Pendekatan 'darurat kesihatan' sesuai kekang H1N1
PERKEMBANGAN mutakhir selesema babi atau Influenza A (H1N1) menunjukkan keadaan yang amat membimbangkan dengan jumlah kematian yang semakin meningkat saban hari.
Kebimbangan mengenai wabak maut ini lebih ketara apabila peningkatannya disebabkan oleh jangkitan tempatan dan bukan lagi diimport.
Lapan kematian dalam sehari seperti yang dicatatkan kelmarin adalah sesuatu yang menakutkan. Tidak pernah berlaku keadaan seumpama ini ketika wabak JE, SARS dan sebagainya sebelum ini.
Dari satu segi, keadaan ini menampakkan pihak berkuasa seolah-olah hilang kawalan. Tidak tahu lagi apa yang perlu dilakukan dan di mana hendak bermula.
Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah mengikut prosedur kesihatan antarabangsa sejak wabak ini dikesan di negara ini, namun keadaannya semakin teruk.
Bagi mengurangkan rasa panik rakyat, mereka sepatutnya tahu apa yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa kesihatan dan apa yang sepatutnya mereka sendiri lakukan.
Sehubungan itu, kerajaan perlu bersikap telus kepada rakyat mengenai keadaan sebenar wabak ini dan membuat hebahan dari semasa ke semasa mengenainya.
Sudah sampai masanya pihak berkuasa mengambil langkah-langkah drastik menangani wabak ini. Nasihat supaya rakyat tidak panik mungkin tidak memadai lagi.
Penularan wabak yang semakin serius dengan kematian meningkat setiap hari tidak boleh tidak menyebabkan rakyat panik dan inginkan jaminan konkrit daripada kerajaan tentang keselamatan mereka.
Dalam keadaan sekarang, mungkin bukan masanya untuk memikirkan kaedah jangka panjang menangani wabak berbahaya ini.
Sebaliknya langkah segera jangka pendek perlu dilakukan serta-merta. Kenal pasti kawasan wabak dan tutup semua premis. Adakan gerakan pembersihan besar-besaran bagi menghentikan penularan.
Pertingkatkan pengesanan wabak ini di pintu-pintu masuk ke negara ini. Aliran keluar masuk orang ramai melalui udara, laut dan darat perlu diteliti dan diperketatkan.
Wajibkan pengimbasan badan di semua pintu masuk, tempat-tempat awam, sekolah, hotel, tempat ibadah, pejabat, restoran, pasar raya, kilang dan lain-lain.
Dengan menerima hakikat bahawa wabak selesema babi di negara ini semakin serius, pihak berkuasa dicadangkan mengambil langkah berani dengan mengisytiharkan 'darurat kesihatan' bagi mengekang dan menangani epidemik ini dengan lebih berkesan.
Dengan pengisytiharan darurat, membolehkan Majlis Keselamatan Negara menyelaraskan semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Langkah ini mungkin memberi kesan negatif kepada pelaburan dan industri pelancongan negara, tetapi keselamatan rakyat dan kepentingan negara perlu diutamakan.
0 comments:
Post a Comment