Menaikkan taraf Nusajaya

Menaikkan taraf Nusajaya


WAN Abdullah Wan Ibrahim berdiri di depan logo UEM Land di Menara UEM, Bangsar, Kuala Lumpur.


LOKASINYA terletak di tengah-tengah ASEAN dan berdekatan dengan salah sebuah negara maju di dunia iaitu Singapura.

Kedudukannya juga hampir dengan lima pelabuhan utama iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang, Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura, Pelabuhan Jurong, Singapura dan pelabuhan petrokimia Tanjung Langsat.

Tempatnya juga terletak di kawasan strategik yang boleh menghubungkan tiga bilion penduduk di rantau ini hanya dalam masa lapan jam.

Dengan semua kelebihan itu, bukan rahsia lagi bandar Nusajaya bakal menjadi salah satu mercu tanda kejayaan dan kebanggaan negara di selatan tanah air.

Berkeluasan kira-kira 9,600 hektar, Nusajaya merupakan salah satu daripada lima zon pembangunan utama dalam projek pembangunan di Wilayah Iskandar.

Empat lagi projek ialah Johor Bahru City Centre, Western Gate Development, Eastern Gate Development serta bandar lapangan terbang Senai-Skudai yang merangkumi keluasan kira-kira 2,217 kilometer persegi.

Di Nusajaya sendiri, projek pembangunan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2025 itu melibatkan tujuh komponen utama. Ia termasuk Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (JSNAC), resort bersepadu pesisir pantai Puteri Harbour, hab perubatan Medini dan bandar raya ilmu 'EduCity'.

Projek-projek lain dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM55 bilion itu termasuk kelompok industri dan logistik selatan, kawasan kediaman dan pusat rekreasi.

Sejak mengambil alih projek itu pada 2003, UEM Land menerusi syarikat induk Khazanah Nasional diberi tanggungjawab merealisasikan Nusajaya menjadi sebuah bandar bertaraf dunia terbesar di Asia Tenggara.

Menurut Pengarah Urusan UEM Land, Wan Abdullah Wan Ibrahim, dalam tiga tahun kebelakangan ini, Nusajaya menyaksikan perubahan landskap yang sangat menggalakkan apabila beberapa projek yang dirancang berjaya disempurnakan.

Ia termasuk projek perumahan Horizon Hills yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Gamuda Berhad yang sudah sedia untuk diduduki. Projek perumahan lain yang sedia diduduki serta rancak dalam pembinaan juga termasuk perumahan kos sederhana Nusa Idaman serta projek rumah mewah Ledang Heights.

Malah, projek pembangunan marina di Puteri Harbour yang bermula pada 2007 juga sudah menerima kemasukan bot pada awal tahun ini. Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pusat kesihatan Afiat Healthpark dan sebuah hospital yang dijangka dibuka pada tahun depan.

"Paling membanggakan apabila projek JSNAC iaitu pusat pentadbiran baru Kerajaan Negeri Johor sudah mula beroperasi dan dirasmikan sendiri oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail dengan nama Kota Iskandar," ujar Wan Abdullah.

Sebagai sebuah projek pembangunan urban dan bertaraf dunia, Nusajaya tidak hanya menjadi lambang kejayaan negara semata-mata. Paling utama, ia menjadi kayu pengukur kepada kemampuan UEM Land sebagai sebuah syarikat pemaju hartanah tempatan.

Kerana itu juga, UEM Land ujar Wan Abdullah, mengambil pendekatan proaktif menarik pelabur asing menanam modal sama ada sebagai rakan kongsi strategik menerusi usaha sama atau jualan terus.

Ia dijalankan menerusi kempen-kempen dan promosi di seluruh dunia termasuk dalam siri lawatan yang diadakan di China dan Singapura, baru-baru ini. UEM juga sedang menilai pelabur seberang laut seperti Jepun, Korea, India, Vietnam dan Amerika Syarikat untuk membangunkan Nusajaya secara usaha sama.

Sehingga kini, antara syarikat luar yang berminat untuk melabur ialah empat buah konsortium dari negara Arab termasuk Abu Dhabi dan Kuwait khusus dalam projek pembangunan pusat kewangan Nusajaya.

"Secara keseluruhannya, sehingga kini Nusajaya berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM600 juta dari segi nilai harga tanah. Jumlah ini pastinya akan meningkat berdasarkan beberapa lagi perbincangan yang sedang berlangsung ketika ini," katanya.

Mengakui krisis ekonomi turut memperlahankan aktiviti pembangunan di Nusajaya, Wan Abdullah menjelaskan, kesannya lebih dirasai apabila permohonan modal daripada institusi kewangan agak lambat disalurkan.

Bagaimanapun, UEM Land menaruh harapan yang tinggi insentif yang diambil kerajaan untuk merangsang kembali ekonomi turut memberi lonjakan kepada projek pembangunan di Nusajaya.

Pakej rangsangan ekonomi, peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan liberalisasi kewangan misalnya, dilihat bakal memberi manfaat kepada kesinambungan projek berkenaan.

"Saya juga percaya putaran ini akan memberikan kelebihan kepada UEM Land kerana apabila ekonomi pulih sepenuhnya, kami sudah bersedia dengan pelbagai projek di Nusajaya ini," ujar beliau.

Melihat kepada peta pembangunan di Nusajaya, tidak dinafikan ia membabitkan projek dengan nilai yang mencecah jutaan ringgit. Timbul persoalan, sejauh mana syarikat Bumiputera terutamanya milik anak tempatan Johor diberi peluang untuk bersama-sama membangunkan wilayah tersebut.

Menjawab persoalan itu, Wan Abdullah berkata, UEM Land sentiasa meletakkan keutamaan untuk membantu syarikat Bumiputera menerusi peratusan peruntukan tertentu.

Meskipun mengakui pembahagian tender projek adalah ketat, namun syarikat Bumiputera masih mempunyai sedikit kelebihan berdasarkan kemampuan dan kredibiliti syarikat berkenaan.

Menyentuh mengenai tanggungjawab kepada masyarakat setempat juga, UEM Land menerusi projek pembangunan Nusajaya turut melancarkan pelbagai program yang menjurus kepada pembangunan komuniti. Antara yang diberikan tumpuan ialah pembangunan pendidikan di kalangan pelajar sekolah yang turut melangkaui kawasan-kawasan di sekitar Nusajaya.

"Program khidmat komuniti kami yang terbaru ialah projek pintar al-Quran yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Islam Terengganu bertujuan membolehkan anak-anak di Nusajaya khatam al-Quran sebelum memasuki darjah satu," kata beliau.

0 comments: