Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.
WONG Shun Feng menyatakan pengalaman melihat hantu, mengalami fenomena luar biasa dan dinasihati dewa-dewa merupakan sebahagian asam garam dalam pekerjaannya.
Dikenali dengan panggilan Tua Ya Pek iaitu nama dewa kematian dalam kalangan rakan-rakannya, Shun Feng adalah seorang penggali kubur yang bertugas memindahkan mayat ke kawasan perkuburan baru di Singapura bagi memberi ruang pada pembangunan di negara itu.
Menurut kepercayaan Taoisme, Shun Feng adalah antara orang yang perlu memberi penghormatan kepada si mati sebelum mereka meneruskan perjalanan ke liang lahat yang baru.
Tugas yang dijalankannya adalah menghantar mereka (roh-roh) ke satu tempat rehat baru untuk memberi ruang bagi pembangunan jalan raya, perumahan dan perkhidmatan awam.
Bagaimanapun, menurut Shun Feng, kerja menggali kubur menjadi sukar kerana roh si mati enggan berpindah dan tidak mahu jasad mereka diganggu.
"Saya pernah melihat roh-roh melayang di sebelah saya apabila menggali kubur mereka dan ada juga yang berbisik dengan berkata, Ah Tee (pemuda), jangan pindahkan saya," kata Shun Feng sambil mengimbas peristiwa itu secara tepat.
Menurutnya, bukan semua roh berkelakuan baik.
Lelaki yang berusia 53 tahun dan mempunyai pengalaman menggali kubur selama lebih daripada 30 tahun itu berkata, pernah sekali, sebatang pokok berhampiran sebuah kubur yang digalinya bergoncang walaupun tiada angin bertiup.
Dia juga pernah 'dihukum' oleh roh-roh kerana tidak menghormati mereka apabila bersumpah di tanah perkuburan.
"Pada sebelah petang setelah selesai menggali, tangan kiri saya terasa lumpuh kerana mencarut di kawasan kubur. Saya kembali pulih pada keesokan harinya," ujar Shun Feng.
|
|
Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya bahawa hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.
Bagaimanapun, dia risau kemungkinan besar masyarakat tempatan memandang rendah terhadapnya kerana menganggap pekerjaan itu ketinggalan zaman.
"Orang ramai menganggap pekerjaan ini bercanggah dengan pantang larang keagamaan, namun saya selesa dengan pekerjaan ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki pendek tekun melukis pelbagai jenis tatu di atas badan Shun Feng. Tatu yang dilukis itu memaparkan imej-imej Tua Ya Pek dan Li Ya Pek dan ia merentasi dada dan belakang badan Shun Feng.
Katanya, imej dua dewa Taoisme itu bertanggungjawab menjaga roh-roh dan bukan dilukis sebagai bahan hiasan diri.
"Saya memuja dan menghormati tuhan, jika tidak mengapa saya hendak mencacah mereka pada badan saya," kata Shun Feng yang turut mendakwa beliau pernah melihat penjelmaan tuhan dan mendapat pengajaran tentang kehidupan menerusi pekerjaannya.
Kerja-kerja menggali yang diselia oleh pihak berkuasa tanah di Singapura untuk memindah dan membersihkan tanah perkuburan yang terletak di utara negara itu, memerlukan khidmat Shun Feng dan tiga orang rakannya yang menggali hampir tiga jam sebuah lubang sempit sedalam empat meter (12 kaki).
Dengan menggunakan peralatan biasa seperti cangkul dan bakul rotan, mereka menggali tanah, pasir dan simen yang dibina untuk si mati yang dipercayai seorang individu kaya.
|
|
Mengumpil penutup keranda, Shun Feng dan seorang lagi penggali kubur mengumpul tulang-tulang dan mencucinya dengan air beras sebelum menyerah ketulan tulang itu kepada kaum keluarga yang memberi sampul merah mengandungi wang sebagai tanda penghargaan.
Sampul-sampul tersebut menjadi sumber pendapatan penggali-penggali kubur berkenaan kerana bayaran sebanyak AS$65 (RM227) untuk setiap penggalian hanya boleh dimiliki seorang individu sahaja maka penggali tersebut memperoleh sampul itu secara bergilir-gilir.
"Pendapatan yang diterima tidak tetap. Ia bergantung pada sikap murah hati kaum keluarga yang menyediakan sampul merah itu," ujar Shen Fung.
Memandangkan pekerjaan itu tidak stabil, dia terpaksa mencari pendapatan sampingan dengan melakukan kerja-kerja seperti mengecat rumah dan membaik pulih.
Bagaimanapun, buat masa ini, tangannya 'penuh dengan wang' kerana tanah perkuburan Guang Xiao Shan seluas 7,000 meter persegi yang terletak berhampiran sempadan Malaysia memerlukan khidmatnya untuk menukar wajah kawasan itu sebagai gudang kereta api.
Fasa pembangunan di Singapura memberi pengertian bahawa di antara tahun 1970 dan 1998, lebih daripada 240,000 buah kubur yang terletak di 100 tanah perkuburan telah digali.
Menurut Shun Feng, kesemua si mati termasuk mereka yang menjadi 'ahli' baru mesti ditenteramkan.
"Hantu sama seperti manusia. Mereka juga memiliki perasaan. Bagaimana emosi anda jika terpaksa berpindah selepas tinggal di sesuatu tempat selama 50 tahun?"soalnya.
Apabila ditanya mengenai hari terakhirnya sebagai penggali dan pemindah kubur, Shun Feng mengangkat bahu dan menuding pada tatu yang menunjukkan imej dewa Li Ya Pek tersenyum dengan tenang.
"Saya belum berfikir mengenai perkara tersebut. Lihatlah apa yang dikatakan oleh 'abang besar' saya," ujarnya sambil ketawa. - AFP
0 comments:
Post a Comment