Kekejaman Prabhakaran

Kekejaman Prabhakaran

Selama tiga dekad, Pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bermaharajalela dengan mencetuskan pelbagai serangan dan konflik etnik paling dahsyat di Sri Lanka. Namun, apakah kesudahan pertubuhan ini apabila pemimpinnya, Velupillai Prabhakaran dipercayai ditembak mati.




"DIA adalah satu-satunya manusia di Sri Lanka yang boleh menentukan waktu aman atau perang," kata seorang bekas kumpulan gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Dharmalingam Sithadthan merujuk kepada pemimpin LTTE, Velupillai Prabhakaran. Itu yang diucapkan Sithadthan kepada sebuah agensi berita antarabangsa, baru-baru ini.

Barangkali penduduk-penduduk di Sri Lanka mengakui kenyataan Sithadthan itu. Tanpa mengira etnik, mereka sedar bahawa tanpa keizinan Prabhakaran, keamanan mutlak tidak mungkin dikecapi negara itu.

Namun, tanggapan yang berlarutan selama lebih tiga dekad itu mungkin berakhir empat hari lalu apabila Prabhakaran akhirnya dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera kerajaan Sri Lanka ke atas LTTE. Ia sekali gus menandakan tumpasnya kumpulan LTTE dan terkuburnya misi menuntut kemerdekaan wilayah Tamil di negara berkenaan. Lalu, berkibarlah panji kemenangan kerajaan Sri Lanka.

Tumbangnya LTTE menjadi detik dalam sejarah apabila ia dipercayai menjadi noktah kepada konflik etnik antara terdahsyat di dunia. Konflik antara komuniti majoriti Sinhala dan minoriti Tamil yang berpanjangan selama 37 tahun itu menyebabkan sekurang-kurangnya 70,000 nyawa terkorban. LTTE juga dilabel sebagai pengganas antarabangsa oleh 32 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan negara Kesatuan Eropah selain berstatus dikehendaki di India.


RAMAI yang tidak percaya Velupillai Prabhakaran semasa kecilnya tidak memiliki watak seorang pemberontak.


Selama ini, populariti LTTE mungkin melebihi Prabhakaran sendiri sementelah figura itu jarang tampil di khalayak. Tapi, apabila mayat yang dipercayai dirinya tersiar di seluruh dunia, wajah lelaki berusia 54 tahun itu yang bermisai lebat dengan mata terbeliak itu seakan-akan berbekas di ingatan ramai. Siapakah Prabhakaran?

Prabhakaran dianggap sebagai pejuang kebebasan oleh para penyokongnya dan AFP melaporkan, ada di antara mereka menggelarnya Tuhan Matahari. Prabhakaran juga dilihat handal apabila dapat mengubah sebuah pasukan pemberontak bersenjata kecil kepada salah satu insurgensi paling sofiskated dan berhati kering di dunia.

Kumpulan itu juga dilaporkan AP memperoleh pendapatan sebanyak AS$300 juta (RM1,064 juta) setahun hasil daripada kegiatan penyeludupan senjata dan dadah serta rangkaian amal palsu.

Selama lebih suku abad perang saudara, Prabhkaran melahirkan satu kumpulan militan yang menguasai seni pengeboman berani mati. Merekalah pelopor teknik pengeboman berani mati kerana ketika itu al-Qaeda belum pun wujud lagi.

LTTE dipercayai membunuh ahli-ahli politik terkemuka termasuk bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi dan bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Ranasinghe Premadasa dan Menteri Luar Sri Lanka, Lakshman Kadirgamar.

Salah satu serangan paling nekad mereka adalah dengan meletupkan 12 jet pejuang kerajaan di sebuah pangkalan tentera ke utara Colombo di samping memusnahkan enam pesawat penumpang yang ditempatkan di satu-satunya lapangan terbang antarabangsa negara itu.

Mereka juga meletupkan bank pusat negara itu lalu meragut 90 nyawa.


VELUPILLAI Prabhakaran (kanan) kental memusuhi kerajaan Sri Lanka.


Mereka juga bertindak mengebom Temple of the Tooth, sebuah kuil paling suci Buddha di Sri Lanka pada tahun 1998 sekali gus meraih kecaman banyak negara di dunia.

Konflik yang tercetus itu juga menyebabkan beratus ribu rakyat Sri Lanka menjadi pelarian dan pernah menimbulkan masalah yang lain seperti kebuluran. Kebanyakan kawasan turut ditanam dengan periuk api untuk menggagalkan proses penempatan manakala kadar kemiskinan juga meningkat.

Di bawah pimpinan Prabhakaran, LTTE telah menjadi satu pasukan gerila yang amat berdisiplin dan bermotivasi. Selama ini, kumpulannya itu tidak pernah menampakkan tanda-tanda boleh dikalahkan oleh tentera Sri Lanka walaupun jumlah tentera jauh lebih ramai.

Seorang murid yang pemalu

Gerila LTTE, sebahagiannya dipaksa menyertai kumpulan itu sejak kecil mendapati Prabhakaran sebagai pemimpin yang tidak boleh dipersoalkan tindak tanduknya. Dia mengarahkan mereka untuk memutuskan hubungan peribadi dan menyekat daripada melakukan seks.


ISTERI kepada Prabhakaran, Mathivathani (duduk empat dari kiri) bergambar bersama pasukan gerila LTTE.


Seperti dirinya, dia mengarahkan mereka membawa botol kecil berisi kapsul racun sianida di leher mereka untuk mereka membunuh diri dengan menelannya jika ditangkap.

"Dia adalah otak mereka. Dia adalah hati mereka. Dia adalah tuhan mereka. Dia adalah jiwa mereka. Dan seluruh organisasi kumpulan itu melingkari dirinya," kata seorang wartawan India, M.R. Narayan Swamy yang menulis biografi pemimpin pemberontak itu.

Dikatakan juga, tidak ada pejuangnya yang menjadi banduan kerana mereka membunuh diri sebelum ditangkap.

Kerajaan Sri Lanka menyatakan ramai ahli pasukan LTTE juga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak apabila pejuang lelakinya semakin berkurangan akibat terkorban. Lantaran itu, ada pihak yang menyifatkan Prabhakaran sebagai pemimpin kejam yang mengarahkan manusia mengorbankan dirinya demi melebarkan kuasanya. Pengebom berani mati dalam kes pembunuhan Gandhi juga adalah seorang wanita.


TENTERA Sri Lanka mengibarkan bendera tanda kemenangan kerana tumbangnya Pertubuhan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).


Prabhakaran juga menganugerahkan pangkat militari kepada kader-kadernya hanya selepas mereka mati. Setiap selekoh jalan di wilayah kuasaannya menjadi monumen buat wira 'harimaunya' yang terkorban.

Interpol menyifatkan Prabhakaran sebagai pengganas yang dikehendaki yang amat peka, tahu menggunakan teknik penyamaran dan berkemampuan mengendalikan bahan letupan dan senjata yang sofiskated.

Namun begitu, Prabhakaran yang dilahirkan pada 6 November 1954 di Jaffna, wilayah Tamil Utara Sri Lanka, boleh dikatakan tidak memiliki watak pemberontak semasa kecil. BBC pernah melaporkan pada tahun 2000, Prabhakaran adalah seorang murid biasa yang pemalu dan kaki buku semasa kanak-kanak. Tetapi, anak kepada pasangan Thiruvenkadam Velupillai dan Vallipuram Parvathy itu amat mengagumi Napoleon dan Alexander the Great.


GAMBAR menunjukkan Prabhakaran yang ditembak mati.


Marah terhadap apa yang didakwa sebagai diskriminasi terhadap etnik Tamil oleh kerajaan Sri Lanka, anak bongsu daripada empat-beradik itu telah menyertai satu kumpulan pelajar Tamil dinamakan TIP. Kemudian, pada tahun 1972, Prabhakaran mengasaskan Tamil New Tigers (TNT) dan menarik ramai perempuan dan lelaki muda menyertai pasukannya.

Melarikan diri dengan van

Pada tahun 1975, dia telah merancang pembunuhan ahli politik pertamanya iaitu Datuk Bandar Jaffna, Alfred Duraiappah dengan menembaknya. Kemudian, pada tahun 1976, TNT ditukarkan namanya kepada LTTE. Pertubuhan itu mengimpikan untuk mewujudkan negara berasingan atau 'Eelam' di wilayah utara dan timur Sri Lanka.

Prabhakaran berkahwin dengan Mathivathani Erambu pada tahun 1984 dan dikurniakan dua orang anak lelaki Charles Anthony dan Balachandran serta seorang anak perempuan Duwaraka.

Kental memusuhi kerajaan Sri Lanka, badai ombak gergasi tsunami yang melanda negara itu pada tahun 2004 juga tidak dapat melambung mereka ke jalan perdamaian seperti yang berlaku pada kerajaan Indonesia dan kumpulan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Seringkali berjaya melumpuhkan kemaraan tentera kerajaan dan sentiasa menang ke atas mereka terutamanya pada peperangan tahun 2000 dan 2001, akhirnya tentera Sri Lanka hilang sabar. Bermula Februari tahun ini, risikan dan serangan dilancarkan ke atas LTTE. Serangan besar-besaran dilancarkan ke atas Prabhakaran dan 200 pejuang yang mengiringinya.


SEORANG pengayuh beca membaca berita kematian Velupillai Prabhakaran.


Akhirnya, empat hari lalu, kemenangan berpihak kepada tentera Sri Lanka apabila Prabhakaran dilaporkan terbunuh dengan ditembak ketika cuba melarikan diri dengan van yang sedang mengekori sebuah ambulans. Andai benar dakwaan itu, ia mungkin pengakhiran yang bukan diharapkan pengikut-pengikutnya.

Ini kerana, ketika para pejuangnya didesak untuk berani mati dengan menelan racun sianida yang tergantung di leher apabila tentera cuba menangkap mereka, mengapa Prabhakaran memilih untuk melarikan diri? Akhirnya peluru tentera Sri Lanka yang menamatkan hayatnya.

"Seorang Prabhakaran yang berjuang kemudian jatuh akan dikenang sebagai legenda, bagi pengikut-pengikutnya. Prabhakaran yang cuba melarikan diri akan dilihat sebaliknya walaupun di kalangan mereka yang menyokongnya," kata Swamy.

0 comments: