Seludup manusia sama dengan sistem abdi

Seludup manusia sama dengan sistem abdi
Oleh Manja Ismail

manja@nstp.com.my

KETUA Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Che Hassan Jusoh menunjukkan kawasan laluan penyeludupan pendatang asing yang dikenali 'Alur Tikus'.


Tindakan tegas perlu segera dilaksana untuk bersihkan nama Malaysia 

WALAUPUN belum ada bukti tujuh sekeluarga Pakistan yang menjadi mangsa bot karam di perairan Pengerang Isnin lalu, cuba menyeludup masuk ke kepulauan Indonesia untuk ke Australia, dakwaan bahawa Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi transit penyeludupan atau perdagangan manusia, perlu dilihat secara serius. Penahanan 37 rakyat asing termasuk dari Afghanistan, Iraq dan Pakistan di perairan Kuala Langat dua hari sebelum kejadian itu, mengukuhkan lagi dakwaan berkenaan. Malah, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengakui ada lebih kurang 15 laluan atau 'alur tikus' yang sering digunakan penyeludup dari negara ini untuk ke kepulauan Indonesia seperti Pulau Batam, Pulau Karimun dan Pulau Bintan. APMM tidak menolak kemungkinan pulau-pulau itu menjadi transit mana-mana pihak yang mahu pergi ke Australia untuk mendapatkan suaka politik lantaran dasar negara itu terhadap 'pelarian' yang mahukan perlindungan sedemikian. 

Penyeludupan manusia sebenarnya tidak banyak berbeza dengan sistem abdi yang sudah lama diharamkan di seluruh dunia. Tiada negara yang mahu terbabit dalam kancah menjual dan memperdagangkan manusia, walaupun untuk membantu mendapatkan suaka politik. Malaysia, kerana kedudukan geografi dan kemakmuran ekonominya, sudah lama menjadi destinasi pendatang dari Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Burma, China, India, Nepal, Bangladesh, Pakistan dan kini negara Afrika untuk mencari rezeki. 


Sementara kita memerlukan mereka ketika ekonomi pesat, kehadiran terlalu ramai rakyat asing ini, apa lagi yang masuk secara haram dan melakukan kerja haram seperti pelacuran dan jenayah, menimbulkan masalah besar kepada negara. Dan apabila ekonomi tidak lagi semakmur dulu kesan krisis kewangan global sekarang, kita bukan saja menghadapi masalah dengan pendatang asing sedia ada, malah dibebani dengan persinggahan mereka yang menjadikan Malaysia sebagai transit untuk masuk secara haram ke negara lain. 

Seperti juga masalah lain, kita sudah mempunyai undang-undang untuk menangani kegiatan penyeludupan manusia ini. Selain undang-undang Imigresen, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 misalnya, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun ke atas sesiapa yang menjadi dalang kegiatan penyeludupan pendatang menerusi sempadan negara jiran. Akta itu juga memperuntukkan hukuman terhadap semua yang didapati melakukan kesalahan itu, termasuk mereka yang dikenal pasti menjadi ejen atau perantara seperti pemandu kenderaan atau tekong bot yang membawa pendatang. Bagaimanapun, apa yang sering dilaporkan ialah pihak berkuasa hanya menahan pendatang dan sekali sekala ejen mereka, tetapi amat jarang dapat menangkap dalang sebenar di sebalik sindiket berkenaan. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya sama ada sindiket ini benar-benar licik atau dalangnya membabitkan 'orang dalam' seperti didakwa banyak pihak. Malah ada laporan agensi berita asing sebelum ini mendakwa ada pegawai agensi tertentu memeras ugut wang daripada pendatang Myanmar dan mempunyai hubungan dengan sindiket penyeludupan manusia. Kononnya pendatang Myanmar itu dipaksa memberikan sejumlah wang dan jika enggan, mereka akan diserahkan kepada sindiket penyeludupan manusia di selatan Thailand. 

Laporan seumpama ini, ditambah dengan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat Bagi Pemerdagangan Orang yang meletakkan Malaysia dalam senarai perhatian, tentunya mencemarkan nama baik negara, sekali gus menjejaskan usaha menarik pelabur asing untuk membantu memulihkan ekonomi sekarang. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengatakan bahawa laporan seumpama itu langsung tidak berasas atau sengaja bertujuan memburukkan Malaysia. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Justeru kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa sebuah jawatankuasa khas membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi menangani masalah ini mencerminkan pendekatan baru kerajaan. 

Sebelum ini, kita sering menafikan atau menyalahkan pihak lain apabila ada badan antarabangsa menyenaraikan Malaysia antara negara yang kurang bersungguh menangani masalah penyeludupan manusia. Mengakui masalah wujud bukan bermakna kita lemah. Malah kementerian itu sudah mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan Australia bagi membentuk kerjasama dalam menangani isu penyeludupan manusia ke negara itu. Kita berharap langkah itu menjadi titik tolak kepada usaha menyeluruh untuk menangani masalah pendatang asing di negara ini, sekali gus membersihkan nama baik negara pada peringkat antarabangsa. Seperti dinyatakan tadi, kita sudah mempunyai undang-undang khusus bagi menangani masalah penyeludupan manusia. Yang perlu ialah penguatkuasaan lebih berkesan serta siasatan dan tindakan tegas terhadap segelintir kakitangan agensi berkaitan yang sanggup digunakan oleh sindiket berkenaan.

0 comments: