempal.
Bagaimanapun, sumber itu berkata gambar Noordin dirakam sekitar awal 2000. Noordin selama bertahun-tahun dalam pelarian dipercayai selalu mengubah penampilannya. Lagi pun, rakannya, Dr Azahari Husin, juga warga Malaysia yang dibunuh dalam operasi polis pada 2005 juga lebih kurus daripada yang dijangkakan.
Berdasarkan keyakinan itu Densus 88 melancarkan operasi terhadap sebuah rumah di tengah sawah padi di kampung terpencil berkenaan.
Namun, bagi pakar lain, banyak perkara menimbulkan keraguan bahawa jenazah lelaki yang kini berada di Rumah Sakit Polri Dr Sukanto, Jakarta Timur adalah Noordin.
Antara yang menimbulkan persoalan adalah lokasi persembunyian itu sendiri. Menurut pakar, lokasi tempat persembunyian itu amat berbeza yang digunakan Noordin selama ini. Rumah yang menjadi tumpuan operasi polis itu terletak di sebuah kampung terpencil dikelilingi bukit, manakala sembilan lokasi persembunyian pernah digunakan Noordin sebelum ini dekat dengan akses jalan dan laut. Jarang sekali Noordin mencari lokasi terpencil seperti di Temanggung.
Menurut pakar perisikan yang dipetik akhbar republik itu, Noordin memiliki naluri mengelak serbuan yang baik. Dia jarang sekali berpindah tempat persembunyian secara bersendirian.
"Rasanya mustahil teroris seperti Noordin berjalan atau tinggal sendirian, tanpa adanya pengawal," kata bekas Ketua Badan Intejelen Nasional, HendropriyonoHendro.
Ada pula yang menyanggah hujah bahawa suspek adalah Noordin semata-mata kerana dia sempat menjawab namanya sebelum polis menghujani rumah kecil itu dengan peluru. "Apakah logik Noordin Mohd Top akan mengakui identitinya ketika dikepung polis," tanya seorang pakar perisikan.
Hujah ini dikuatkan lagi oleh sebuah laporan akhbar Indonesia semalam yang memetik pegawai kanan polis antipengganas yang menyatakan cap jari, bentuk muka dan badan lelaki yang ditembak mati mengesahkan ia bukan Noordin.
Beberapa penganalisis yang dipetik akhbar lain republik itu turut tidak yakin lelaki berkenaan adalah suspek pengganas yang sudah menjadi orang paling dikehendaki di Asia yang didakwa mengetuai serpihan kumpulan rangkaian pengganas, Jemaah Islamiah.
Media di Indonesia yang sebelum ini dengan yakin melaporkan bahawa Noordin sudah ditembak mati, kini rata-rata tidak yakin dengan kenyataan itu.
Akhbar harian The Jakarta Post menulis dengan tajuk besar "Apakah itu Noordin" dan stesen televisyen TV One yang sebelum ini memaparkan gambar eksklusif mengenai serbuan di Temanggung dan melaporkan Noordin maut � sekarang mengubah laporan mereka.
Dalam keghairahan mengejar berita besar, media kadang kala terlupa etika untuk mengesahkan laporan mereka. Baik media Indonesia mahupun agensi berita asing, termasuk rangkaian televisyen antarabangsa, Sabtu lalu benar-benar yakin lelaki yang maut adalah Noordin berdasarkan sumber mereka di lokasi serbuan.
Namun apa yang perlu dipelajari daripada berita 'Noordin maut' ini ialah sumber di lapangan yang tidak dinamakan bukanlah harus diambil sebagai sumber yang sahih.
0 comments:
Post a Comment