DUN Perak, siapa yang wajar dipersalahkan?
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my
KEKECOHAN sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis lalu masih lagi menjadi topik tulisan para penulis blog dan ada di antaranya mengaitkannya dengan demokrasi.
Seperti dijangka, penulis prokerajaan dan propembangkang akan menulis berdasarkan sudut berbeza berhubung kejadian tersebut.
Zabidi Noor dalam blog Musli Oli, Konspirasi Politik Melayu (konspirasipolitikmelayu.blogspot.com) pada 7 Mei, mengulas tentang kekecohan sidang DUN Perak tempoh hari dan kaitannya demokrasi.
Tulis beliau, demokrasi membawa erti pihak majoriti akan memerintah dan di Perak, BN mempunyai 31 kerusi manakala pakatan pembangkang mempunyai 28 kerusi.
Dengan kelebihan tiga kerusi bermakna BN wajar lebih berkuasa memerintah dan membuat perubahan sepertimana dikehendaki majoriti anggotanya.
''Maka logiknya, Sivakumar tidak wajar lagi duduk di kerusi Speaker DUN dan tempat beliau hendaklah digantikan dengan suara majoriti baru.
"Suara majoriti itu sudah mempunyai calon yang telah ditimbangkan sehalus-halusnya untuk menggantikan tempat Sivakumar yang menunjukkan sikap semakin lama semakin tidak adil semata-mata kerana beliau dari suara pembangkang.
''Apabila suara majoriti yang sekarang ini di tangan BN, maka tidak syaklah lagi apa pun kemungkinan, mereka akan memecat Sivakumar dan menggantikan tempatnya dengan R.Ganesan. Bagaimana Ganesan mahu menjalankan tugasnya kalau Sivakumar memakukan diri di kerusi Speaker?'' Katanya, Sivakumar sudah pasti telah diminta oleh rakan-rakan pakatan pembangkang agar jangan berganjak dari kerusi Speaker tersebut dengan apa cara sekalipun dan walau apa pun terjadi.
''Apa yang pakatan pembangkang mahukan, pihak berkuasa berkasar dan rakaman itulah yang akan menjadi produk modal mereka mengecam BN.
"Inilah gambaran yang mahu ditunjukkan kepada rakyat Perak betapa kejamnya cara BN apabila berkuasa," tulisnya.
Kata beliau, sekiranya kerajaan memerintah tidak serius membendung perkara yang mencemarkan pekerti dalam kandungan demokrasi hari ini, maka ada kemungkinan ia akan merebak ke negeri lain.
Ustaz Said Beauford (ustazsaid.blogspot. com) pada 9 Mei menulis, walaupun keputusan siapa Menteri Besar akan diputuskan melalui perundangan hari ini (Isnin), namun daripada segi demokrasi jelas Datuk Seri Dr. Zambry Kadir adalah orangnya.
Katanya, menurut peraturan demokrasi, parti yang memiliki majoriti berhak membentuk kerajaan dan BN yang mempunyai 28 kerusi dengan sokongan tiga kerusi Bebas menjadikan BN mempunyai majoriti mudah serta membolehkan BN membentuk kerajaan di Perak.
''Mungkin ada polemik bagaimana BN mendapat sokongan 3 ADUN Bebas. Mungkin perbuatan melompat parti boleh dikatakan tidak bermoral atau apa sahaja tanggapan yang wujud namun selagi ia masih dalam lingkungan Perlembagaan, apa masalahnya? Setakat soal moral, ada banyak lagi yang tidak bermoral terus dipertahankan," tulisnya.
Jelas beliau, ketidakfahaman ke atas prinsip demokrasi yang diagungkan selama ini, keegoan kerana tidak dapat menerima realiti serta sikap tidak endah terhadap peraturan yang dirasakan tidak memihak kepada mereka, disertai sikap hanya sendiri yang betul, orang lain salah menyebabkan adengan yang tidak ingin kita lihat berlaku di Perak.
''Cubalah kita menjadi rasional, mengambil sikap berlapang dada, menghormati aturan yang kita iktiraf sebelum ini. BN ketika tewas dalam pilihan raya kecil ke-12 dan kehilangan kuasa, terkejut tetapi tidak berdiam diri, bangkit menyusun strategi dan terbukti ia berhasil.
Kamarulzaman Kamdias dalam blognya Kepal Nasi Kepal Beras (kkamdias.blogspot.com) pada 8 Mei menulis tentang sikap sesetengah pihak yang meletakkan seolah-olah kebenaran itu adalah hak cipta pakatan pembangkang semata-mata.
Katanya, pakatan pembangkanglah parti yang paling demokrasi, paling bermoral, beretika, bersih, berintegriti, paling telus dan layak dipercayai serta paling tinggi pengetahuan dan amalan agamanya.
''Pendek kata merekalah pemegang hak cipta atau paten segala nilai-nilai dan peradaban terbaik sebagai seorang manusia atau sebagai seorang pemimpin. Hak cipta rasuah, skandal, penyelewengan, tidak demokratik dan segala yang buruk semua dipatenkan untuk BN dan seisinya.
''Kalau ada kalangan mereka yang rasuah, itu angkara perancangan jahat BN. Kalau ada kalangan mereka yang beraksi bogel, itu disebabkan BN yang mengganggu kehidupan privasi mereka. Kalau ada kalangan mereka yang melanggar undang-undang negara, itu juga kerana BN memaksa mereka berbuat begitu," tulisnya.
Kata beliau, andai mereka bertindak di luar batasan demokrasi, ia juga adalah disebabkan BN yang membuatkan mereka jadi begitu dan jika mereka ingkar keputusan mahkamah, BN-lah yang menyebabkan mereka berbuat demikian.
''Sebarang kesalahan dan pelanggaran daripada pihak BN, itu memang betul. Memang perangai BN macam tu. Sebarang kebaikan yang dilakukan BN, awas! itu ada udang sebalik batu.
''Alangkah beruntungnya kita kalau dapat jadi seperti mereka. Sebiji macam kehidupan haiwan di rimba. Undang-undang semua di tangan sendiri, bebas semahu-mahunya," tulis beliau.
Mokhtar Petah (mokhtarpetah.blogspot.com) dalam tulisannya bertajuk Berdosakah Orang Melayu? pada 10 Mei menyatakan, orang Melayu boleh menjadi bangsa yang kuat dan disegani jika mereka mempunyai kuasa Melayu.
Katanya, bagaimanapun kuasa Melayu tidak akan diperoleh selagi orang Melayu tidak mengikut petunjuk Allah dalam al-Quran, iaitu bersatu-padu di bawah kalimah Allah.
''Orang Melayu boleh bersatu-padu jika semua organisasi politik Melayu, UMNO (berpegang kepada kebangsaan Melayu) dan Pas (berpegang kepada Islam sebagai amalan dalam semua bidang kehidupan insan), ketepikan sentimen politik dan mengorbankan pegangan dan sama-sama berpegang kepada Islam sebagai dasar hukum dan amalan dalam kehidupan negara dan rakyat.
''Maka, jika benar orang Melayu mahu bersatu-padu dan mendapat kembali kuasa Melayu, maka UMNO dan Pas hendaklah membuang apa yang keruh dan mengambil yang jernih; saling bekerjasama dalam semua bidang," tulisnya.
Katanya, beliau yakin jika orang Melayu tidak bersatu-padu, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi bangsa Melayu akan hilang kerana corak politik yang berbeza.
0 comments:
Post a Comment