Mengantarabangsa industri air 2020

Mengantarabangsa industri air 2020
Dr Zaini Ujang

TUN Lim Keng Yeik bukan saja dikenali sebagai tokoh politik yang memberi sumbangan besar kepada kestabilan dan pembangunan negara, malah sepanjang 31 tahun menjadi menteri Kabinet, beliau juga menjadi ikon kepada pelbagai dasar dan inisiatif besar dalam pelbagai sektor.

Sekadar nota kaki, sebelum mengundurkan diri sebagai menteri Kabinet dan pemimpin tertinggi Gerakan, beliau ialah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) yang baru ditubuhkan ketika rombakan Kabinet 2004.

Ketika di KTAK, Lim mengukir nama menjadi pelopor transformasi perkhidmatan air negara menerusi tiga inisiatif besar iaitu pindaan Perlembagaan mengenai kuasa mengurus perkhidmatan air daripada kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat, penggubalan dan penguatkuasaan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (ASPAN) 2006.

Ketiga-tiga inisiatif ini mengubah landskap industri perkhidmatan air negara menjadi lebih lestari, dinamik dan berdaya saing. Selain memberi lebih ruang kepada penggiat industri air mengemukakan pelbagai pembaharuan dan peningkatan dari segi mutu perkhidmatan, AIPA dan ASPAN juga menyediakan sistem lebih telus dan mesra pengguna.

Pandangan pengguna diberi penilaian wajar dan penetapan tarif air dibincangkan secara lebih terbuka dan demokratik. Setakat ini, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sudah berhijrah ke regim baru seperti terkandung dalam AIPA dan ASPAN dengan menyerahkan aset air seperti empangan, loji rawatan, sistem pengagihan bekalan air dan sebagainya kepada Perbadanan Aset Air Negara (PAAB).

Mekanisme ini membolehkan hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat dari segi aset air dapat diselesaikan. Sementara syarikat atau perbadanan air hanya bertanggungjawab kepada aspek perkhidmatan dan operasi dengan menyewa aset dimiliki PAAB. Dengan cara ini, harga perkhidmatan air dapat diseragamkan selaras dengan usaha peningkatan mutu perkhidmatan.

Beberapa negeri masih belum memutuskan kaedah dan tarikh penghijrahan kepada rejim dan mekanisme baru, termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Rundingan sedang giat dijalankan, termasuk dari segi nilai aset air yang perlu diambil alih PAAB.

Hal ini menjadi isu hangat yang dibincangkan di kalangan peserta Persidangan dan Pameran Air Malaysia 2009 pada 19 hingga 21 Mei lalu, di Kuala Lumpur. Acara dwi-tahunan anjuran Persatuan Air Malaysia (MWA) itu dihadiri lebih 3,000 peserta mewakili pelbagai sektor dalam perkhidmatan air. Sebagai pengerusi jawatankuasa teknikal persidangan, saya dapat berasakan denyutan dan keghairahan peserta mengenai dinamisme baru dalam industri perkhidmatan air negara, berbanding sebelum penggubalan AIPA dan SPAN.

Selain memperkenalkan teknologi dan inovasi baru menerusi pelbagai kegiatan penyelidikan dan projek rintis, acara itu juga menjadi pentas untuk membincangkan masa depan industri air di negara kita dan peranan Malaysia dalam konteks serantau. Menerusi AIPA dan ASPAN ruang lebih luas diberikan kepada perunding, kontraktor, penyelidik, pembekal produk, pengurus dan penyedia dana untuk mempertingkatkan mutu selaras dengan penanda aras serta amalan profesional tahap antarabangsa.

Secara tidak langsung perkembangan ini membolehkan industri air Malaysia meningkatkan daya saing memasuki pasaran antarabangsa. Pada persidangan itu, saya memberi syarahan utama dengan mengemukakan cadangan arah tuju industri air negara sehingga 2020. Objektifnya ialah pelestarian sumber air, perkhidmatan air secara sepadu dan bersaing memasuki pasaran antarabangsa.

Pelestarian sumber air perlu dilihat dalam konteks holistik membabitkan pelbagai komponen alam sekitar seperti yang digunakan dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI), termasuk sektor guna air yang banyak memberi kesan kepada alam sekitar, seperti pertanian dan penjanaan tenaga yang membebaskan karbon ke ruang atmosfera.

Kayu ukur prestasi juga tidak wajar dihadkan menggunakan pendekatan sektoral, tetapi perlu lebih meluas seperti tapak ekologi atau penilaian pelestarian kuantitatif. Untuk itu, industri air negara memerlukan empat syarat untuk memacu pertumbuhan dan memasuki pasaran global dengan lebih bergaya dan berjenama, iaitu regim dan dinamisme pasaran dalam negeri supaya lebih kompetitif, pembangunan modal insan, pembangunan teknologi dan inovasi, dan promosi antarabangsa.

AIPA dan ASPAN sebenarnya menyediakan landasan terbaik menerusi regim baru dan dinamisme untuk tujuan berkenaan. Pada hemat saya, isu paling kritikal ialah kemampuan industri perkhidmatan air di Malaysia mengemukakan kaedah lestari mengadunkan antara pengurusan sumber air dengan penyediaan bekalan air berkualiti dan perkhidmatan pembetungan bersepadu meliputi air sisa domestik serta industri.

Sumber air di Malaysia memang lumayan. Bekalan air minum hanya memerlukan kurang 10 peratus daripada limpahan air hujan tahunan. Kadangkala limpahan itu tidak diurus sebaiknya sehingga menyebabkan masalah banjir pula. Penyediaan bekalan air dan pembetungan memerlukan inovasi berterusan dari segi pembangunan sistem pengurusan, model perniagaan dan teknologi lestari.

Secara spesifik, Lim sering menegaskan bahawa perkhidmatan bekalan air perlu dimajukan menerusi kreativiti dan daya fikir membabitkan modal insan lebih cemerlang untuk membolehkan Malaysia diiktiraf sebagai pusat perkembangan industri air serantau, khususnya di kalangan negara sedang membangun.

Oleh itu, program perkhidmatan air seharusnya tidak bertumpu kepada sektor pembinaan saja seperti pembinaan empangan, loji rawatan dan paip semata-mata. Sektor lain perlu juga dimajukan khususnya sektor pembuatan produk dan sektor perkhidmatan merangkumi pakej kewangan, kerangka perundangan, promosi dan penjenamaan, perkhidmatan pakar runding dan sistem pengurusan.

Itulah asas kepada industri perkhidmatan air lestari untuk mencapai tahap membolehkan kita bersaing pada peringkat antarabangsa. Demikian antara sumbangan utama Lim sehingga Persatuan Air Malaysia memberi pengiktirafan tertinggi kepada beliau sebagai penerima tunggal setakat ini Anugerah Tokoh Transformasi Industri Perkhidmatan Air Negara. Tahniah Tun Lim.



Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia

(UTM) dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

0 comments: