Pastikan ECER bergerak

Pastikan ECER bergerak

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


Sungguhpun kegawatan ekonomi global turut dirasai oleh negara kita, alangkah baiknya jika dapat dilihat pelaksanaan semua projek pembangunan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak terjejas.

Semua projek yang dirancang patut diteruskan untuk pertumbuhan ekonomi Pantai Timur secara saksama dan berdaya tahan. 

Program pembangunan ECER wajar diteruskan kerana Kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk pelaksanaannya.

Malaysia tidak akan terkecuali daripada masalah ekonomi global. Sebagaimana dijangka oleh Bank Dunia, ekonomi Malaysia akan mengecut 1.0 peratus, ketika pertumbuhan Asia Timur tahun ini akan bergerak perlahan kepada kurang daripada separuh kadar tahun 2007 akibat penurunan permintaan eksport daripada negara maju.

Oleh itu, ada baiknya jika dapat diteruskan pelaksanaan kemajuan dalam projek ECER di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Wilayah ini cukup penting kerana 87 peratus penduduknya adalah Bumiputera dan kawasan tanahnya pula adalah 51 peratus daripada keluasan Semenanjung. Tetapi secara perbandingan ia belum dibangunkan jika dibandingkan dengan kawasan Pantai Barat.

Daripada 107 projek yang diluluskan untuk ECER di bawah RMK-9, 48 projek telah dimulakan pada 2008 sementara 29 projek akan bermula sebelum pertengahan 2009.

Ini bermakna lebih daripada 70 peratus projek ECER sedang berjalan dengan baki 30 peratus lagi dijadualkan akan bergerak sebelum akhir 2010. Projek-projek yang terlibat dalam ECER ialah minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pelancongan. 

Pada asasnya, projek-projek ECER harus mengurangkan jurang pendapatan di antara kawasan bandar dan luar bandar, mengimbangi pembangunan wilayah timur dan barat Semenanjung dan yang paling utama ialah membasmi kemiskinan.

Dengan strategi ini, ECER dirancang untuk mentransformasikan wilayah Pantai Timur menjadi pusat perdagangan dan perniagaan yang menggelegak, mempunyai infrastruktur kelas dunia, hab logistik dan akhirnya sebagai wilayah yang dimajukan menjelang 2020. 

Bayangkan faedah kepada penduduk kawasan pembangunan koridor ini jika wujud siri penjelajahan mempromosikan wilayah ECER ini.

Khabarnya sasaran untuk mengadakan promosi ke luar negara khususnya Eropah untuk menarik pelabur dari Jerman, Itali dan United Kingdom (UK) kini sudah menggamit pelaburan baru. 

Malaysia merupakan destinasi menarik bagi pelabur asing terutama sektor pembuatan. Negara kita berjaya mencatatkan peningkatan 38 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan iaitu kira-kira RM46.1 bilion atau 73.4 peratus pada 2008 berbanding dengan RM33.4 bilion pada 2007. Angka ini menunjukkan pertumbuhan dalam FDI untuk lima tahun berturut-turut. 

Jerman berada di tangga kesepuluh sebagai rakan dagang global Malaysia. Ia adalah sumber penting bagi FDI 2008 dengan pelaburan berjumlah RM4.4 bilion berbanding dengan RM3.7 bilion tahun sebelumnya. Jerman juga adalah sumber FDI yang kedua terbesar pada 2007 dengan RM3.7 bilion berbanding RM232.3 juta pada 2006.

Pada 11 bulan pertama 2008, hubungan dagangan dua hala antara Malaysia dan Itali dianggarkan mencecah AS$2.22 bilion. Itali kekal rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar di kalangan Kesatuan Eropah.

Jumlah dagangan kedua-dua belah pihak Malaysia-Itali meningkat daripada AS$1.22 bilion pada 2001 kepada AS$2.41 bilion pada 2007. 

Aliran pelaburan dari Itali ke Malaysia dari 2003 hingga Oktober 2008 berjumlah AS118.07 juta dalam 24 projek yang diluluskan. Bagi 10 bulan pertama 2008, aliran masuk modal berjumlah AS$21.57 juta, meningkat 42 peratus daripada tahun sebelumnya. 

Dalam konteks UK-Malaysia, hubungan kuat diperkukuh oleh rangka kerja perdagangan dan sistem perundangan yang hampir sama dan penggunaan bahasa Inggeris yang meluas menggalakkan lagi semangat hubungan perniagaan. 

Eksport barangan dan perkhidmatan UK ke Malaysia pada 2005 bernilai £1,520 juta dan meletakkan Malaysia sebagai pasaran ekport kedua terbesar UK di Asia Tenggara selepas Singapura. UK juga adalah salah satu pelabur terbesar di Malaysia, dengan jumlah pelaburan lebih £20 bilion sejak 30 tahun lepas.

Ketika pelaburan global kian mengecil, inilah masa sesuai bagi Malaysia menarik para pelabur. FDI turut terkena bahang krisis kewangan global dan perkara utama yang perlu diperhatikan oleh syarikat multinasional ialah suasana politik negara tidak bergolak. Malaysia menyediakan tapak pelaburan yang stabil. Dan ECER menyediakan banyak kemudahan untuk pelabur asing memulakan perusahaan. 

Misalnya, dengan Kawasan Dagangan Bebas ASEAN (AFTA) mula dilaksanakan tahun depan, pengeluar kereta khasnya mungkin lebih berhati-hati dalam mengembangkan operasi di Thailand. Mereka yang mencari peluang untuk masuk pasaran ASEAN akan berfikir dua kali. Malaysia melalui taman automotifnya di bawah ECER bakal menyediakan pilihan yang terbaik.

Kedudukan keseluruhan bagi Thailand sebagai destinasi pelaburan berdasarkan enam jenis risiko (politik, ekonomi, undang-undang, cukai, operasi dan keselamatan) kini berada 2.93 daripada 5 mata. Berbanding dengan Malaysia berada pada 2.47, Filipina 2.72 dan Indonesia bertambah baik dengan 2.94. Data ini daripada World Bank's World Governance Indicators dan IHS Global Insight.

Insentif serta kedudukan ECER yang strategik telah mendapat perhatian daripada pelabur tempatan dan asing untuk melabur di wilayah pembangunan ekonomi itu. 

Melihat kepada kejayaan itu, semua pemimpin kerajaan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor kini perlu lebih agresif untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan di kawasan berkenaan bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

ECER yang bernilai RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang dimajukan untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan. Sebanyak 227 projek akan dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan wilayah itu untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk Pahang, Terengganu, Kelantan dan daerah Mersing di Johor. 

Antara projek yang sedang dimajukan di bawah pelan pembangunan koridor itu ialah projek berteraskan minyak, gas dan petrokimia seperti Kertih Plastics Park, Gebeng Integrated Petrochemical Complex, Kertih Integrated Petrochemical Complex.

ECER juga menyediakan taman halal iaitu Gambang Halal Park di Pahang dan Pasir Mas Halal Park di Kelantan. Bagi menampung permintaan taman industri dan teknologi, Kemaman Heavy Industrial Park dan Pahang Technology Park mampu memenuhi permintaan pelabur dan penyediaan peluang pekerjaan. 

Industri pembuatan kenderaan turut mendapat tempat di ECER dengan Pekan-Peramu Automotive Industrial Park menyediakan lokasi yang strategik. Banyak lagi projek dirancang untuk manfaat penduduk Pantai Timur.

Projek-projek pembangunan yang akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah ECER dijangka mampu menyediakan lebih 560,000 peluang pekerjaan sehingga tahun 2020. 

ECER, hasil inisiatif syarikat minyak dan gas nasional, Petronas, meliputi keluasan 66,736 kilometer persegi. 

Lima teras ekonomi utama - pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan - akan dimajukan di bawah pelan ECER untuk menggerakkan pembangunan bagi menangani ketidakseimbangan ekonomi, meningkatkan keupayaan dan pengetahuan serta kualiti hidup kira-kira 3.9 juta penduduk di wilayah berkenaan.

0 comments: