Minda Pengarang: Kaedah bekerja dari rumah perlu kajian lebih teliti

Minda Pengarang: Kaedah bekerja dari rumah perlu kajian lebih teliti


LANGKAH memperkenalkan modul latihan bagi pekerja tempatan berusia 45 tahun ke atas bekerja dari rumah jelas memperlihatkan usaha serius kerajaan menangani masalah pengangguran berikutan krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang. Kita yakin tindakan kerajaan berbincang dengan majikan bagi melaksanakan program itu memberi banyak pilihan kepada mereka yang sebelum ini kehilangan pekerjaan untuk memperoleh semula pendapatan bagi meneruskan kehidupan. Memang agak sukar bagi mereka yang berusia lebih 45 tahun mendapat semula pekerjaan selepas diberhentikan, terutama mereka yang tidak mempunyai pengkhususan atau kepakaran tertentu. Namun, bagi pekerja kilang dan yang berkemahiran rendah, mereka boleh menyertai modul yang bakal dianjurkan Kementerian Sumber Manusia dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkan mereka mendapatkan semula pekerjaan. Mengikut Akta Kerja 1955 yang merangkumi kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja, ia tidak menghalang konsep bekerja dari rumah atau menjadikan rumah sebagai pejabat. Jika majikan ingin melaksanakan konsep bekerja seperti itu, maka kontrak perkhidmatan perlu menetapkan syaratnya. Antara terma berkenaan ialah sebarang perjanjian, sama ada lisan atau bertulis dan sama ada nyata atau tersirat, di mana seorang bersetuju mengambil seorang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja dan termasuk kontrak perantisan.

Mungkin kita melihat golongan wanita lebih mudah diserapkan dalam konsep ini kerana boleh berfungsi dengan dua tugas, iaitu menjaga anak dan pada masa sama berkerja, khususnya bagi mereka yang sudah berkahwin. Dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin canggih, semua urusan boleh dilakukan di rumah. Konsep pejabat dalam rumah bukan konsep baru kerana kebanyakan wanita di negara maju sudah lama mengamalkannya. Mereka yang bekerja dari rumah ini semakin mencapai tahap membanggakan di negara seperti Amerika Syarikat dengan 25 juta orang terbabit dengan aktiviti berkenaan, Kanada (2.5 juta), United Kingdom (2.2 juta), Australia (778,000) dan New Zealand (200,000). Dalam pada itu, kita mahu kerajaan membuat kajian terperinci terlebih dulu sebelum melaksanakannya supaya ia benar-benar memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja. Ia penting bagi membolehkan kaedah berkerja dari rumah mencapai matlamat dan berkembang menjadi satu budaya kerja baru pada masa depan. Mungkin ramai yang ragu terhadap langkah terbaru kerajaan itu, terutama kaedah pelaksanaannya yang belum jelas. Menerusi pendedahan media terhadap kejayaan mereka yang selama ini bekerja di rumah dan menyumbang kepada kejayaan syarikat dan majikan, ia dapat memberi keyakinan kepada mereka yang mencari pekerjaan selepas diberhentikan untuk menyertai program dianjurkan kerajaan itu.

0 comments: