Penjelasan khasiat herba tempatan

Penjelasan khasiat herba tempatan

DARIPADA hampir 7,000 spesies tumbuhan yang hidup melata di negara kita, sekurang-kurangnya 1,230 spesies telah dikenal pasti sebagai tumbuhan ubatan termasuk digunakan sejak turun-temurun dalam rawatan tradisional.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 80 peratus daripada masalah kesihatan dunia boleh dirawati dengan ubat berasaskan tumbuhan.

Nilai industri herba dunia dianggarkan AS$50 bilion (RM182.34 bilion) termasuk nilai industri herba negara sekitar RM5 bilion.

Banyak kesahihan aplikasi tumbuhan dalam penjagaan kesihatan dan kecantikan masyarakat terdahulu telah berjaya dirungkai menerusi perkembangan sains dan teknologi.

Kekayaan khazanah alam ditambah dengan pengetahuan etnobotani masyarakat majmuk dan usaha penyelidikan menjadikan negara kita amat berpotensi memajukan industri herba sebagai sumber kekayaan ekonomi baru negara.

Justeru, kompilasi menarik ini memuatkan huraian botani, taburan spesies, profil kandungan kimia, potensi biologi, khasiat malah petua-petua warisan spesies herba terpilih untuk dikongsi bersama bagi memajukan industri herba tempatan.

Antara yang menarik ialah penjelasan mengenai khasiat Manjakani dan pegaga untuk kesihatan dan kecantikan serta kenerak sebagai potensi penawar kanser.

Khazanah Alam bermula dengan bab Kenanga Harum Semerbak yang amat menarik. Selepas perbincangan mengenai pengenalan spesies, pertumbuhan dan perkembangan, kandungan kimia, buku ini menerangkan secara ringkas mengenai pelbagai khasiat dan kegunaannya.

Bunga yang indah itu nyata banyak kegunaan yang mungkin di luar sangkaan ramai termasuk sebagai sedatif, antiseptik, pelbagai masalah kulit, rawatan asma dan sakit tuan.

Antara lain yang menarik perhatian penulis ialah minyak pati bunga kenanga atau ylang-ylang mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi iaitu sekitar AS$7 juta (RM25.52 juta) sekitar 30 tahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah pada tahun 1995, Indonesia telah mengkhususkan sekitar 160,000 hektar tanah untuk penanaman kenanga bagi menghasilkan 120 tan minyak. Ini membuatkan penulis tertanya-tanya apakah nilai terkini minyak tersebut sekarang.

Pelbagai petua berkaitan bunga tersebut termasuk bagi merawat penyakit malaria dan bronchitis turut disenaraikan.

Bab seterusnya bertajuk Pegaga Ulaman Rupawan pula menceritakan tentang herba yang dikatakan telah dikenal pasti sebagai herba paling selamat dan tidak meninggalkan sebarang sisa toksik dalam badan pengguna sekali gus membersihkan sistem tubuh.

Pegaga adalah antara herba paling berkhasiat yang telah lama digunakan dalam perubatan Ayurvedik dan tradisional Cina sehingga dikenali sebagai tumbuhan Fountain of Youth.

Sudah tentu, herba yang mudah ditanam malah boleh didapati dengan murah itu amat popular dimakan sebagai ulam di negara kita.

Tetapi berapa ramaikah di antara kita menyedari bahawa pegaga boleh merawat kelesuan otot, membantu rawatan kanser dan tumor malah berkesan untuk merawat ulser dan sebagainya.

Penulis baru menyebut dua dari sembilan spesies khazanah alam tempatan yang dibincangkan dalam buku tersebut.

Lain-lain tajuk yang dibincangkan ialah tumbuhan Serai, Mas Cotek, Kenerak, Misai Kucing, Jambu batu, Manjakani dan gamat.

Lebih memudahkan di akhir buku itu dilengkapi dengan dua senarai indeks iaitu indeks nama vernakular selain indeks nama saintifik.

Pendek kata, buku ini amat berbaloi untuk dijadikan sebahagian daripada koleksi peribadi selain wajar ditempatkan di dalam semua perpustakaan yang ada sama ada di peringkat sekolah, institut pengajian tinggi atau negeri.

Judul: Khazanah

Alam Untuk Kesihatan dan Kecantikan

Susunan: Mastura Mohtar, Izanudin Zakaria dan Mirfat A.H. Salahudin

Penerbit: Institut PenyelidikanPerhutanan Malaysia (FRIM)

ISBN: 978-967-5221-03-3

Harga: RM38

Pengulas: WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

0 comments: