Calon berwibawa boleh bantu BN rampas Permatang Pasir

Calon berwibawa boleh bantu BN rampas Permatang Pasir
Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan peta kawasan DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang pada sidang media

Peluang Umno ulangi rekod Manek Urai cerah jika pemimpin tempatan lupakan sengketa dalaman

SIAPAKAH bakal menjadi ayam tambatan parti yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini berikutan kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari Pas, bulan lalu?

Persoalan itu amat penting diperhalusi dan ditimbang dengan sewajarnya kerana faktor calon menjadi amat penting dan kritikal pada pilihan raya kecil yang kelapan selepas pilihan raya umum lalu.

Faktor calon dianggap penentu kepada 22,290 pengundi untuk membuat pilihan, sama ada calon Pas atau Barisan Nasional (BN) bagi mewakilkan mereka sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sudah tentu calon yang bersifat mudah mesra, senang didampingi, tidak sombong, berwibawa, merendah diri dan boleh dihubungi tanpa mengira masa serta peka kepada masyarakat setempat akan mempunyai kelebihan. Dalam konteks ini, Pas, yang mewakili kawasan itu sejak 10 tahun lalu, sudah tentu akan meletak calon terbaik bagi mempertahankan kerusi DUN tunggal di Pulau Pinang.

Pas sudah tentu tidak mahu kehilangan kerusi itu walaupun kehadiran parti itu dalam kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tidak ubah seperti 'melukut di tepi gantang'. Begitu juga dengan BN khususnya Umno, yang seboleh mungkin mahu merampas semula kerusi itu selepas gagal dalam tiga pilihan raya umum lalu, akan menurunkan calon yang dapat memenangi hati pengundi Permatang Pasir serta diterima oleh Umno Permatang Pauh.

Pemilihan calon yang tepat seperti dilakukan ketika pilihan raya kecil DUN Manek Urai, membuktikan BN mampu merobek kubu Pas dan nyaris menawan kerusi itu. Siapa juga yang akan diturunkan sama ada oleh Pas atau BN, mestilah individu yang diterima oleh masyarakat setempat serta boleh bersama penduduk, sama ada pada waktu senang mahupun susah.

Kalau dilihat kepada sokongan pengundi Permatang Pasir kepada Allahyarham Mohd Hamdan selama tiga penggal, bukanlah sangat kepada pembangunan fizikal yang boleh dibawa oleh wakil rakyat mereka.

Malah, daripada tiga DUN dalam Permatang Pauh, Permatang Pasir adalah kawasan yang paling kurang membangunkan berbanding Seberang Jaya dan Penanti, tetapi penduduk masih memilih wakil rakyat Pas.

Dengan geografi dan demografi di Permatang Pasir, yang mana majoriti penduduknya bertani, kerja kampung dan kerja kilang, kriteria calon yang menepati kemahuan penduduk amat penting. Ciri peribadi Allahyarham Mohd Hamdan yang disenangi dan diterima oleh penduduk, perlu dimiliki oleh calon.

Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, mengakui soal calon amat penting pada pilihan raya kecil ini.

Beliau menggariskan beberapa ciri yang perlu dimiliki calon termasuk anak tempatan, pandai menyesuaikan diri dengan golongan muda dan tua serta boleh bersama masyarakat dalam program yang dianjurkan.

Baginya, calon yang bakal dipilih mestilah individu yang boleh menjadi pengantara di antara golongan muda dan tua serta memahami keadaan geografi dan demografi di Permatang Pasir.

"Bagaimanapun, BN lebih sukar untuk memilih calon berbanding Pas," katanya sambil menambah BN mampu memberi cabaran kepada Pas jika berjaya mencari seorang calon yang menepati cita rasa penduduk.

Justeru, penganalisis politik itu berpandangan Umno perlu meletak calon yang boleh diterima oleh empat kumpulan Umno di bahagian itu bagi memastikannya mendapat sokongan, selain diterima rakyat.

"BN tidak perlu meletak calon yang mempunyai 'nama besar' bagi mengelak dijadikan sasaran pembunuhan karektor," katanya yang yakin kepimpinan baru Umno Pulau Pinang mampu merungkai isu calon.

Tetapi, soalnya siapakah yang bakal diberi kepercayaan oleh parti masing-masing untuk memikul amanah itu?

Beberapa pemimpin Pas disebut-sebut akan dicalonkan termasuk Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Salleh Man dan timbalannya, Dr Mujahid Yusof Rawa, yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar serta Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu.

Bagi BN, memandangkan kerusi itu adalah kuota Umno, sudah tentu calon parti itu akan diturunkan dan beberapa nama yang disebut ialah Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizad Othman; Ketua Pemuda Umno bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said dan Naib Ketua Umno bahagian, Abdul Rahim Man.

Bekas pemimpin Umno bahagian itu, Datuk Ahmad Saad, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti (1990-1995) dan Permatang Pasir (1995-1999), juga dikatakan mempunyai peluang untuk diturunkan semula.

Selain itu, Pengurus Besar Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Dr Azman Abdul Samat, juga dikatakan tersenarai dan mempunyai peluang cerah untuk dicalonkan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, mengakui pihaknya sudah mengenal pasti beberapa nama untuk dipertimbangkan kesesuaiannya sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Apa yang pasti, katanya, individu yang bakal disenaraikan adalah mereka yang terbaik di kalangan yang terbaik bagi memastikan BN mampu memberi saingan hebat kepada lawan.

"Calon yang bakal dipilih bukan saja diterima oleh masyarakat setempat tetapi juga oleh jentera parti. Kita cari calon yang diterima oleh semua pihak dan mampu memberi khidmat yang terbaik," katanya.

Begitu juga dengan Pas, akan meletakkan calon yang terbaik dan setakat ini Pas Pulau Pinang sudah mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak dan boleh diterima masyarakat Permatang Pasir.

"Pas akan bertanding dan sudah mencadangkan beberapa nama yang dianggap layak dan boleh diterima masyarakat. Calon itu mampu memenuhi kriteria untuk menjadi wakil rakyat di situ," kata Salleh.

Selepas tiga penggal penduduk Permatang Pasir memberi kepercayaan kepada wakil rakyat Pas yang sememangnya memahami permasalahan dan keperluan mereka, sudah sampai masanya untuk mereka berubah angin.

Penduduk bukan saja memerlukan pemimpin yang boleh merasai denyut nadi mereka, tetapi juga seseorang yang boleh menyuarakan kemahuan dan berupaya memenuhi tuntutan seiring perkembangan semasa.

0 comments: