Mencorak pemikiran masyarakat membaca
Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM
SEGALA-GALANYA sudah berakhir. Sambutan Hari Buku Sedunia dan Hari Hakcipta yang disambut pada 23 April yang lalu telah juga diakhiri dengan jayanya penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.
Malaysia tidak ketinggalan dalam menyemarakkan gerakan membaca, dengan memasukkan agenda sambutan Hari Buku Sedunia ini ke dalam kalendarnya.
Negara-negara lain yang juga menyambutnya dengan meriah adalah seperti Australia, Kanada, Ivory Coast, Cuba, Finland, Jerman, Greece, Itali, Madagascar, Maghribi, Mozambique, Puerto Rico, Sepanyol dan Sweden.
Namun agak berbeza dengan United Kingdom, yang menyambutnya pada 1 Mac setiap tahun.
Penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), yang saban tahun dianjurkan pada bulan April, juga adalah berkait rapat dengan aktiviti Hari Buku Sedunia ini.
Pihak penganjur PBAKL telah menganjurkan pesta ini dengan baik sekali. Ditambah pula dengan slogan-slogan yang sentiasa diubah pada setiap tahun. Seperti misalnya slogan tahun ini ialah "Buku: Lakaran Masa Depan."
Namun satu persoalan penting yang perlu difikirkan bersama ialah sejauh manakah slogan-slogan ini memainkan peranan penting untuk mencorak pemikiran masyarakat bagi merealisasikan matlamat kewujudan masyarakat membaca.
Seharusnya, pada hemat penulis, slogan-slogan yang dicipta itu perlulah dirujuk kepada matlamat akhir sesuatu visi yang besar.
Misalnya dalam konteks pembinaan negara bangsa, Malaysia sudah mempunyai Wawasan 2020.
Maka, seharusnya setiap visi dan misi tindakan setiap agensi kerajaan, mahupun swasta terarah ke Wawasan 2020.
Mungkin Wawasan 2020 bukanlah satu wawasan yang sempurna. Malah, tidak ada yang sempurna di dunia ini, kecuali Allah.
Maka, sebagai sebuah bangsa yang sedang menuju ke arah kejayaan, wawasan ini perlu sentiasa dibincang dan dibaiki.
Begitu juga setiap slogan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur perlu turut menghala ke arah Wawasan 2020.
Kewujudan slogan-slogan ini sudah cukup baik untuk menjadi satu platform bagi menyediakan satu masyarakat yang benar-benar membaca.
Namun, sejauh manakah kesediaan slogan-slogan ini dapat dipergunakan sepenuhnya oleh institusi-institusi berwajib dalam menjayakan gerakan membaca ini?
Seharusnya, slogan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, "Buku: Lakaran Masa Depan" ini dapat dijadikan juga sebagai slogan sambutan Hari Buku Sedunia di Malaysia, dan seterusnya diterjemahkan pula oleh setiap perpustakaan di negara ini, sehinggalah ia dapat dijelmakan sebagai satu hasilan yang dapat diamalkan oleh setiap warga Malaysia.
Kini sudah tiba masanya untuk masyarakat Malaysia bangkit membaca dan menjelmakan kembali semangat budaya ilmu dengan merealisasikan slogan ini.
PENULIS ialah Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga Setiausaha Agung Komuniti Buku online.org.
0 comments:
Post a Comment