Pentas pemimpin Asia Timur perjuang kepentingan sejagat

Pentas pemimpin Asia Timur perjuang kepentingan sejagat

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar
rencanabh@bharian.com.my

PULAU Jeju yang terkenal dengan pusat pelancongan, selain menjadi lokasi kebanyakan drama televisyen bersiri popular Korea Selatan yang dipertontonkan di beberapa negara Asean, termasuk All-In dan Jewel in The Palace akan menjadi gelanggang sambutan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asean-Korea Selatan, awal bulan depan.

Selepas dua dekad, Korea Selatan yang menjadi rakan dialog perdagangan melalui Asean + 3 selain Jepun dan China, mula mengorak langkah untuk memberi nafas baru dalam hubungan berkenaan. Korea Selatan mendapati Asean semakin penting bukan saja sebagai rakan perdagangan ketiga penting di Asia Timur, malah mahu memantapkan hubungan kebudayaan, pelancongan dan politik yang sedia wujud.

Presiden Lee Myung-bak mempunyai hubungan rapat dengan kebanyakan negara Asean kerana pernah bekerja dengan syarikat dalam industri pembinaan Hyundai di Singapura dan Thailand. Beliau pernah bekerja selama dua tahun di Thailand pada 1965 dan menyiapkan pembinaan Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 1981, menyedari pentingnya hubungan berkenaan berbanding pemimpin Korea Selatan sebelum ini yang kurang mengetahui latar belakang negara Asean.

Kepemimpinan generasi baru Korea Selatan yang pernah bekerja di negara Asean, terutama Lee melihat pentingnya hubungan dagang dengan negara serantau dikembangkan kepada hubungan kebudayaan dan pelancong yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Selain itu, ‘gelombang Korea’ yang sejak lima tahun lalu ‘menyerang’ negara Asean menerusi drama dan filem televisyen, menjadikan Korea Selatan semakin popular di kalangan penduduk Asean yang berjumlah lebih 572 juta orang. Ia sekali gus menjadikan penduduk Asean mengenali Korea Selatan melalui drama berbanding dua rakan besar Asean lain, China dan Jepun.

Korea Selatan melihat pentingnya hubungan budaya dan pelancongan selari dengan perdagangan. Bagi mengukuhkan hubungan itu, Korea Selatan menubuhkan Pusat Asean-Korea Selatan di Seoul, Mac lalu. Ia bagi menggalakkan hubungan kebudayaan di antara Korea Selatan dan negara Asean, selain meningkatkan jumlah perdagangan, memudahkan aliran pelaburan, penggalakkan pelancongan dan pertukaran kebudayaan.

Tidak hairanlah Lee melihat Asean dalam perspektif yang berbeza berbanding China dan Jepun yang sejak sekian lama menjadi rakan perdagangan terpenting Asean. Bagi Korea, sudah sampai masanya negara Asia Timur bersatu dalam kerangka ekonomi global baru bagi menghadapi pasca kemelesetan ekonomi dunia.

Ia penting kerana rantau Asia kecuali Jepun dan Singapura berjaya melepasi rintangan pertama kesan kemelesetan ekonomi global dengan laporan ekonomi terbaru memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan, terutama China dan Korea. Bagi kebanyakan negara Asean lain sudah belajar melalui kesengsaraan krisis kewangan serantau 1997/98, untuk memperbaiki sistem ekonomi dan berjaya mengurangkan kesan krisis ekonomi dunia kini yang mula tercetus di Amerika Syarikat dan Eropah.

Lee ketika bertemu dengan sekumpulan wartawan dari negara Asean yang berkunjung ke Pejabat Presiden di Blue House, Seoul, turut melahirkan keyakinan satu dasar baru Asia, iaitu ‘Pelan Diplomasi Baru Asia’ akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak Korea Selatan-Asean yang bakal berlangsung di Pulau Jeju, pada 1 dan 2 Jun ini.

Katanya, dasar baru itu penting untuk dibincangkan kerana rantau Asean dan Asia Timur secara keseluruhan mempunyai pengaruh yang semakin besar, termasuk dalam pertumbuhan ekonomi dunia.

“Pemimpin Asean dan Korea Selatan akan membincangkan pelbagai isu, termasuk mengenai Pelan Diplomasi Baru Asia dan Pertumbuhan Hijau (Green Growth) bagi mengekang perubahan cuaca dan langkah mengurangkan kemelut ekonomi yang melanda dunia.

“Cadangan penubuhan Pasaran Tabung Asia dan langkah menolak sistem perlindungan pasaran, terutama membabit Pasaran Bebas Asean-Korea Selatan bagi barangan dijangka menjadi tumpuan persidangan,” katanya.

Pada persidangan itu, Lee yang menjadi presiden tahun lalu berpeluang memperkenalkan idea barunya membabitkan dasar baru diplomasi bagi Asia untuk mempromosi kerjasama dan pertukaran ekonomi. Di bawah tema, ‘Perubahan, Cabaran dan Kerjasama Bagi Kemakmuran Asia,’ ahli ekonomi dan perniagaan dari 11 negara anggota, termasuk Korea Selatan akan membincangkan pelbagai isu ekonomi merangkumi langkah menangani krisis kewangan global.

Dalam pada itu, tumpuan kepada Pertumbuhan Hijau bagi membantu mengurangkan keluaran gas rumah hijau dan pencemaran alam sekitar. Langkah memperkenalkan enjin pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan baru dengan menggunakan teknologi hijau dan tenaga lebih bersih.

Pulau Jeju yang terletak di selatan Semenanjung Korea, kira-kira 50 minit penerbangan dari bandar raya Seoul, kini sudah bersiap sedia untuk menerima delegasi dari negara Asean yang akan bersidang di Pusat Persidangan Antarabangsa yang terletak di pantai Laut Timur.

Jeju, pulau gunung berapi adalah antara pusat peranginan terkenal di Korea kerana pantainya yang cantik dengan kemudahan lengkap, selain menyimpan banyak produk pelancongan menarik untuk dinikmati.

Pemimpin Asean dijangka akan menjadikan persidangan awal bulan depan itu, perhatian khusus selepas kegagalan Sidang Kemuncak Asean di Pattaya, Bangkok yang berakhir dengan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu masuk dewan persidangan menyebabkan sidang berkenaan ditangguhkan sehingga Julai depan.

Kegagalan sidang kemuncak di Pattaya itu cukup memalukan kerana ia bukan saja menyebabkan pemimpin Asean terpaksa diselamatkan dari dewan persidangan, malah sudah mencalar imej Asean secara keseluruhan selepas hampir 40 tahun ditubuhkan.

Dalam pada itu, persidangan kali ini juga akan membolehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemu rakan sejawatnya dari Asean dan pemimpin Korea Selatan untuk pertemuan dua mata selepas mengambil alih jawatan bulan lalu yang gagal dilakukan di Pattaya, Thailand.

Kita yakin sidang serantau kali ini dapat memberi makna baru kepada hubungan pelbagai hala antara Asean dan Korea Selatan bagi memakmurkan rantau Asia Timur yang kini menjadi penggerak kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi dunia.

Sudah sampai masanya pemimpin rantau ini melihat kepentingan sejagat, terutama mengenai perdagangan dan isu alam sekitar secara lebih serius bukan saja untuk faedah lebih setengah bilion penduduk rantau ini, malah dunia secara keseluruhannya.

0 comments: