Penghinaan DAP terhadap Islam sudah melampau

Penghinaan DAP terhadap Islam sudah melampau

DAP begitu celupar, bongkak dan biadap sekali bukan sahaja kepada umat Islam di negara ini tetapi juga di seluruh dunia.

Tidak cukup dengan tindakan seorang Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu yang campur tangan dan mempertikaikan kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras di Seksyen 8 Shah Alam dan tindakan Jeff Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai eskstremis, seorang lagi pemimpin kanan DAP, Loke Siew Fook, Ketua Pemuda Kebangsaan Parti (DAPSY) yang juga Ahli Parlimen Rasah menggunakan perkataan lucah dan amat jijik sekali ke atas agama Islam.

Dalam pertikaian Siew Fook dengan pendakwah Islam Dr. Mohd. Ridhuan berkaitan soal anak luar nikah, beliau menulis dalam blognya http:sjsandteam.wordpress.com: "Has everything be reduced to your fucking religion."

Agama yang dimaksudkan itu ialah agama Islam. Saya tidak pasti berapa ramai umat Islam di negara ini termasuk pemimpin-pemimpin parti yang beragama Islam sedar akan kenyataan biadap dan bongkak Siew Fook ini.

Mengapa pemimpin-pemimpin DAP menjadikan agama Islam sebagai sasaran mereka? Adakah mereka bertujuan untuk berkonfrantasi dan mahu menguji tahap kesabaran umat Islam?

Apakah tujuan Siew Fook menyerang agama Islam begitu biadap sekali? Adakah beliau sengaja mahu membakar perasaan umat Islam di negara ini?

Adakah ini contoh tatasusila seorang Yang Berhormat dan kalau inilah sikap pemimpin-pemimpin DAP, tidak hairan kalau mereka menjadikan persidangan Parlimen sebagai gelanggang sarkis.

Kebongkakan pemimpin-pemimpin DAP telah sampai ke tahap bahawa mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat. Pihak yang tidak senada dengan mereka dimusuhi dan diserang dengan tuduhan liar menggunakan bahasa yang tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan adat timur.

DAP, khususnya pemimpin-pemimpin kanan mereka Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hendaklah meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini dan menarik balik serangan mereka ke atas syariah Islam.

Jika mereka gagal, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah mengambil tindakan undang-undang ke atas kebiadapan Siew Fook yang menyerang agama Islam di dalam blognya.

Jangan sekadar memberi amaran sahaja. Bukan Islam perlu menunjukkan sikap bertoleransi sebagai mana sikap toleransi umat Islam kepada bukan Islam.

Bangunlah umat Islam tanpa mengira perbezaan politik, keturunan dan kaum untuk menggemblengkan tenaga membantah kebiadapan DAP terhadap syariah Islam.

Ingat salah satu wasiat Raja Melayu: "Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan." Pertahankanlah kesucian syariah Islam.


Subang Jaya, Selangor">

0 comments: