Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.
RIUH-RENDAH bahagian rimba dengan jeritan dan gelak ketawa kanak-kanak. Terpancar wajah gembira dan teruja pada wajah mereka tatkala melihat telatah seekor monyet albino yang begitu aktif.
Sesekali monyet berbulu putih itu mencapai barang dan melompat ke badan pengunjung. Sehinggakan lensa kamera jurufoto, Djohan Shahrin yang sedang asyik merakamkan aksinya turut hampir direntap.
Semuanya kembali tenang selepas ranjer zoo, Addy Zainuddin, 23, pantas menghalang dan mendukung kembali monyet itu daripada terus 'mengganggu' pengunjung.
Namun tidak sampai beberapa saat, pengunjung kembali ketawa melihat si cilik yang obses pada monyet albino tersebut. Kanak-kanak perempuan berbangsa Arab itu seboleh-bolehnya mahu merampas monyet yang berada dalam pelukan Addy.
Lagaknya seperti cukup geram dengan monyet yang comel, lincah dan mencuit hati.
"Saya suka dukung dan memeluknya kerana gayanya tidak ubah seperti anak patung. Walaupun ia aktif ke sana dan ke mari, saya tidak takut untuk mendekati, malah sempat bergambar bersama," kata Sara Mohammed Al-Saud, 8, dalam nada gembira.
Selepas bermesra dengan monyet, Sara berjalan pula ke sudut yang menempatkan sangkar ular albino. Bukan sekadar melihat dari luar, Sara sebaliknya meminta kepada ranjer Addy agar mengeluarkan ular berwarna kuning dan putih itu untuk diletakkan di bahunya.
Itulah situasi menarik yang berlaku di kawasan Rimba, Zoo Interaktif Hidupan Liar di Taman Tema Air Sunway Lagoon, Petaling Jaya, Selangor. Selain Bahagian Rimba, Pet Village, Aviary (burung), Nature Walk, Village atau Butterly juga meriah dengan kunjungan pelancong asing.
Sejak beroperasi pada tahun 2008, zoo yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memegang dan melihat haiwan dengan lebih dekat itu telah menerima 1.2 juta kunjungan.
"Biarpun baru setahun beroperasi, sambutan pengunjung cukup memberangsangkan. Biasanya, zoo interaktif ini akan sesak pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
"Namun begitu dalam bulan ini, rata-ratanya ia dikunjungi oleh pengunjung dari Arab. Mereka merupakan kumpulan pengunjung terbesar yang mengagumi dan teruja melihat haiwan tersebut dari dekat," jelas Pegawai Perhubungan Awam Kanan Sunway, Loke Kah Peng, sambil mengajak beberapa orang kanak-kanak Arab memberi makanan kepada pelbagai spesies burung.
Berbicara tentang zoo, ada yang pasti mengeluh kerana hanya mampu melihat haiwan pada jarak lima hingga 10 meter. Itu pun dari luar pagar. Namun situasi tersebut jarang berlaku di zoo interaktif Sunway.
Dengan adanya pemantauan daripada 17 orang ranjer yang bertugas di sembilan bahagian, pengunjung berpeluang memegang, mencium dan memeluk haiwan kesukaan tanpa ragu-ragu.
Bagi mencipta kelainan dan keunikan, zoo interaktif seluas lapan hektar itu tidak menempatkan 150 spesies haiwan di dalam kandang. Sebaliknya ia dibiar bergerak bebas di dalam kawasan habitatnya.
Antaranya arnab, ayam belanda, kambing, burung unta, kura-kura, monyet, kuda, kanggaru walabi, burung merak, burung kakak tua dan bermacam-macam lagi.
Jelas ranjer Addy yang berpengalaman lebih empat tahun dalam dunia pengurusan haiwan, pihak zoo sengaja membiarkan haiwan-haiwan jinak itu bebas berkeliaran. Dengan cara itu, pengunjung dapat 'berkenalan' dengan haiwan yang selama ini hanya dapat dilihat dalam majalah atau di kaca televisyen sahaja.
Bagaimana sekiranya haiwan 'dipicit' atau dicekik pengunjung yang geram melihatnya? Menurutnya, sebab itulah setiap kawasan mempunyai ranjer yang bertugas. Ranjer akan memantau dan menasihati pengunjung sekiranya mereka didapati menyakiti fizikal haiwan tersebut.
"Selain itu, kumpulan ranjer akan terlebih dahulu memberi taklimat kepada pengunjung khususnya kanak-kanak, sebelum mereka melakukan sebarang aktiviti dan melawat persekitaran zoo. Mereka dinasihatkan supaya tidak memicit, mencabut bulu dan memberi makanan yang dibawa dari luar kepada haiwan.
"Ini kerana haiwan di sini mempunyai diet dan pemakanan tersendiri. Paling penting, pengunjung dilarang sama sekali memasukkan jari ke dalam kandang bagi mengelakkan masalah digigit haiwan," terang Addy lagi.
Sementara itu, Lama Mohammed, 15, yang berasal dari Arab Saudi tidak henti-henti memuji kreativiti dan konsep zoo interaktif Sunway.
Dia yang mengambil masa hampir tiga jam berada di dalam zoo, berkata, kunjungannya ke sini memberikan pengalaman manis yang sukar dinikmati di negara sendiri.
"Negara Arab juga terdapat beberapa buah zoo dan bermacam-macam jenis haiwan selain unta, tetapi konsepnya berlainan. Kami hanya dapat melihat haiwan dari luar kandang. Aktiviti bergambar pun tidak menyeronokkan kerana haiwan terlalu jauh.
"Namun di zoo interaktif ini, saya dan adik-beradik merasai pengalaman membelai, memeluk dan bergambar dengan haiwan kesukaan terutamanya kura-kura dan monyet.
"Bagi sesiapa yang takut cedera, usah khuatir kerana ranjer zoo akan mengajar cara yang betul untuk mendekati haiwan," kata Lama yang memuji tindakan pihak zoo meletakkan papan informasi haiwan di setiap kandang.
0 comments:
Post a Comment