Reputasi feng shui tercalar

Reputasi feng shui tercalar

Kes tuntutan seorang penasihat feng shui ke atas harta mendiang Nina Wang telah membongkar situasi sebenar tentang ketaksuban masyarakat Cina terhadap feng shui.


NINA Wang meninggalkan aset yang dianggarkan bernilai lebih RM46 bilion.


KES mahkamah berprofil tinggi mengenai tuntutan estet milik taikun Hong Kong, mendiang Nina Wang telah membuka pekung mengenai obsesi masyarakat Cina terhadap sistem tenaga kuno, feng shui.

Daripada membakar duit sehinggalah menggali lubang feng shui, kes tersebut telah menyemarakkan lagi kepercayaan masyarakat Cina terhadap sistem berkenaan dalam mencari kejayaan, kekayaan dan kebahagiaan.

Walaupun Barat menganggap feng shui tidak lebih daripada menyusun perabot mengikut cara tertentu, masyarakat Hong Kong memberi perhatian serius terhadap sistem ini.

Dalam kes yang disebut di Mahkamah Tinggi Hong Kong, Tony Chan yang menggelarkan dirinya sebagai pakar feng shui dan merupakan bekas pelayan bar menjadi topik utama akhbar negara itu selama berminggu-minggu.

Chan yang mendakwa dia ialah kekasih Wang dan penasihat feng shui kepada hartawan tersebut, kini menuntut kekayaan taikun itu bernilai AS$13 bilion (RM46 bilion).

Bagaimanapun, Yayasan Chinachem Charitable yang diurus oleh adik-beradik Wang, menegaskan bahawa wasiat yang menyatakan harta tersebut milik Chan adalah palsu.

Peguam Chinachem mendakwa Chan telah mempergunakan keadaan kesihatan Wang yang semakin merosot pada masa itu. Chan memberi kata-kata janji bahawa dia boleh menyembuhkan kanser yang dihidapi Wang menerusi feng shui pada tahun 2007.




Mereka juga menuduh Chan telah memberitahu Wang bahawa dia boleh membantu mengembalikan suaminya, Teddy yang diculik dengan menggali lubang di kediamannya, sebelum memenuhkannya dengan batu jed.

Suami Wang tidak dijumpai sejak diculik kali kedua pada tahun 1990. Dia kemudiannya diisytiharkan mati sembilan tahun kemudian.

Sepanjang seminggu di mahkamah, kredibiliti dan kelayakannya sebagai penasihat feng shui dipertikaikan. Kesannya, amalan feng shui turut diragui keberkesanannya.

Pakar feng shui veteran, Lee Sing-tong, memberitahu, perlu ada undang-undang khusus mengenai pekerjaan sebagai penasihat feng shui supaya orang seperti Chan tidak menjejaskan reputasi mereka.

"Chan telah memusnahkan kepercayaan pelanggan terhadap kami," kata Lee.

Chan mampu meraih kepercayaan pelanggan kelas atasan termasuk ahli politik dan ahli perniagaan, selain mengenakan bayaran yang tinggi untuk perkhidmatannya. Wang sendiri telah memberinya 688 juta dolar Hong Kong (RM315 juta ) sebelum dia meninggal dunia.

Bagaimanapun, Chan mengaku bahawa dia tidak tahu melakukan sesetengah ritual dengan betul. Nasihatnya yang menyuruh pelanggan supaya membakar wang untuk mengubah nasib diperturunkan oleh mendiang bapanya, seorang guru sekolah yang katanya hanya sebagai lawak jenaka.

Feng shui merupakan seni untuk menambah kualiti kehidupan seseorang dengan membaiki persekitaran mereka melalui prinsip harmoni dan aliran tenaga.


PENASIHAT feng shui, Tony Chan diserbu pemberita ketika tiba di Mahkamah Tinggi Hong Kong.


Menurut amalan feng shui, segala benda di alam ini dijadikan melalui dua ciri berbeza iaitu Yin dan Yang. Yin melambangkan unsur semulajadi yang pasif, manakala Yang mewakili ciri-ciri aktif.

Ia turut mengandungi lima elemen tenaga iaitu kayu, api, bumi, besi dan air. Feng shui menyatakan segalanya perlu wujud keseimbangan di antara elemen-elemen tersebut.

Seorang pengamal feng shui terkenal, Peter So berkata, ia merupakan satu disiplin saintifik. "Feng shui sangat mudah. Ia tiada kaitan dengan magis atau agama.

"Segalanya mengenai pusingan dan interaksi antara manusia dan alam sekitar. Selebihnya adalah rekaan sesiapa yang mengaku sebagai penasihat feng shui untuk membina keyakinan pelanggan terhadap mereka," katanya. - AFP

0 comments: