Langkah menjaga kebajikan pekerja swasta perlu dicari
HARI Pekerja yang disambut 1 Mei lalu tidak berlalu seperti hari-hari cuti biasa. Dalam Majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2009, Sabtu lalu kerajaan akan merangka dua langkah khusus untuk kepentingan sosial pekerja di negara ini.
Sebagai mana diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, dua langkah itu ialah penubuhan Tabung Pemberhentian Pekerja dan skim pencen bagi pekerja sektor swasta.
Tabung Pemberhentian Pekerja ditubuhkan untuk menjaga kepentingan pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja ekoran kesan kegawatan ekonomi dunia..
Skim pencen pekerja sektor swasta pula dirancang sebagai jaminan keselamatan sosial pada hari tua.
Kedua-dua langkah ini untuk manfaat semua golongan pekerja kini dalam peringkat perundingan.
Kita mengharapkan perkara yang baik untuk kebajikan golongan pekerja usah dibangkang atau dibantah. Tidak mungkin kerajaan tergamak membuat sesuatu yang akan merugikan rakyat, khususnya golongan pekerja.
Kerajaan perlu mempunyai strategi atau pelan untuk membantu golongan pekerja yang diberhentikan bukan sahaja kerana krisis ekonomi dunia pada masa kini dan akan datang tetapi juga penutupan sesebuah syarikat pada bila-bila masa.
Dalam konteks ini juga ada kewajaran kerajaan perlu memandangkan serius ganjaran yang diterima oleh pekerja selepas bersara khususnya pekerja sektor swasta.
Ini kerana bilangan golongan ini lebih sepuluh kali ganda berbanding dengan jumlah kakitangan sektor awam. Ganjaran yang mereka terima misalnya daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah amat terhad dan tidak mencukupi bagi meneruskan kehidupan.
Sedangkan sebahagian wang simpanan mereka di dalam KWSP dilaburkan untuk menjayakan projek-projek pembangunan negara.
Justeru jika bayaran dividen KWSP tidak sebanyak seperti lebih sedekad lalu, maka wajar kerajaan mencari jalan bagaimana pencarum yang terdiri daripada pesara sektor swasta memperoleh bayaran secara bulanan bagi menjamin perlindungan hari tua mereka.
Bukan cerita baru lagi bahawa kebanyakan pencarum KWSP menggunakan simpanan mereka dalam tempoh yang singkat sehingga menggagalkan matlamat simpanan untuk hari tua.
Mungkin ramai pekerja swasta sebelum ini yang kecewa dan 'merana' apabila kebajikan mereka selepas bersara tidak siapa peduli. Sedangkan mereka turut menyumbang untuk kemakmuran negara.
Malah, sudah berlaku perubahan sosial yang menyebabkan anak-anak tidak lagi membantu ibu bapa mereka dari aspek kewangan.
Jadi langkah mewujudkan skim pencen untuk pekerja swasta dialu-alukan.
Pada pertengahan Mac lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam memberitahu bahawa laporan cadangan penubuhan Skim Pencen Kebangsaan Untuk Sektor Swasta dijangka siap Julai depan.
Untuk itu kita berharap kerajaan dapat menimbangkan satu skim yang lebih baik walaupun mungkin tidak menyamai skim pencen sektor awam tetapi sekurang-kurangnya mampu menyainginya.
0 comments:
Post a Comment