Ulama, kerajaan perpaduan dan SPR
ISU siapa yang layak memegang pucuk pimpinan Pas sama ada golongan ulama atau sebaliknya, di samping cadangan kerajaan perpaduan dan perkembangan di Penanti telah mendapat ulasan beberapa penulis blog.
Shamsul Yunos dalam blognya (marahku.blogspot.com) menulis, desakan agar ulama menjadi pemimpin tertinggi Pas adalah bertepatan dengan matlamat asal penubuhan parti itu.
Katanya, Pas perlu ingat bahawa kesetiaan para penyokongnya adalah disebabkan imej parti itu sebagai sebuah parti berteraskan Islam.
"Pas tahu permainan Anwar dan mereka juga tidak menyenanginya dan begitu juga dengan DAP dan sebab itulah Pas mahu memperkukuhkan kedudukannya dengan meletakkan ulama sebagai peneraju parti," tulisnya.
Tulis Shamsul, beliau percaya Pas menggerakkan diri untuk menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang dan ia perlu dilakukan kerana parti itu nyata lebih konsisten daripada segi polisi dan prinsip.
Bagaimanapun Nasrudin Tantawi (episodeperjuangan.blogspot.com) melihat bahawa perebutan jawatan dalam parti itu adalah amanah di dunia yang akhirnya akan menjadi beban di akhirat kelak jika mengingkarinya.
Tulisnya, "Kita rasa seronok apabila kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jemaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti."
Oleh sebab itu, katanya, menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah di peringkat akar umbi untuk memilih pemimpin berdasarkan penelitian dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi serta meletakkan kepentingan jemaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya.
"Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya.
"Kita harus sedar, setelah diputus oleh jemaah maka kita mesti wala' kepada kepimpinan yang dipilih," tulisnya.
Sementara itu Sheih Azidi (kickdefella.wordpress.com) pada 2 Mei lalu menulis tentang kerajaan perpaduan yang dinilai sebagai kerajaan tanpa pembangkang tetapi bukan sekadar menjurus BN-Pas semata-mata.
"Kalau kerajaan tanpa pembangkang, maka PKR dan DAP perlu diambil kira sama. Bererti PKR dan DAP berhak mendapat posisi lebih kanan dan lebih banyak dalam Kabinet kerana kedudukan kerusi mereka di Dewan Rakyat lebih besar daripada Pas, MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti dari Sabah dan Sarawak.
"Ini bererti, Pas hanyalah parti keempat penting dalam kerajaan perpaduan. Sudikah UMNO menerimanya?" tulis beliau.
Katanya, penentangan terhadap kerajaan perpaduan adalah kerana penjelasan cadangan tersebut amat kabur dan tidak selari dengan konsep kerajaan perpaduan tanpa pembangkang.
"Konsep yang dijelaskan hanyalah seperti satu penjenamaan semula kepada Muzakarah Pas-UMNO. Ia seolah-olah kembali kepada isu mempertahankan hak orang Melayu dan kuasa politiknya," tulisnya.
Di sebalik isu ulama dan kerajaan perpaduan, Dr. Mohamad Khir Toyo (www.drkhir.com) telah mengemukakan cadangan supaya sistem pencalonan bagi pilihan raya kecil diadakan dalam talian (online).
Ini susulan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)yang membuat beberapa cadangan bagi mengurangkan ketegangan dalam pilihan raya kecil.
"Antara cadangan yang saya fikir tidak logik untuk dilaksanakan ialah usaha mengehadkan jumlah penyokong semasa hari penamaan calon. Cadangan untuk mengehadkan bilangan penyokong semasa penamaan calon bukan sahaja tidak praktikal malah boleh mencetuskan keadaan lebih kacau dan haru-biru," tulisnya.
Katanya, salah satu cara untuk mengurangkan ketegangan semasa penamaan calon ialah dengan memanjangkan tempoh serahan borang pencalonan.
"Malahan SPR boleh mengkaji kemungkinan membenarkan penamaan calon secara online. Ini akan mengurangkan lagi penumpuan yang keterlaluan di pusat penamaan calon sekali gus mengurangkan konflik penyokong parti-parti yang bertanding," tulis beliau.
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment