BN boikot Penanti, Hindraf ugut polis

BN boikot Penanti, Hindraf ugut polis

BEBERAPA peristiwa penting yang berlaku minggu ini diberikan perhatian oleh para penulis untuk dikupas dalam blog masing-masing.

Antaranya ialah langkah Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil di Penanti serta ugutan oleh pertubuhan Hindraf terhadap pihak berkuasa dan kerajaan.

Shamsul Yunos (marahku.blogspot.com) pada 19 Mei menyuarakan rasa hairan terhadap pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati apabila BN mengumumkan untuk tidak bertanding di Penanti.

Katanya, jutaan rakyat Malaysia juga sudah pasti tertanya-tanya kenapa pendukung PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak meraikan keputusan BN tersebut.

"Sudah pasti (dengan keputusan BN untuk tidak bertanding) ia telah memberi kemenangan percuma kepada calon mereka.

"Sebaliknya mereka mencaci dan mencemuh, bahkan amat kesal kerana kehilangan pesaing politik,'' tulis beliau.

Katanya, ini menunjukkan bahawa BN telah membuat keputusan tepat untuk tidak bertanding di Penanti.

Dr. Novandri Hasan Basri dalam blog Minda Intelek Melayu (novandri.blogspot.com) pada 19 Mei pula berkata, keputusan BN itu tidak disangka-sangka dan sukar diterima.

"Ketidakhadiran BN pada pilihan raya merupakan satu perkara yang janggal dan dianggap sebagai satu sejarah walaupun ia bukanlah yang pertama,'' tulisnya.

Kata beliau, ketiadaan BN akan menyebabkan PKR menjadikannya sebagai bahan untuk memperlekehkan BN sebagai pengecut melalui ceramah dan alam siber.

Mengenai isu Hidraf pula, Ruhanie Ahmad dalam Kuda Kepang (kuda-kepang.blogspot.com) pada 19 Mei menggesa pihak berkuasa tidak mengambil ringan tindak-tanduk Hindraf kerana isu keselamatan masyarakat boleh mencetuskan perbalahan, keganasan dan peperangan.

"Nilai-nilai teras yang diperjuangkan oleh pertubuhan ini mungkin sah tetapi pendekatan, gelagat dan kenyataan segelintir pemimpinnya terbukti menghiris jiwa dan mencetuskan sentimen Melayu dan Islam.

"Ini kerana nilai-nilai teras yang mesti dipertahankan dan dilindungi oleh pemerintah Malaysia dan majoriti rakyat adalah keharmonian agama, perpaduan nasional dan kepentingan negara,'' tulisnya.

Kata beliau, isu Hindraf menjadi semakin rumit pada hari ini kerana sikap pemerintah yang berdolak-dalik.

"Kepimpinan semasa mestilah segera memperbetulkan keadaan supaya rakyat selamat, negara aman, dan seluruh nilai-nilai teras nasional mengenai keselamatan negara sentiasa terpelihara dan terjamin,'' tulisnya.

Azrinizam Ibrahim dalam Angin Perubahan (anginperubahan.blogspot.com) juga pada Selasa lalu mempersoalkan sikap pertubuhan haram itu yang masih lagi mahu mencetuskan kekecohan di dalam negara.

"Mengapa mereka ini begitu fanatik dan berterusan mahu mencetuskan konflik kepada masyarakat?

"Bila ada pemimpin Melayu sendiri yang sanggup bersekongkol dengan Hindraf, maka tidak hairanlah mengapa mereka menjadi begitu kurang ajar dan biadab,'' tulis beliau.

Menurutnya, pertubuhan itu kini secara terbuka telah mengisytiharkan "perang" terhadap kerajaan dan melalui kenyataan-kenyataan yang sensitif dan provokatif.

"Orang sebegini tidak layak lagi dilayan sebagai warganegara Malaysia. Mintalah bantuan dari London dan Mumbai, Malaysia bukan tempat untuk orang yang suka membuat kacau,'' tegasnya.

Arif Omar dalam Penghuni Gua (arifomar.blogspot.com) pada 20 Mei pula mahukan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pertubuhan itu seperti mana yang dilakukan terhadap pertubuhan-pertubuhan haram lain sebelum ini.

"Bagaimana kita mengambil tindakan kepada Al-Maunah, Al-Arqam, Jemaah Islamiah dan kumpulan ajaran sesat yang menyerang balai polis di Muar? Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan terhadap Hindraf.

"Jangan lagi asyik memberikan amaran kepada pertubuhan haram ini. Ambil contoh bagaimana Sri Lanka mengambil tindakan kepada LTTE, Indonesia mengambil tindakan kepada JI,'' tegas beliau.

Katanya, kerajaan perlu sesekali menari mengikut rentak tarian mereka kerana jika tidak, tarian pihak berkuasa akan menjadi sumbang.

Syed Ali Alhabshee dalam blog umnobahagiancheras.blogspot.com memberi amaran kepada Hindraf agar tidak mencabar kewibawaan kerajaan.

''Jangan uji kerajaan dan salahkan polis jika pemimpin mereka dikenakan tindakan tegas termasuk sekali lagi ditahan di bawah akta ISA," tegasnya.

Beliau menjelaskan, pertubuhan haram itu tidak wajar memperalatkan rakyat khususnya kaum India untuk kepentingan politik.

''Menganjurkan perhimpunan atas apa nama sekali pun ianya tetap bertentangan dengan undang-undang kerana Hindraf adalah sebuah pertubuhan haram,'' tegasnya.

Serentak dengan itu, beliau mahukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera bertindak ke atas pemimpin Hindraf, yang merancang untuk menganjurkan perhimpunan haram Jun ini.

Sementara itu penulis yang menamakan dirinya RMF7 (rmf7.worpress.com) menulis, rakyat Malaysia kini seolah-olah diserang virus apabila tindakan demi tindakan dan satu-persatu isu sensitif diluahkan kerajaan malah ada yang bersikap lebih agresif termasuk mengeluarkan kenyataan berbau ugutan.

''Kaum bukan Melayu seakan-akan melupakan sejarah silam mereka di sini. Mereka kini mengorak langkah untuk menjadikan setiap impian mereka kenyataan dengan bertindak di luar batasan undang-undang,'' tulisnya.

Justeru, tegas beliau, kerajaan diharap tidak melayan kerenah-kerenah yang boleh menggugat perpaduan di dalam negara ini.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my

0 comments: