Semarakkan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan

Semarakkan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID


MENYAYANGI dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap umat Islam. Namun ia juga merupakan tuntutan yang jarang dilaksanakan.

Justeru masalah sosial timbul kerana empat sebab iaitu tidak memuliakan anak yatim, tidak memberi makan orang miskin, memakan warisan (kekayaan) alam dengan rakus dan mencintai harta benda secara berlebihan (Surah Al-Fajr ayat 15 hingga 20).

Syeikh Muhammad Abduh berkata, "Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim dalam al-Quran dan sunah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim.

Anak yatim itu memerlukan kasih sayang fitrah untuk membantu, mendidik dam memelihara hak-haknya."

Ketika ini, kita sering terpukau oleh kemewahan dunia tatkala orang miskin menangis menunggu pembela yang sepatutnya daripada kalangan pemimpin yang prihatin kepada rakyat bawahan. Bukan pemimpin elit yang hidup di persekitaran di kalangan mereka sahaja.

Pemimpin untuk umat Islam ialah mereka yang memilih hidup sederhana, kerana tahu bahawa sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dalam kepapaan. Demikian juga dengan gerakan kebangkitan Islam seharusnya tidak hanya menyemarakkan masjid, melainkan juga menggembirakan mereka yang miskin, teraniaya, dianiayai atau yang tertindas oleh beban hutang.

Rasulullah SAW bersabda: "Bila masyarakat sudah membenci orang miskin dan menonjol-nonjolkan kehidupan dunia serta rakus dalam mengumpulkan harta, maka mereka akan ditimpa empat bencana iaitu zaman yang berat, pemimpin yang zalim, penegak hukum yang khianat dam musuh yang mengancam."

Daripada hadis itu, kita dapat belajar bahawa munculnya masalah atau kesulitan ekonomi, kemunculan ramai pemimpin zalim, berlakunya pengkhianatan oleh penegak hukum disebabkan oleh terabainya nasib orang miskin dan kegilaan mengumpul kekayaan.

Pendapat Ibnu Hazm mungkin agak ekstrem. Tetapi ia berpijak pada andaian bahawa kemiskinan hanya dapat diatasi dengan kesediaan orang kaya memberikan hak orang miskin yang diamanatkan Allah SWT kepadanya.

"Dan nafkahkanlah sebahagian daripada hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya" (Lihat al-Quran Surah Al-Hadid ayat 7).

Bahawa kemiskinan yang berlaku dalam masyarakat kita adalah tanggungjawab kita bersama. Menolong dan membela yang lemah, mustadh'afin, adalah tanda-tanda orang yang bertakwa (lihat Surah Al-Baqarah ayat 197).

Inilah yang dikatakan golongan pendusta agama, mengabaikan nasib mustadh'afin, acuh tidak acuh terhadap mereka, enggan memberi pertolongan dan solat mereka pula membawa kecelakaan yang menjerumuskan ke neraka saqar.

Manusia yang tidak sensitif dan peka dengan masalah anak yatim dan fakir atau melalaikan solat serta riak, disebut oleh Allah SWT sebagai pendusta agama.

Hal ini dijelaskan di dalam al-Quran iaitu pada Surah Al-Maa'uun. Surah ini merupakan surah ke 110 di dalam al-Quran dan termasuk golongan surah Makkiyyah.

Nama Al-Maa'uun diambil daripada kata al-maa'uun yang terdapat pada ayat terakhir surah ini yang bererti "barang-barang yang berguna." Surah ini juga disebut Surah At-Takzib yang bererti pendustaan kerana di dalamnya dipaparkan sikap orang yang mendustakan agama.

Bagi manusia yang mempunyai sifat-sifat seperti dalam Surah Al-Maa'uun, Allah SWT menjanjikan pembalasan dan seksaan neraka. Mereka digambarkan dalam surah itu sebagai kehilangan kepekaan sosial dalam masyarakat. Mereka tidak mahu mengeluarkan walau sedikit harta untuk sesama manusia.

Dalam hati mereka tidak ada rasa belas kasihan untuk membantu memenuhi keperluan sosial. Itulah yang dimaksudkan dengan orang-orang yang "menolak memberi bantuan" pada akhir surah ini.

Surah Al-Maa'uun memaparkan sikap manusia dalam kehidupan sosial yang dikategorikan sebagai pendusta agama. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin.

Sikap itu merupakan cerminan sikap takbur dalam diri sendiri. Mereka menganggap anak yatim serta fakir miskin sebagai anggota masyarakat yang rendah dan hina.

Surah itu memperlihatkan sikap manusia dalam beribadah sebagai pendusta agama. Mereka melalaikan solat, melaksanakannya tanpa ikhlas dan tidak khusyuk.

Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerakan badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah setiap ucapan dan gerakan yang mereka lakukan.

Dalam Surah Al-Maa'uun juga disebutkan bahawa orang yang berbuat riak akan dibalas oleh Allah SWT. Riak ialah melakukan suatu amal perbuatan untuk mencari pujian yang ia anggap ibadah itu.

Allah SWT sendiri mengancam mereka yang berbuat riak dengan seksaan yang berat di neraka.

Manusia yang digambarkan dalam Surah Al-Maa'uun tidak menempatkan solat sebagai saranan untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya untuk sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Ingatlah antara misi terpenting Islam saperti yang dinyatakan dalam al-Quran ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan kelompok dhu'afa atau mustadh'afin (yang lemah atau yang dilemahkan, yang menderita atau yang dibuat menderita).

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah SWT hanya menerima solat daripada orang yang "menyayangi orang miskin, ibnu sabil, wanita yang ditinggalkan suami dan yang menyayangi orang yang mendapat musibah."

Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah SWT: "Tuhanku, di mana aku harus mencarimu?" Allah SWT menjawab: "Carilah Aku di tengah-tengah mereka yang hancur hatinya."

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

0 comments: